Friday, 17 January 2014

Swasta ambil alih tapak GiatMara - Khalid Ibrahim


SHAH ALAM 15 Jan. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor merancang untuk menyerahkan tapak pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru kepada syarikat swasta.

Menurut beliau, penyerahan tanah kepada syarikat swasta merupakan salah satu daripada dua pilihan oleh kerajaan negeri di sebalik arahan kepada pihak pengurusan pusat di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan untuk mengosongkan premis itu sehingga akhir tahun ini.

Katanya, satu lagi pilihan adalah membenarkan GiatMara di Taman Selayang Baru terus beroperasi di tapak sama dengan syarat pengurusan pusat latihan tersebut memperbaiki kemudahan serta operasi mereka.

"Kalau GiatMara perbaiki operasinya dan menggunakan tanah tersebut dengan baik, mereka boleh teruskan. Kalau tidak boleh, mereka boleh beralih ke tempat lain supaya kerajaan negeri dapat memperbaikinya semula.

"Pada masa sama, ada syarikat lain yang mahu menjadikan pusat latihan itu (tapak GiatMara Taman Selayang Baru) mampu menyediakan kemahiran yang lebih tinggi kepada anak-anak muda dengan kemahiran lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus Pusat GiatMara di Taman Selayang Baru untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran.
Kerajaan negeri turut memberikan amaran akan mengambil tindakan terhadap pengurusan pusat latihan terbabit tanpa sebarang notis atau ganti rugi di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Tambah Abdul Khalid, syarikat swasta terbabit inginkan lokasi tersebut untuk dijadikan pusat latihan memperbaiki peralatan berkaitan industri penerbangan.

Mengulas lanjut mengenai arahan berkenaan, beliau memberitahu, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya mewujudkan pasukan petugas khas bagi memantau serta membuat laporan mengenai tanah-tanah milik kerajaan negeri.
Beliau menambah, dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, kerajaan negeri perlu menyediakan maklumat akaun yang disatukan mengenai bentuk penerimaan dan bayaran daripada harta-harta yang dimiliki mengikut sistem perakaunan negara.

"Kita lihat GiatMara ini dibina di atas tanah lapang milik kerajaan negeri. Mulanya dibina sebagai dewan orang ramai dan akhirnya dijadikan bengkel pusat latihan.

"Sebab itu pentadbir tanah (Pengawai Daerah Gombak) diminta untuk melihat bangunan (GiatMara) tersebut. Jika didapati tidak selaras dengan kehendak kerajaan negeri, kita minta pihak pengurusan pusat itu mengosongkan tapak berkenaan tetapi notis kita beri dalam tempoh satu tahun (untuk mengosongkan tapak).

"Kalau dia (pengurusan GiatMara Taman Selayang Baru) tidak mahu terus berada di tapak tersebut, mereka boleh mengosongkannya tapi kalau nak duduk di situ, kerajaan negeri akan ambil alih dan perbaiki," ujarnya.


Laporan Asal: Utusan Malaysia 


Thursday, 16 January 2014

Semua GiatMara di Selangor ditutup?




TANJUNG MALIM 15 Jan. - Semua pusat latihan GiatMara di Selangor dipercayai akan mengalami nasib yang sama seperti GiatMara Selayang Baru dan GiatMara Sabak Bernam yang diarah tutup oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada akhir tahun ini.

Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri terbabit untuk menutup semua pusat latihan di bawah kelolaan Mara itu menjelang akhir tahun ini.

"Kami dapat tahu bukan hanya pusat latihan GiatMara seperti dilaporkan media akan ditutup, bakal ada tempat lain dan berkemungkinan di seluruh negeri Selangor.

"Kami kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor. Mereka tidak sewajarnya menganggu GiatMara memandangkan pusat latihan itu merupakan platform terbaik untuk membantu pelajar miskin," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Kepemimpinan Siswa Institusi Pendidikan Mara (IPMa) kali ke-2 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Kanan Pendidikan Tinggi Mara, Datuk Abdul Rahim Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-tech Mara, Profesor Dr. Azali Mohamed.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Negeri Selangor didakwa bertindak mengarahkan pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi satu surat yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak kepada Pengurus pusat latihan di bawah Mara itu yang bertarikh 2 Disember tahun lalu.

Dalam surat tersebut, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan tersebut untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Nazir yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai melampau dan tidak berperikemanusiaan.

"Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia membabitkan pendidikan dan tindakan kerajaan negeri adalah melampau. Sebelum ini Mara mungkin boleh bertolak-ansur dalam isu-isu yang sensitif, tetapi jika membabitkan pelajar Mara, saya tidak rasa kami perlu bertolak ansur," jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, selain pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru, Selangor yang diarahkan tutup, dua lagi pusat latihan GiatMara yang turut menerima notis sama.

Katanya, salah satu pusat latihan itu adalah di Sabak Bernam dan sebuah lagi pusat latihan GiatMara akan didedahkan kemudian.

Sehubungan itu, kata beliau, pentadbiran GiatMara akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan langkah yang harus diambil bagi mempertahankan pusat-pusat latihan berkenaan di Selangor.

Laporan Asal: Utusan Malaysia 


Monday, 13 January 2014

P. KAMALNATHAN TIMBALAN MENTERI BERJIWA RAKYAT

YB Datuk P. Kamalanathan Di KLIA Ketika Menunggu Kepulangan Pelajar Malaysia Dari Mesir (2013)
Saya terkejut dengan berita YB. Datuk P. Kamalnathan ditumbuk http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamalanathancederaditumbuk/Article. 

Sepanjang saya mengenali YB Datuk P. Kamalnathan, beliau adalah seorang yang sangat prihatin, mesra rakyat dan seringkali ingin mengambil tahu masalah rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Perkhidmatan beliau adalah merentas sempadan negeri dan sebagainya. Beliau adalah contoh Timbalan Menteri yang bagus untuk rakyat Malaysia.

Pada tahun 2010, saya didatangi oleh seorang guru dari Kelantan kerana masalah perkhidmatan beliau yang sudah lama terhenti kerana sebab-sebab tertentu. Pada masa itu, YB Datuk Kamalnathan belum lagi menjadi Timbalan Menteri tetapi beliau sudi mendengar dan menjawab panggilan telefon saya. Bacaan ulangan di sini http://www.al-azharrisiddiq.com/2013/06/kenapa-tidak-pertikai-yang-tidak-fasih.html

Beberapa hari kemudian, beliau telah memberikan surat sokongan dan berhubung sendiri dengan pihak Kementerian untuk membantu menyelesaikan masalah guru tersebut.

Kita harus faham, Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagai Ahli Dewan Rakyat merupakan pembuat dasar dan polisi-polisi penting negara kita di dalam parlimen. Perlaksanaan dasar-dasar itu dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan sebagai peneraju penting sesebuah kerajaan. 

Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mempunyai kuasa veto untuk menukar seseorang guru yang hendak bertukar, namun beliau boleh memberi sokongan. Di Kementerian Pelajaran, sudah ada sistem yang disediakan dan ada budi bicara yang diberikan seperti rayuan dan sebagainya. 

Kalaulah semua Menteri dan Timbalan Menteri memaksa Kementerian Pelajaran supaya menuruti kehendak mereka agaknya apa akan jadi kepada sistem pertukaran guru kita. Sudah pasti ianya akan kelam-kabut dan memberi kesan kepada proses pembelajaran anak-anak kita. Kerajaan dan negara kita bukan kerajaan kukubesi, sosialis atau komunis untuk memaksa kakitangan kerajaan untuk menuruti kehendak mereka secara diktator.

Oleh itu, kita perlukan kesabaran di mana khabarnya suatu sistem baharu penempatan dan pertukaran guru yang lebih mudah dan bersifat lebih baik sedang diusahakan oleh kerajaan seperti mengikut suami/isteri, berdekatan tempat tinggal dan sebagainya. Walaupun ketika memohon pekerjaan ramai yang sanggup menerima penempatan di mana sahaja.

Di dalam kerajaan kita, surat-surat sokongan bukanlah sebagai suatu surat kepastian. Saya sudah pernah menceritakan perkara ini di sini http://www.al-azharrisiddiq.com/2013/12/tnb-proton-dan-ds-najib.html
YB P. Kamalnathan Tekun Mendengar Isu-Isu Semasa Ops Piramid 2013 di KLIA
Begitu juga semasa pelajar-pelajar kita dari Mesir dibawa pulang ke Malaysia tahun lalu (2013), di mana YB Datuk P. Kamalnathan datang seawal pagi untuk menanti kepulangan pelajar-pelajar kita dari Mesir. Beliau menanti dengan sabar, memberi ucapan semangat dan memberi penerangan kepada ibu bapa.

Saya tidak bersetuju dengan perbuatan yang dilakukan ke atas YB Datuk P. Kamalnathan walau apapun alasan yang diberikan. Ianya adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dan tidak bertamadun. Agama kita Islam sendiri melarang perbuatan tersebut dan kita sepatutnya beristighfar dan berasa malu dengan perkara ini.

Saya menyarankan supaya beliau memohon maaf kepada YB. Datuk Kamalnathan, sesungguhnya memohon maaf adalah perbuatan yang terpuji di dalam agama Islam. Semua orang ada melakukan kesilapan, tetapi apa salahnya memohon maaf. 

Sumber : Jentayuabaka

Saturday, 11 January 2014

Majlis Agama Islam Selangor Tolak SOP Kerajaan Negeri!

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menolak pengenalan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang diperkenalkan kerajaan negeri berhubung proses penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang bertanggungjawab sebagai badan penguat kuasa hal ehwal agama mempunyai kuasa untuk melakukan serbuan atau pemeriksaan tanpa perlu merujuk kepada ahli exco kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Mais ingin menegaskan bahawa Jais tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana ini akan mengganggu proses penyiasatan yang hendak dilakukan.

“Bagaimanapun tindakan pihak Jais ini dilakukan setelah pihak Mais mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan Mais agar Jais mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 atau dengan kata lain menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Selangor,” katanya menerusi kenyataan kepada mStar Online di sini pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai pengenalan SOP baharu yang berkuat kuasa pada Rabu agar Jais perlu merujuk kepada Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi sebelum membuat serbuan pasa masa akan datang.

SOP baharu itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat exco pada Rabu.

Pada 2 Januari lalu, Jais merampas kira-kira 300 bible versi Bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan yang dilakukan di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Adzib menegaskan, tindakan Jais melakukan pemeriksaan ke atas PBM bukan kerana cetakan bible dalam Bahasa Melayu seperti yang diperdebatkan oleh banyak pihak.

“Mais menegaskan bahawa tindakan Jais adalah atas dasar kalimah Allah telah digunakan di dalam bible berkenaan dan ini mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenalpasti sama ada berlaku satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988.

“Malangnya tindakan ini digambarkan seolah-olah JAIS melakukan pemeriksaan adalah semata-mata kerana cetakan bible berkenaan dibuat dalam versi Bahasa Melayu.

“Tindakan pihak- pihak berkenaan amat dikesali kerana mereka telah membuat kenyataan tanpa menyemak fakta yang sebenar. Ini menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan pihak Jais,” katanya. - mstar

Friday, 10 January 2014

MB Selangor Tak Telus?? Rakyat bantah pembinaan gereja di Tanjung Karang

TANJUNG KARANG 9 Jan - Kira-kira 200 penduduk di sini berhimpun secara aman bagi membantah pembinaan Gereja Methodist di Lot 178 Taman Tanjung Karang.


Pengerusi Ketua Jawatankuasa Penduduk (JKKP) Kampung Sg Tengi Kiri, Johari Md. Nooh berkata, umat Islam di kawasan tersebut mempunyai hak untuk menentang pembinaan gereja tersebut.



"Setelah 15 tahun kami mempertahankan kampung ini.Mereka tidak memberi sebarang maklumat mengenai pembinaan gereja ini.



"Kami menentang pembinaan ini kerana majoriti penduduk di kawasan ini merupakan umat Islam dan hanya 1 atau 2 peratus sahaja yang beragama Kristian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi pembinaan hari ini.


Tambahnya,permohonan membina gereja ini diluluskan sejak parti pembangkang mengambilalih tampuk pimpinan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Sumber