Saturday, 8 February 2014

SENGKETA AZMIN-KHALID YANG DISEMBUNYIKAN SEMAKIN PARAH, TUNGGU MASA MELETOP


SEMAKIN FENIN
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini mengecam tindakan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang disifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab berhubung pemecatan 23 kakitangannya.



Sambil mendesak PHSB membatalkan surat pemecatan itu, Azmin mendakwa, tindakan yang diarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang pekerjaan tetapi tidak berperikemanusiaan.



"Ia benar-benar bercanggah dengan prinsip yang didukung kerajaan Selangor pimpinan pakatan rakyat bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan penuh maruah dan belas kasihan.



"Walaupun pemecatan secara tiba-tiba itu keras dan akan menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada pekerja, gaji pemberhentian dua bulan hanya menambah penghinaan kepada apa yang terjadi," katanya dalam satu kenyataan.



Azmin juga menuntut Abdul Khalid supaya berhenti daripada menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi terhadap saingan politiknya.



Sebelum itu, pada 5 Februari, 23 kakitangan PHSB diberhentikan tanpa amaran berkuat kuasa serta merta dan diberikan pampasan dua bulan gaji.



Berikutan itu, Pengurus Besar PHSB, Noor Hisham Mohd Ghouth dilaporkan meletak jawatan sebagai tanda bantahan.



Walaupun, pada mulanya Abdul Khalid mendakwa beliau tidak bertanggungjawab atas keputusan itu, beliau kemudian mengesahkan pemberhentian itu merupakan langkah korporat bagi menstrukur semula pengurusan PKNS dan mengurangkan kos operasi yang didakwanya boleh dijimatkan sehingga RM7 juta setahun.



Sebelum ini, PKNS menjadi perhatian ketika pentadbiran memutuskan tidak meneruskan perkhidmatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah.



Ini mencetuskan lagi khabar angin bahawa persaingan yang berterusan antara Azmin dan Abdul Khalid tidak akan tamat dalam masa terdekat.



Ia juga menyatakan bahawa disebabkan isu ini, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif, Norita Abdul Sidek dipindahkan ke jabatan lain dengan serta merta sebagai satu bentuk tindakan disiplin.

Kredit- MyMassa

Wednesday, 5 February 2014

Kakitangan awam jadi mangsa lagi..

23 pegawai, kakitangan PKNS Holdings dipecat

23 pegawai, kakitangan PKNS Holdings dipecat




ALIF AIMAN (kanan) bersama sebahagian kakitangan kontrak PKNS Holdings yang ditamatkan perkhidmatan di Seksyen 13, Shah Alam semalam.




SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilanda kontroversi lagi apabila seramai 23 kakitangan termasuk empat pegawai pengurusan tertinggi dipecat berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang notis pemberitahuan awal.
Mereka yang dipecat merupakan pegawai dan kakitangan anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn. Bhd. termasuk Ketua di Jabatan Pemasaran, Sumber Manusia, Kewangan dan Pembangunan Perniagaan yang rata-rata telah berkhidmat secara kontrak. Tempoh paling lama perkhidmatan adalah tiga tahun, manakala yang baru adalah empat bulan.
Wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas Pengurus Kanan Pemasaran PKNS Holdings, Dr. Alif Aiman Abdullah berkata, notis penamatan kontrak itu tidak mengikut prosedur kerana ia bukan sahaja dilakukan tanpa notis pemberitahuan awal, malah melanggar kontrak apabila hanya menawarkan pampasan dua bulan.

Pas Hanya 'Gempak' Sahaja



KETUA Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali (gambar) memberi kenyataan bahawa peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh yang memberi ruang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon yang dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Selangor adalah suatu pengkhianatan terhadap tahalluf siasi atau kerjasama politik.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Syahran Humaizi Abdul Halim membantah tindakan Anwar dan menyatakan akan memboikot PRK DUN Kajang sekiranya tiada penjelasan bertulis yang munasabah atas pengosongan kerusi DUN Kajang itu.

Ia selari dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd. Sany Hamzan, meminta penjelasan yang sama.

Keresahan ini diberi jawapan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu berucap di Masjid Rusila di Marang, Terengganu bahawa Pas tidak mahu terjerat dalam masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR). Abdul Hadi ada pandangan tersendirinya terhadap Anwar.

Ini bermakna Abdul Hadi tahu kemelut dalaman PKR yang tidak mampu diselesaikan oleh Anwar. Anwar sangat bijak dengan strategi mengalihkan isu untuk menghilangkan isu-isu lain yang menyerabutinya. Strategi Anwar jauh lebih luas dan mengatur langkah ke hierarki kuasa dengan cara lain.

Meminta kenyataan bertulis alasan munasabah dari pihak PKR mengapa ia terjadi adalah tidak bijak. Golongan orang muda Pas harus lebih cerdik membaca yang tersurat dan tersirat dalam strategi Anwar. Ia bukan sekali dan sudah banyak kali berlaku dalam konteks Pakatan Rakyat.

Mereka harus mengkaji strategi Rafizi-Anwar mengenai model Erdogan menjadi Datuk Bandar Istanbul dan akhirnya menjadi Perdana Menteri. Anwar ingin mengikut jejak itu supaya kuasai Selangor dan akhirnya kuasai Putrajaya. Dalam pada itu Anwar mencadangkan muafakat nasional.

Isunya mengapa isu sehebat ini tidak dibincang dalam Pakatan Rakyat. Anwar umumkan secara mengejut, Lim Guan Eng terpinga-pinga dan Pas pula terjebak dalam keadaan serba salah.Ia terhubung langsung dengan maksud tahalluf siasi. Apa maknanya Pas masih berpaut dengan tahalluf siasi sedangkan Pas tidak dirundingi strategi menawan Putrajaya. Penulis yakin Pas akhirnya akan bersetuju dengan strategi Anwar itu. Azmin sedang bekerja keras untuk menjelaskannya kepada Pas.

Kenyataan Abdul Hadi dan orang muda Pas yang lain tidak sama dengan pendirian Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu. Ini telah berlaku terhadap penggunaan kalimah Allah. Abdul Hadi khilaf bersetuju dan ulama Pas mengambil pendirian yang berbeza. Pas melihat Anwar sebagai aset ke Putrajaya. Apa pun dilakukan oleh Anwar ditelan begitu saja. Apalagi DAP tidak akan berbalah dengan Anwar. Kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua amat jelas kerana Selangor adalah lubuk emas bagi mereka.

Khabarnya sekiranya Anwar menang di DUN Kajang ia disebut-sebut untuk jadi Menteri Besar Selangor. Apakah semudah itu untuk jadi menteri besar tanpa perkenan Sultan? Pas mempunyai pilihan terbaik di Selangor. Ditakdirkan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai menteri besar apakah Pas tidak bercita-cita untuk mengambil alih kepimpinan Selangor? Dari segi kerusi Pas mempunyai majoriti dalam komponen.

Sekiranya Pas ada tekad seperti ini, kalahkan Anwar di DUN Kajang dan kerusi PKR akan kurang lagi. Soalnya mahukah DAP membantu kerana DAP amat menentang gagasan negara Islam.

Kalau di Selangor, Pas tidak mampu memberikan kepimpinannya bayangkan hendak tawan Putrajaya, bolehkah perbezaan ideologi yang tajam menjadi asas bernegara. Pas mahukan negara Islam. DAP masih teguh dengan sosialis demokratnya. PKR mengambil pendekatan liberal-pluralis. Dimanakah titik temunya?

Menjadi pembangkang sekadar membangkitkan isu tidaklah payah. Golongan taksub dan emosional juadah politiknya adalah isu. Bila banyak isu dibangkitkan mereka merasa kenyang. Penulis tidak fikir Pas berani membuat keputusan melebihi apa yang diputuskan oleh Anwar-Azmin-Rafizi.

Kenyataan berbeza hanya sekadar "“gempak" politik . Datang sentuhan Anwar semuanya terkulai layu dan patuh apa yang diarah. Di mana prinsip tahalluf siasi dan kaedah muafakat yang selalu dilaungkan oleh Pas. Khalayak sedang memerhati gelagat politik Pas yang semakin luntur dengan tekad perjuangannya.

Laporan Asal: Utusan Malaysia



RMK: Berdolak-dalik, tidak sepakat dan tunduk pada DAP dan PKR. Apa guna kempen kesana-sini  mengaku "pejuang Islam" dan kini memegang majoriti kerusi dalam DUN Selangor  kalau terus saja tunduk dan menjadi boneka politik Anwar? Bunyi memang cliche, tapi itu memang sifat PAS sejak dulu lagi.


Tuesday, 4 February 2014

KONSPIRASI LUAR TABI'E


KONSPIRASI LUAR TABI'E







Siakap senohong gelama ikan duri, kuat bohong nak jadi Perdana Menteri!



18.08.2012, sebelum PRU-13: Saya akan pencen jika pembangkang tewas PRU-13 dan jadi
professor!
07.05.2013, selepas PRU-13: Saya tidak akan pencen. Pembangkang kalah kerana Bangla
dan blackout!

Sebelum PRK DUN N.25 Kajang:
27 Jan 2014 – Saya TIDAK akan bertanding dalam PRK Kajang
28 Jan 2014 – Saya diminta bertanding dalam PRK Kajang!

Selepas PRK Kajang
28 Januari 2014 – Saya umumkan bahawa Khalid akan terus menjadi Menteri
Besar!
Q: Selepas PRK Kajang! Siapa
MB baru?
Sendiri pun boleh jawab lah yop!!!
Salam 2 all.



Selepas sah di umum yang Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon PKR untuk Pilihanraya Kecil DUN N.25 Kajang (walaupun SPR belum pun buat pengumuman kekosongan kerusi); barulah saya faham mengapa isu PKNS tercetus, mengapa Khalid Ibrahim diserang bertubi-tubi oleh partinya sendiri tanpa belas-ihsan; kenapa kes cerai fasakh Nurul Izzah didedahkan; mengapa kerusi DUN Kajang dikosongkan tanpa sebab dan kenapa UMNO/ BN didendangkan dengan Pelan Damai Nasional!

Ada kopi disebalik karipap rupanya yop!


SEJARAH BERULANG - KES SAIFUL BUKHARI MENGHANTUI ANWAR

Teringat saya selepas PRU-12 tahun 2008 dahulu. Setelah memenangi kerusi Kulim Bandar-Baharu pada 08.03.2008, berlaku satu insiden yang sangat menakutkan Anwar. Pada 28.06.2008, Saiful Bukhari Azlan, pembantu peribadi Anwar membuat lapuran polis dia diliwat oleh Anwar pada 26.06.2008.



Ketakutan Anwar masa itu memang agak luar biasa! Saya tidak bercadang menceritakan secara terperinci apa yang saya sendiri lihat masa itu. Itu lain kali jika perlu. Tetapi cukup sekadar memberitahu bagaimana Anwar pergi menyembunyikan diri di rumah Duta Turki pada 29.06.2008. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada masa itu ialah Anwar meminta perlindungan kerana ada 'cubaan mahu menembak Anwar'!!!

Anwar baru sahaja bebas daripada penjara pada 02.09.2004 setelah menjalani hukuman 6 tahun penjara di Penjara Sg. Buloh setelah disabitkan pada 14.04.1999 dengan kesalahan menyalahgunakan kuasa sebagai TPM mengarahkan Cawangan Khas PDRM mendapatkan Akuan Bersumpah palsu daripada Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar (pemandunya) yang mendakwa diliwat oleh Anwar pada bulan Mac 1993 di Tivolli Villa.

Anwar tahu kalau dia diheret ke Mahkamah dan dikenakan pertuduhan dan disabitkan kesalahan meliwat Saiful, hukuman penjara melebihi 6 tahun menanti beliau. Segala harapan dia nak menjadi PM akan hancur berkecai; malah pada umur senja, dia mungkin reput dalam penjara!

Salah satu strategi yang dirangka pada masa itu ialah untuk memastikan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang; dan dicanangkan kemungkinan Anwar akan menjadi PM melalui konspirasi 16.09.2008. Dengan 81 Ahli Parlimen dibelakang beliau, dengan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, kemungkinan untuk Anwar disabitkan kesalahan meliwat Saiful agak tipis.



Mana mungkin Anwar akan dihukum penjara. Satu dunia akan bising. Amerika akan bising. Turki akan bising. IPU akan bising. UNHRC akan bising. Amnesty International akan bising. Dan kita ada Kerajaan yang takut dengan bunyi bising diluar!

Jadi perancangan untuk melaksanakan agenda itu dimulakan dengan mengenal pasti kerusi mana Anwar hendak bertanding. Teman yang pada masa itu penuh dengan semangat dan ketaatan mengkhinzir buta telah menawarkan kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baharu. Namun kerja Allah tidak siapa dapat mengatasinya. Petisyen pilihanraya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar terhadap kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu menyebabkan kerusi itu tidak dapat dikosongkan mengikut perancangan.

Lalu Wan Azizah isteri tercinta, Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh terpaksa mengorbankan kerusinya demi 'kesejahteraan PKR'. Dan Anwar memenangi PRK P-044 Permatang Pauh pada 26.08.2008. Setelah mengangkat sumpah pada 28.08.2008, Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Setelah melalui proses perbicaraan yang meleret-leret dengan jumlah penangguhan yang melayakkan kes dimasukkan kedalam Malaysia Book of Record, pada 10.01.2012, Mahkamah membebaskan Anwar daripada dakwaan meliwat Saiful!***

Sekarang Anwar berdepan dengan rayuan kes Saiful. Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat ini (iaitu 11, 12 & 13 Februari); dan sekali lagi Anwar berdepan dengan risiko hukuman penjara yang panjang jika Mahkamah menerima rayuan Pendakwaraya.



Dan kali ini Pendakwaraya diwakili peguam veteran terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam no-nonsense yang diperakui kehebatan guamannya!


Risiko dipenjarakan menjadi real; risiko impian menjadi PM ke 7 hancur lebur menjadi real; dikala umur 67 tahun dan sudah masuk waktu kubor kata mari, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ianya mesti dipintas at all cost!

Siapa yang berani mahu menghukum penjara seorang Menteri Besar yang berpengaruh atas tuduhan meliwat? Siapa yang berani berdepan dengan masyarakat dunia liberal barat sebagai pemimpin negara yang menghukum MB Selangor dengan tuduhan meliwat? Siapa yang berani nak berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat? Siapa mahu berdepan dengan Erdogan dan Turki? Siapa nak berdepan dengan Amnesty International, Human Rights Commission dan negara liberal Eropah yang lain - yang mengamalkan seks bebas terbuka termasuk membenarkan homoseksual!

Matlamatnya - Anwar mesti jadi MB Selangor at all cost untuk memastikan Penjara Sg. Buloh bukan destinasi terakhir Anwar dimuka bumi ini!


TAN SRI KHALID PENGHALANG

Tapi Tan Sri Khalid Ibrahim ada disana sebagai MB. Beliau mendapat sokongan penuh DAP; masyarakat peniaga dan korporat Cina dikatakan menyukai cara pentadbirannya yang dikatakan business-friendly, efficient & corrupt free Menteri Besar!

PAS pula tidak senang dengan pendirian Anwar yang liberal, yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh kristian yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura' PAS.

Dan Khalid bukan jenis yang akan tunduk na'am kepada semua kehendak Anwar. Walaupun beliau diketepikan sebagai Ketua Perhubungan PKR Negeri Selangor, beliau masih lagi berpengaruh. Bila Anwar menghantar Saifudin Nasution sebagai Liason Director antara pejabat MB dengan PKR, Khalid memperlekehkan perlantikan tersebut dengan menyumbat Saifudin di Tingkat 5 dan 'kami boleh berhubung dengan email' - begitu Khalid memperlekeh duta Anwar ke pejabat MB.

Khalid tahu kekuatannya terletak kepada perlindungan dan pengaruh Presiden, Datin Seri Wan Azizah. Selagi Wan Azizah menyokongnya, Anwar dan konco-konconya tidak akan berani melakukan sesuatu terhadap Khalid. Sebab itu Faekah Hussein, panglima kanan Wan Azizah, wanita besi yang paling dibenci oleh segelintir kumpulan anti-Khalid didalam PKR dilantik memegang beberapa portfolio berpengaruh dan berkuasa didalam pejabat MB. Beliau bukan sahaja Setiausaha Politik dan Pegawai Khas MB, beliau juga Pengerusi MBI, badan korporat paling bepengaruh dalam negeri Selangor dengan kekuatan dana yang besar!



Saya kenal Faekah Hussin ini. Beliau adik bekas Ketua Pengarah BPR Datuk Zaki Hussin. Beliau jenis no-nonsense; dan saya cukup yakin beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyundal dan merampok khazanah Negeri Selangor. Dan Faekah ini jenis tidak gentar dengan sesiapa - almaklumlah dia seorang peguam! Ini antara punca saya percaya Faekah menjadi begitu tidak terkenal, malah dibenci oleh segelintir mereka dalam PKR yang anti Tan Sri Khalid!

Lalu bagaimana nak pastikan Wan Azizah, dan Faekah, tidak lagi melindungi Khalid?


CHECK-MATE TERHADAP WAN AZIZAH & NURUL IZZAH

Tiba-tiba terbongkar kisah juicy permohonan perceraian fasakh oleh Nurul Izzah, anak sulong Wan Azizah dengan suaminya Raja Ahmad Syahrir. Sebenarnya permohonan sudah difailkan lama, dan tiada sesiapa pun mengetahuinya kecuali peguam, Mahkamah dan beberapa inner-circle dalam PKR.

Tiba-tiba Ahad 26 Jan lepas, berita permohonan perceraian itu terbongkar. Ada sumber dalaman PKR telah mendedahkannya kepada para blogger dan media arus perdana. malah ada yang menerima transkrip terperinci sebab-sebab permohonan perceraian itu dimohon oleh Nurul Izzah, termasuk gambar seorang jejaka yang agak 'jambu' turut disebarkan.

Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan rising star didalam PKR. Malah beliau pernah menyatakan hasrat menentang orang kanan Anwar Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan lalu. Beliau penyokong kuat ibunya Wan Azizah dan Khalid Ibrahim.

Sebarang sokongan terbuka daripada Nurul Izzah, disertai sokongan terbuka ibunya Wan Azizah terhadap kepimpinan Khalid sebagai MB akan menyukarkan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Khalid.



Jadi Wan Azizah dan Nurul Izzah harus dikekang!

Pembongkaran kes permohonan cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan segala kisah sensasinya menjadi check-mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah. Bagaimana mungkin sekarang Wan Azizah dan Nurul Izzah mahu memberikan sokongan terbuka kepada Khalid - pasti mereka akan dicemuh supaya pergi urus hal rumahtangga engkau sendiri lah!

Lalu Khalid terkonteng-konteng keseorangan, tanpa sokongan Presiden dan Naib Presiden, tanpa sebarang jawatan dalam parti. Hanya tinggal DAP dan PAS menjadi sandaran akhir Khalid! 


STRATEGI MENGGUSARKAN DAP-PAS 

Tiba-tiba muncul pula isu tuntutan untuk terus mengguna-pakai kalimah Allah dalam upacara keagamaan kristian digereja-gereja mereka di Selangor. Pelik! Hanya di gereja-gereja di Selangor, tidak di Pulau Pinang! Dalam keadaan mereka sudah pasti tahu Selangor mempunyai Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Bila isu rampasan bible versi Bahasa Melayu yang menyalah-terjemahkan kalimah Allah tercetus dan JAIS melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang dan merampas bible-bible tersebut, ruang terbuka luas untuk Khalid diserang.

Kesempatan ini diambil untuk menakutkan DAP. Sikap Khalid tiba-tiba membuat kenyataan menyokong titah Tuanku Sultan Selangor melarang penggunaan kalimah Allah dan akan terus akur dengan titah itu sudah pasti menggusarkan parti cauvinis DAP ini. Sikap ini sudah pasti akan mengendurkan sokongan DAP kepada Khalid.

Diwaktu yang sama, tindakan Khalid mengarahkan JAIS mengembalikan bible yang dirampas menyebabkan ada penentangan daripada PAS. Kenyataan Exco Hal Ehwal Islam daripada PAS, YB Solehin Mukhyi dilihat tidak senada dengan kenyataan Khalid. Saya cukup pasti faktor ini akan digunakan sepenuhnya untuk menakutkan elemen-elemen didalam PAS Selangor. Kononnya kalau dibiarkan Khalid terus menajdi MB, PAS akan hilang lebih banyak kerusi dalam PRU nanti, sebab orang Melayu benci! Ini akan pasti menyebabkan PAS berfikir dua tiga kali untuk terus menyokong Khalid!

Akhirnya dengan strategi yang cukup licik dan holistik, Khalid terkonteng-konteng keseorangan. Kali ini Khalid benar-benar terjebak. Dia sudah tidak boleh lari.

Perletakkan jawatan YB Lee Chin Cheh dan pengosongan kerusi DUN Kajang sekadar pelengkap kepada konspirasi menjatuhkan Khalid dan menobatkan Anwar Ibrahim sebagai MB. Malah kemungkinan YB Lee sendiri tidak menyedari permainan politik puak-puak ini!


PELAN DAMAI NASIONAL MEMERANGKAP UMNO

Dan untuk memastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, maka ditawarkan kepada UMNO dan Barisan Nasional 'Pelan Damai Nasional'! Ini lawak senario abad ini. Bagaimana mungkin parti yang cacamerba penuh dengan percakaran dalaman dengan begitu sardin mengemukakan 'Pelan Damai Nasional'. Saya ingat Saiful Apek boleh mati ketawa tertelan gigi palsu mendengar berita ini.

Jika UMNO/BN menerima pelan ini, saya cukup yakin nanti akan timbul desakan supaya UMNO/BN membuktikan keikhlasan dengan tidak meletakkan calon bagi PRK N.25 DUN Kajang ini. Sekaligus memberikan Anwar laluan-percuma untuk menjadi ADUN Kajang dan selayaknya ditabalkan sebagai MB Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid.

Kalau UMNO/ BN termakan dengan taktik ini, saya kira tidak ada ayat lagi nak diberi kepada UMNO/ BN selain daripada melafazkan innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un kepada UMNO/ BN. Nampak sangat UMNO/ BN bekerja keras untuk menjadi pembangkang dalam PRU-14 nanti.

Dan jika ditakdirkan berlaku PRK N.25 Kajang, saya menasihatkan UMNO meletakkan calon UMNO disitu. Saya percaya dengan calon UMNO yang berkaliber dan punya integriti dan kewibawaan, UMNO punya peluang cerah memenangi kerusi DUN Kajang. Jangan dibiar hak demokrasi rakyat Selangor diliwat dengan begitu mudah oleh para peliwat democrazy ini.


TAKTIK AKHIRUL KALAM - VIDEOKLIP

Saya menerima maklumat jika semua perancangan ini gagal, atau pun jika rancangan ini memerlukan satu water-tight ending, maka sebuah videoklip yang diambil daripada sebuah sudut yang agak tinggi disebuah kediaman akan disebarkan. Apa video itu...tunggu dan lihat!


RUMUSAN & OPSYEN BUAT TAN SRI KHALID

Persoalan cepumas sekarang ialah: adakah riwayat Khalid sudah berakhir!

Belum. Jangan write-off Khalid cepat sangat. Beliau seorang tokoh korporat, beliau sudah biasa dengan taktik dan maneouvre seperti ini.

Khalid sekarang ada beberapa opsyen:

1. Khalid boleh buat keras kepala dan terus kekal sebagai MB. Tiada sesiapa pun boleh menggugat kedudukannya. Kalau Khalid memilih opsyen ini, Anwar tidak ada pilihan selain meminta DUN Selangor memanggil sidang tergempar membuat usul undi tidak percaya kepada Khalid. Untuk itu Anwar memerlukan sokongan penuh ADUN DAP dan PAS selain ADUN PKR sendiri. Atau dalam keadaan ekstrim, Anwar boleh mengarahkan semua  ADUN PKR tidak menyokong Khalid. Ini akan menjadikan satu suasana DUN tergantung. Tetapi ini semua belum tentu berjaya; dan kalau berjaya pun Anwar akan dilihat sebagai aggressor yang tamak mahukan jawatan sehingga menganiaya dan mengkhianati MB sendiri!

2. Khalid boleh mempengaruhi kesemua ADUN PKR, DAP dan PAS untuk terus menyokong beliau dengan mengadakan undi kepercayaan dalam Dewan. Tetapi ini juga mempunyai risiko kerana tidak mungkin ADUN PKR akan menyebelahi beliau;

3. Khalid boleh membuat pakatan dengan ADUN BN, dengan syarat dia boleh membawa jumlah ADUN yang cukup menyokongnya untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, dan dia terus menjadi MB. Ini juga opsyen yang mempunyai risiko yang tinggi kerana Khalid akan sentiasa duduk dibawah ugutan dan tekanan ADUN-ADUN ini;

4. Atau Khalid boleh mengambil opsyen menelan sahaja apa yang berlaku. Terima sahaja takdir masanya dah berlalu, dah tak ada rezeki. Lantak pi lah siapa pun nak jadi MB. Elok pencen jaga cucu dudok kat masjid bilang buah tasbih; cari pahala sikit; atau

5. Opsyen terakhir dan paling realistik untuk Khalid sekarang ialah membubarkan DUN Selangor. Sebagai MB, hanya beliau, dan tidak ada orang lain dalam dunia ini, yang mempunyai hak legal dan politikal untuk menasihatkan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor. Beliau boleh menggunakan alasan bahawa hak demokrasi rakyat Selangor untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Selangor yang baru harus dihormati.

Sekiranya beliau digulingkan dengan cara democrazy pintu nelakang luar tabi'e ini, maka apa yang terjadi sebenarnya ialah hak demokrasi rakyat Selangor telah diliwat melalui kaedah politiking pintu belakang akibat mainan politik luar tabi'e pihak tertentu!

Dan jika Tuanku Sultan Selangor memperkenankan sembahan beliau, DUN Selangor boleh dibubarkan dan Pilihanraya Negeri Selangor wajib diadakan dalam tempoh 60 hari. Khalid boleh mengadakan kerjasama-strategik dengan UMNO-BN untuk menawan semula Selangor dengan syarat beliau kekal menjadi MB.

Saya percaya UMNO/BN terbuka dalam menimbang kerjasama-strategik ini. Apa yang penting ialah hak demokrasi rakyat Selangor tidak dicabul sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab!

Apa pun, hayat-politik Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor sudah hampir ke penghujungnya. Malaikat sakarat-politik sedang menunggu di pintu Bukit Malawati. Tetapi Khalid boleh menukar destinasi politiknya jika bijak mengatur langkah.

Nasihat saya kepada Tan Sri Khalid, baca dan perhalusi sejarah bagaimana Allahyarham Tun Gafar Baba jatuh terkangkang akibat mainan politik luar tabi'e ini.

Pisau ditangan Tan Sri, timun pun ditangan Tan Sri. Buat apa yang Tan Sri patut buat untuk memastikan hak demokrasi rakyat Selangor terus terpelihara, dan maruah Tan Sri dipertahankan!

Wallahua'alam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
01 Rabi'ul Akhir 1435
01 Februari 2014



***Kenyataan ini tidak bermaksud dan tidak sepatutnya difahami yang Mahkamah membebaskan Anwar kerana beliau Ketua Pembangkang atau Ahli Parlimen, atau kerana Mahkamah takut kepada tekanan dalam dan luar negara. Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan undang-undang, fakta dan keterangan yang telah dikemukakan kepada Mahkamah dan merumuskan keputusan sewajarnya. Samada penghakiman Mahkamah Tinggi itu wajar atau tidak kita tunggu keputusan Mahkamah Rayuan nanti insyallah. Untuk penjelasan lanjut, sila baca keputusan bertulis Mahkamah Tinggi itu didalam mana-mana jurnal perundangan dan kehakiman.

Sumber

Santai minggu ni


sempena memperingati perjuangan PAS di Selangor layan lagu ni dulu