Friday 17 January 2014

Swasta ambil alih tapak GiatMara - Khalid Ibrahim


SHAH ALAM 15 Jan. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor merancang untuk menyerahkan tapak pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru kepada syarikat swasta.

Menurut beliau, penyerahan tanah kepada syarikat swasta merupakan salah satu daripada dua pilihan oleh kerajaan negeri di sebalik arahan kepada pihak pengurusan pusat di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan untuk mengosongkan premis itu sehingga akhir tahun ini.

Katanya, satu lagi pilihan adalah membenarkan GiatMara di Taman Selayang Baru terus beroperasi di tapak sama dengan syarat pengurusan pusat latihan tersebut memperbaiki kemudahan serta operasi mereka.

"Kalau GiatMara perbaiki operasinya dan menggunakan tanah tersebut dengan baik, mereka boleh teruskan. Kalau tidak boleh, mereka boleh beralih ke tempat lain supaya kerajaan negeri dapat memperbaikinya semula.

"Pada masa sama, ada syarikat lain yang mahu menjadikan pusat latihan itu (tapak GiatMara Taman Selayang Baru) mampu menyediakan kemahiran yang lebih tinggi kepada anak-anak muda dengan kemahiran lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus Pusat GiatMara di Taman Selayang Baru untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran.
Kerajaan negeri turut memberikan amaran akan mengambil tindakan terhadap pengurusan pusat latihan terbabit tanpa sebarang notis atau ganti rugi di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Tambah Abdul Khalid, syarikat swasta terbabit inginkan lokasi tersebut untuk dijadikan pusat latihan memperbaiki peralatan berkaitan industri penerbangan.

Mengulas lanjut mengenai arahan berkenaan, beliau memberitahu, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya mewujudkan pasukan petugas khas bagi memantau serta membuat laporan mengenai tanah-tanah milik kerajaan negeri.
Beliau menambah, dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, kerajaan negeri perlu menyediakan maklumat akaun yang disatukan mengenai bentuk penerimaan dan bayaran daripada harta-harta yang dimiliki mengikut sistem perakaunan negara.

"Kita lihat GiatMara ini dibina di atas tanah lapang milik kerajaan negeri. Mulanya dibina sebagai dewan orang ramai dan akhirnya dijadikan bengkel pusat latihan.

"Sebab itu pentadbir tanah (Pengawai Daerah Gombak) diminta untuk melihat bangunan (GiatMara) tersebut. Jika didapati tidak selaras dengan kehendak kerajaan negeri, kita minta pihak pengurusan pusat itu mengosongkan tapak berkenaan tetapi notis kita beri dalam tempoh satu tahun (untuk mengosongkan tapak).

"Kalau dia (pengurusan GiatMara Taman Selayang Baru) tidak mahu terus berada di tapak tersebut, mereka boleh mengosongkannya tapi kalau nak duduk di situ, kerajaan negeri akan ambil alih dan perbaiki," ujarnya.


Laporan Asal: Utusan Malaysia 


No comments:

Post a Comment