SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Malaysia sepatutnya akur dengan Akta Pilihan Raya dan tidak lagi menerima arahan daripada bekas Exco Kerajaan Tempatan setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan pembubaran parlimen, 3 April lalu.
Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairudin berkata, beberapa aduan diterima melibatkan tindakan PBT menurunkan poster, bendera dan kain rentang hanya daripada parti tertentu politik sahaja.
“Jika lokasi tersebut tidak sesuai dan mampu membahayakan orang awam apabila dijadikan lokasi berkempen, PBT sepatutnya menurunkan dan menanggalkan semua poster, bendera dan kain rentang yang berada di situ, bukan hanya dari parti tertentu.
“Apa yang dilaporkan berlaku dalam masa satu minggu ini, PBT bagaikan masih menerima arahan dari bekas Exco Kerajaan Tempatan supaya menurunkan bahan kempen dari parti tertentu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil perhatian lebih tegas dan melihat semula akta dan peraturan berkaitan masalah ini.
Dalam perkembangan sama, Hamidzun turut menyatakan strategi yang diatur pihak tertentu seperti menggantung kain rentang berunsur provokasi, membakar papan tanda dan sabotaj bendera tidak seharusnya berlaku.
“Ia permainan kotor sedangkan negara telah melalui proses Pilihan Raya Umum (PRU) sebanyak 13 kali sejak merdeka.
“Kita sepatutnya menjadikan medan pilihan raya ini sebagai medan demokrasi yang aman dan tanpa provokasi atau huru-hara,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, strategi mengupah samseng melakukan provokasi dan huru-hara tidak mencerminkan politik negara yang matang.
“Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku sebaliknya berkempen secara sihat dan matang.
"Jangan main kotor dengan menutup atau menurunkan bahan kempen parti lawan kerana ia menimbulkan tidak puas hati dan mampu mencetuskan perkara tidak diingini,” katanya.
Abu Bakar berkata, setiap parti sepatutnya melantik jentera yang berdisiplin dan beretika untuk melaksanakan kerja berkempen demi mengelakkan kejadian tidak bermoral.
“Jentera tersebut sebenarnya mencerminkan setiap parti diwakilinya.
"Jika mereka bertindak melanggar etika digariskan SPR, tidak perlulah kita memilih calon dari parti tersebut sebagai pemimpin," katanya. - Sinar Harian