Seorang lagi anggota kanan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah, Datu Piah, salah seorang daripada adik-beradik kepada Jamalul Kiram III kini dipercayai berada di daerah ini.
Menurut satu sumber, lelaki yang berusia lewat 60-an itu dipercayai sedang menyembunyikan diri kerana takut menerima nasib yang sama seperti Menteri Pertahanan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang ditangkap pasukan keselamatan pada Sabtu lalu.
“Datu Piah juga dipercayai salah seorang daripada orang kanan yang terlibat dalam proses rundingan dengan pasukan keselamatan sebelum 1 Mac lalu,” kata sumber tersebut di sini semalam.
Rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan pengganas terbabit yang diketuai Azzumuddie Kiram dan turut disertai Datu Piah itu bagaimanapun menemui jalan buntu.
Sumber itu berkata, sebagai ahli keluarga kepada Jamalul Kiram, dia juga dipercayai mempunyai peranan besar dalam kes pencerobohan di Lahad Datu.
“Sebelum 0ps Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu, Datu Piah dan Amirbahar dipercayai sempat melarikan diri ke Semporna dan cuba menggerakkan kumpulan pengganas di daerah ini dengan melakukan kekacauan,” kata sumber itu lagi.
Untuk Rekod Ops Daulat Setakat ini, pasukan keselamatan kita telah berjaya menembak mati seorang Jeneral, menangkap hidup-hidup seorang Komander berstatus Menteri Pertahanan dan melumpuhkan pasukan penembak tepat pengganas Sulu.
“Semporna adalah ibu pejabat pengganas dan di Lahad Datu pula ‘medan permainan’ mereka,” katanya.
“Sejurus selepas berlaku pertempuran pada 1 Mac lalu, Datu Piah menghilangkan diri, tetapi dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.
Datu Piah Datu Kiram kini menjadi orang buruan utama pasukan keselamatan dalam usaha melumpuhkan terus pergerakan saki-baki kumpulan pengganas yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.
Menurut sumber, dia yang dipercayai ada hubungan keluarga dengan Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, dikatakan antara individu yang menyertai kumpulan pengganas terbabit membuat rundingan dengan pasukan keselamatan, Februari lalu.
Sumber: Talk With Hand