Lahad Datu: Pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan pengganas Sulu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata semua penduduk kampung itu kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baru yang akan diputuskan kemudian. 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Februari itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lalu. 


Penempatan semula

“Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan pada peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian,” katanya di Markas Operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini, semalam.

Katanya, penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan FELDA Sahabat.

Hamza turut memaklumkan kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing. 
“Proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian serta Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan beliau yakin proses itu mampu diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya,” katanya. 
BERNAMA