Dr Khir

Dr Khir (dua, kanan) berjabat tangan dengan Ronnie selepas selesai prosiding, semalam.
SHAH ALAM - Bekas Menteri Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakannya meminta maaf kepada Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu di mahkamah semalam sebagai satu tindakan bacul dan boleh menjejaskan Umno di kedua-dua peringkat pusat dan negeri.
Katanya, tidak salah mengakui kesilapan dan memohon maaf jika menyedari telah melakukan kesilapan walaupun ada yang tidak berpuas hati.
"Saya tahu bahawa ramai rakan-rakan yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya meminta maaf kepada Ronnie Liu dalam kes saman malu beliau ke atas saya.
"Ada yang berpendapat tindakan saya memohon maaf kepada Ronnie merupakan tindakan bacul dan akan menjejaskan Umno," kata beliau dalam tulisan blognya semalam.
Permohonan maaf beliau dibacakan di mahkamah pagi semalam.
Katanya, "bagi saya jika kita bersalah kita harus bersedia meminta maaf."
"Justeru itu saya tidak segan silu untuk merekodkan pengakuan permohonan maaf saya dalam mahkamah.
"Ini berikutan tujuan asal saya hanyalah mempersoalkan potfolio beliau menjaga Pihak Berkuasa Tempatan kerana terdapat aduan ke atas beliau kerana menghalang penguatkuasa PBT menjalankan tugas," kata beliau lagi.
Bagaimanapun jelas beliau, kenyataan-kenyataan pada sidang akhbar tersebut telah membawa tafsiran yang lebih besar apabila akhbar China Press melaporkan seolah-olah Liu terbabit dalam aktiviti pelacuran.
"Atas sebab inilah saya memohon maaf kepada beliau kerana saya tiada bukti atau fakta yang jelas menyatakan bahawa beliau mempunyai hubungan dengan aktiviti pelacuran.
"Malahan sehingga kini, Ronnie belum disabitkan atas kesalahan menghalang tugas penguat kuasa. Ini menjadikan laporan akhbar mengenai kenyataan-kenyataan saya sungguhpun ada asas (berasaskan laporan polis) tidak dapat disahkan sebagai fakta yang benar," tambah Dr Khir.
Dr Khir juga berkata, ada yang meminta beliau meneruskan perbicaraan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan orang ramai untuk membuat penilaian.
"Namun saya berpendapat cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Memohon maaf bukan sahaja memberi ruang hubungan baik sesama Ahli Dewan Undangan Negeri tetapi juga membuka ruang demokrasi yang lebih matang.
"Menjadi mangsa kepada banyak tohmahan, tuduhan dan fitnah saya menyedari bahawa memanjangkan isu-isu yang tiada bukti nyata ini hanya memberi kesan yang sangat mendalam kepada ahli keluarga mereka yang terbabit," katanya.
Justeru kata Dr Khir, dalam keadaan itu, beliau fikir permohonan maaf  yang dibuat semalam sangat tepat pada masanya.
"Saya percaya permohonan maaf ini tidak memberi kesan kepada Umno dan Barisan Nasional kerana saya bukan lagi pemimpin Umno negeri," kata beliau.


*RakyatMerahKuning: Inilah contoh politik matang! Kalau semua pemimpim gentleman macam ni kan bagus. Kalau salah, minta maaf. Satu perkara yang Anwar Ibrahim tak mampu nak buat! Tahniah Dr. Khir!