Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, tidak mungkin diadakan dalam skala yang kecil. Seperti PRK yang lain sebelum ini, ia akan menjadi pilihan raya 'besar' dan mempunyai implikasi politik yang besar kepada parti yang bertanding.

Lebih besar perhatian diberikan kepada PRK DUN Kajang ini, lebih besarlah jadinya pilihan raya ini. Lebih tinggi kedudukan calon yang diletakkan bertanding di kawasan itu, lebih tinggilah perhatian yang diberikan kepada PRK itu.

Tidak kira siapa atau parti mana yang bertanding sama ada mewakili Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, kedua-dua pihak perlu sedia menghadapi sebarang implikasi politik terhadap parti masing-masing. Implikasi yang lebih besar adalah kepada parti pembangkang yang kini mentadbir Selangor yang menjadi gelanggang PRK kali ini.

Di DUN Selangor, BN adalah parti pembangkang untuk penggal kedua. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), DUN Kajang dimenangi Lee Chin Cheh daripada PKR dalam pertandingan enam penjuru dengan kelebihan 6,824 undi.

Di DUN Kajang yang mempunyai kira-kira 33,000 pengundi, 48 peratus daripadanya adalah Melayu dan 41 peratus pengundi Cina.


Tiada sebab kosongkan kerusi

Walau apa pun juga alasan pengosongan kerusi oleh Chin Cheh, pengundi Kajang kini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap bekas ADUN Kajang itu. Mereka menganggap Chin Cheh tidak mempunyai sebab untuk mengosongkan kerusi berkenaan.

Mereka mempersoalkan kewajaran beliau mengosongkan kerusi berkenaan kerana beliau dipilih oleh penduduk Kajang untuk duduk di kerusi itu. Mereka tidak dapat menerima ketidakcekapan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyelesaikan isu nasional sebagai alasan untuk memaksa Chin Cheh mengosongkan kerusi bagi membolehkan PRK diadakan.

Disebabkan sudah terlanjur, dan Chin Cheh pun sudah mengosongkan kerusinya, mereka terpaksa menghadapinya dengan bersikap ‘membujur lalu melintang patah’.

Dalam sesuatu pilihan raya, ada keputusan yang boleh diramal dan ada pula keputusan luar jangka. Jika parti pembangkang menang dalam PRK Kajang ini, ia hanya mengekalkan status-quo.

Sebaliknya, jika BN yang menang, tidak dapat dielakkan ia akan menimbulkan kemarahan penyokong PKR dan rakan parti pembangkang - DAP dan PAS. Kepemimpinan atau parti yang memerintah Selangor akan dipersalahkan kerana memaksa PRK DUN Kajang diadakan.

Disebabkan kerusi itu dikosongkan oleh PKR, BN terpaksa mengambil sikap tidak boleh membiarkan kerusi itu dimenangi dengan mudah oleh parti lawan – Lawan Tetap Lawan.

Bagi BN, menang adalah bonus tetapi jika kalah sekali pun ia tidak meninggalkan kesan kepada kedudukannya di Selangor. Ini berbeza kepada parti pembangkang. Jika menang dengan undi majoriti yang merosot juga, mereka akan dipersalahkan.

Siapa juga calonnya, BN pasti menjadikan Kajang sebagai medan untuk mengukur sokongan pengundi khasnya masyarakat Cina kesan keputusan PRU-13 lalu. Jika calon MCA diletakkan, adakah orang Melayu akan memberi undi mereka atau jika calon UMNO yang bertanding pula, adakah orang Cina memberikan undi mereka kepada calon Melayu.

BN juga mahu menilai kejujuran masyarakat Cina terhadap pelbagai habuan yang diberikan kepada kaum Cina berasaskan kepada permintaan mereka. PRK Kajang ini akan dapat melihat bukti apakah mereka membalas jasa kerajaan BN atau mereka terus menolak BN.

Bagi pembangkang pula, jika mereka meletakkan calon Melayu, apakah pasti orang Cina akan menyokong calon berkenaan. Jika BN menjadikan PRK Kajang ini untuk mengukur kejujuran kaum Cina atau sikap pengundi Melayu, bergantung kepada siapa calon, parti pembangkang pula menjadikan PRK ini untuk mengukur kejujuran parti rakan dalam pembangkang.

Jika calon Melayu dari PKR yang bertanding, mereka mahu melihat sokongan pengundi PAS terhadap calon berkenaan. Mereka juga mahu melihat sejauh mana penyokong DAP boleh memberi undi kepada calon Melayu. Segala-galanya bergantung kepada siapakah calon PRK Kajang nanti.

Walaupun sudah riuh mengatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding, selagi belum tiba hari penamaan calon, ia masih dianggap spekulasi walaupun parti dan beliau sendiri sudah membuat pengumuman.


Bakal calon masih spekulasi

BN memang mengharapkan Anwar bertanding kerana mereka mempunyai banyak ‘peluru’ yang akan dihalakan kepada pemimpin pembangkang itu. Di Permatang Pauh yang menjadi kubu kuatnya pun, beliau menghadapi tentangan hebat, inikan pula di Kajang yang penduduknya lebih terbuka. Penyokong PAS juga mempunyai pandangan berbeza daripada pemimpin mereka terhadap Anwar.

Penduduk Kajang mungkin mahu orang Cina terus mewakili mereka. Jika pembangkang meletakkan calon Melayu manakala BN meletakkan calon Cina, pengundi Kajang khasnya kaum Cina mungkin mengundi BN. Tetapi, jika pengundi Cina memberi undinya kepada calon Melayu daripada parti pembangkang, ia mengesahkan bahawa orang Cina tidak boleh lagi dibawa berunding.

Bagi kaum Cina di Kajang, mungkin sukar bagi mereka untuk membuat keputusan sama ada untuk memilih pembangkang sekali lagi atau BN. Apa juga keputusan mereka akan menjadi kayu ukur kepada BN.

Ia juga sudah tentunya mengukur sejauh mana sokongan masyarakat Cina terhadap kepemimpinan MCA yang baru di bawah Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Jika MCA mahu kekal bertanding di DUN Kajang, mereka perlu memastikan MCA bergerak agresif dan berkempen untuk menang dan menyanggah apa juga alasan DAP.


sumber : BHOnline