Monday, 29 April 2013

Gempar #GE13: Kerajaan PAS Kelantan Tak Pernah Serius Dalam Melaksanakan Hudud. Kenapa? #TolakPR #ManifestoBukanJanji

Jumaat lepas, RMK menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Shah Alam. Pada hari tersebut isu hudud ini menjadi bualan hangat para jemaah. Disebabkan itu, RMK merasa terpanggil untuk menulis sedikit mengenai isu ini kerana sememangnya hudud tak pernah lekang dari menjadi topik perbincangan dan perdebatan ahli politik mahupun masyarakat tempatan, lebih-lebih lagi menjelang PRU13 yang bakal berlangsung 5 Mei ini.

Dalam perbincangan topik ini, ada yang membandingkan hukuman hudud dan hukuman Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah. Risalah ini diedarkan kepada jemaah Jumaat lepas:



RMK fokuskan perbincangan ini kepada kerajaan PAS Kelantan kerana merekalah yang suatu ketika dahulu lantang memperjuangkan agar hudud dilaksanakan. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini hudud tidak atau masih belum dilaksanakan di negeri itu. Kenapa?

Kerana prosedur ke arah pelaksanaan hudud dijalankan kerajaan PAS Kelantan separuh jalan sahaja seolah-olah mereka tidak serius dalam hal ini.

Prosedur melaksanakan undang-undang syariah dalam negeri:
1 - Perkara pertama yang perlu kerajaan negeri lakukan adalah memberikan usul ke Dewan Undangan Negeri (DUN), yang mana kerajaan PAS Kelantan telah lakukan.
2 - Kedua, DUN perlu meluluskan usul tersebut. Ini juga telah berlaku. Kelulusan telah diberi oleh DUN Kelantan dengan majoriti pada tahun 1993.
3 - Mendapat perkenan daripada sultan. Ini juga sudah. Sultan Kelantan telah memperkenankan usul tersebut.
4 - Merangka draf pelaksanaan. Ini belum dilakukan.

Di sini kesilapan kerajaan PAS Kelantan mula dilihat. Kerajaan negeri Kelantan perlu merangka draf pelaksanaan undang-undang syariah itu, sebagai contoh, cara melaksanakan hukum sebat, sebesar mana rotan yang akan digunakan dan pisau jenis apa untuk laksanakan hukuman potong tangan untuk kesalahan mencuri. Sehingga ke hari ini, kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merancang atau membuat draf pelaksanaan tersebut. Mengapa berhenti di sini? Bukankan mereka serius dalam perjuangan melaksanakan hukuman hudud?

Enakmen jenayah syariah (II) tidak boleh digazetkan selagi draf pelaksanaan tidak dibuat oleh kerajaan negeri. Kuasa Mahkamah Syariah terletak di bawah kerajaan negeri. Semua perkara berkaitan Islam adalah di bawah kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat. 

Hukuman Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Undang-undang Kerajaan Malaysia) hanya berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan sahaja dan bukan kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri boleh meminda hukuman tersebut selepas diperkenankan sultan negeri masing-masing bagi menggantikan hukum undang-undang sivil sedia ada.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah, kerajaan pusat telah menghalang undang-undang syariah tu dilaksanakan. Ini kerana kerajaan pusat mengisytiharkan bahawa kerajaan PAS Kelantan mengelirukan umat Islam di negara ini apabila menyatakan perlembagaan negeri akan ada dua undang-undang jenayah iaitu undang-undang jenayah sivil dan undang-undang jenayah syariah. Kerajaan pusat menegaskan hanya perlu ada satu undang-undang jenayah sahaja iaitu sama ada sivil atau syariah. Ini bertujuan mengelakkan krisis perundangan.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan PAS Kelantan mengelirukan sekali lagi apabila menyatakan undang-undang jenayah syariah adalah untuk orang Islam dan undang-undang jenayah sivil adalah untuk orang bukan Islam.

Isu-isu ini menunjukkan kerajaan PAS Kelantan tidak ikhlas dan sememangnya tidak berhasrat untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri itu.

Kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din bahawa undang-undang hudud akan dilaksanakan sekiranya pakatan membentuk kerajaan pusat adalah satu pembohongan kerana draf pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan pun tidak pernah dibuat.

PAS tidak mampu melaksanakan undang-undang jenayah syariah sebagai undang-undang syariah utama di negara ini kerana PAS hanya bertanding 70 kerusi daripada 222 kerusi parlimen sedangkan untuk membentuk kerajaan memerukan 112 kerusi dan untuk meminda perlembagaan 148 kerusi. Selain itu, DAP dan PKR secara terbuka menolak pelaksanaan undang-undang jenayah syariah sekiranya PR membentuk kerajaan pusat.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment