Showing posts with label Giat MARA. Show all posts
Showing posts with label Giat MARA. Show all posts

Monday 20 January 2014

Isu Giat MARA Selayang - Hanya UMNO Yang Pertahan Hak Melayu!



LAWATAN PEMUDA UMNO KE GIATMARA SELAYANG

Pada 20 Januari 2014 (Isnin) jam 10.00 pagi Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Negeri Selangor telah melawat Giatmara Selayang untuk menyelami permasalahan di pusat latihan tersebut. 

Antara kenamaan yang hadir adalah Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya (Biro Pendidikan Tinggi), Zainuri Zakaria (Ketua Pemuda Umno Selangor), Mohd Nazri Mohd Amin (Ketua Pemuda Umno Selayang), Dato Mohd Nasir Ibrahim (Timbalan Ketua Umno Bahagian Selayang) dan Hasnal Rezua Merican (Naib Ketua Umno Bahagian Selayang / Peguam).





Zainuri Zakaria menyatakan pendirian Pemuda Umno Malaysia dan Selangor untuk mempertahankan Giatmara Selayang yang banyak membela pelajar (tercicir PMR dan SPM) agar dikekalkan di lokasi sedia ada.

Giatmara Selayang merupakan tempat pelajar menimba ilmu kemahiran secara percuma. Kerajaan Selangor tiada sebab untuk mengusir Giatmara Selayang kerana PR selalu melaungkan kebajikan rakyat dalam ceramah mereka.

Isu mengosongkan Giatmara menjelaskan pemimpin PR Selangor tidak sepakat dalam membuat keputusan kerana kenyataan yang dikeluarkan exco (arahan mengosongkan) dan MB (dikaji semula) bercanggah satu sama lain.

Beliau turut menyelar tindakan Zaidy Abd Talib (Adun Taman Templer) yang melawat Giatmara Selayang selepas isu meletus seumpama mahu 'menyucikan' isu dgn datang melawat hanya nak mengaburi mata masyarakat. Jika kerajaan Selangor ikhlas mahu membantu Giatmara, pusat latihan itu harus diberi kebenaran menduduki tanpa syarat.





Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya menyatakan isu ini perlu diberi perhatian kerana Mara sejak mutakhir ini menjadi sasaran kerajaan Selangor seperti isu UiTM Serendah. Giatmara yang wujud 20 tahun secara konsisten dan lokasi sekarang bersesuaian kerana pusat latihan sediakan asrama kepada pelatih (tumpuan kepada penduduk setempat).

Sekiranya kerajaan negeri Selangor mahu ia dipindahkan apa tawaran kerajaan negeri berikan (tapak) kerana surat mengatakan ia perlu dikosongkan tanpa ganti rugi. Percanggahan kenyataan antara exco dan MB yang jelas kepincangan pentadbiran pentadbiran Selangor.

Kenyataan MB memberi pengiktirafan dgn mengatakan perlu penambahbaikan prasarana sedangkan exco yang datang bukan sahaja tidak menyebut perkara tersebut malah serah surat mengosongkan pula yang diserahkan.




Hasnal Rezua Merican pula menyatakan Umno akan mengkaji daripada sudut perundangan dan fakta untuk mempertahankan Giatmara Selayang.

Giatmara ini ditubuhkan atas kebenaran oleh kerajaan Selangor secara percuma (bukan TOL atau sewaan). Surat yg dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (arahan mengosongkan) menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab yang mendakwa menduduki tanpa kebenaran sedangkan ada kontrak yang sah.

Beliau berpendirian bahawa Giatmara menduduki tanah tersebut secara sah berdasarkan 'common law'.





RMK: Nah, sudah terbukti jelas dan terang. Selepas UiTM dan PKNS, kini GiatMARA pula diserang pentadbiran PR Selangor. Apakah ada agenda tersembunyi yang terang-terangan menyerang satu persatu aset Melayu Bumiputera di negeri Selangor? Apa dah jadi dengan PAS dan PKR? Masih buta atau sengaja membutakan diri? Mana pergi janji-janji pilihanraya kononnya hak Melayu Bumiputera akan sentiasa dijaga?

Harapkan pagar, pagar makan padi!

Sunday 19 January 2014

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor Tdak Masuk Akal - Datuk Sohaimi Shahadan



KUALA LUMPUR 15 Jan. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan tindakan kerajaan negeri Selangor mengarahkan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup sebagai tidak masuk akal. Beliau berkata, arahan penutupan GiatMara tersebut merupakan satu penindasan terhadap orang Melayu, sekali gus menutup peluang rakyat negeri itu untuk mendapatkan hak pendidikan.

Katanya, tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyerahkan tapak GiatMara itu kepada sebuah syarikat penyelenggaraan kapal terbang hanya bermotifkan keuntungan perniagaan semata-mata.

“Difahamkan tujuan tanah seluas satu ekar (0.4 hektar) itu diambil bagi membuka sebuah pusat membaik pulih pesawat, namun alasan itu tidak masuk akal langsung kerana tanah di situ hanya berkeluasan setengah ekar (0.2 hektar).

“Tanah itu juga jelas tidak sesuai untuk aktiviti itu kerana berdekatan dengan kawasan perumahan dan tempat riadah. Persoalannya, sudah tidak ada tanah lain ke di negeri Selangor ini?," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas arahan kerajaan negeri Selangor berhubung penutupan GiatMara Taman Selayang Baru yang dibuat melalui satu surat Pejabat Tanah dan Daerah Gombak kepada pengurus pusat latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertarikh 2 Disember lalu.

Difahamkan, pengurusan GiatMara itu diminta berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember lalu hingga 10 Disember depan atas alasan tanah seluas 11,396 kaki persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, tindakan penutupan institusi pendidikan di negeri pembangkang bukan pertama kali berlaku dan rakyat seharusnya membuka mata terhadap sikap kerajaan itu yang kononnya mengutamakan kebajikan rakyat namun bertindak sebaliknya.

Jelas beliau, agenda kerajaan pembangkang amat jelas untuk memenangi hati golongan bukan bumiputera dan kapitalis dengan menghalang usaha membantu melahirkan lebih ramai golongan Bumiputera yang berkemahiran. Dalam hal ini, saya sangat kesal kerana wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Templer gagal membela nasib orang Melayu yang tertindas di situ dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seharusnya bertanggungjawab dalam perkara ini," tegasnya.

Laporan Asal: Utusan Malaysia 

Friday 17 January 2014

Swasta ambil alih tapak GiatMara - Khalid Ibrahim


SHAH ALAM 15 Jan. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor merancang untuk menyerahkan tapak pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru kepada syarikat swasta.

Menurut beliau, penyerahan tanah kepada syarikat swasta merupakan salah satu daripada dua pilihan oleh kerajaan negeri di sebalik arahan kepada pihak pengurusan pusat di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan untuk mengosongkan premis itu sehingga akhir tahun ini.

Katanya, satu lagi pilihan adalah membenarkan GiatMara di Taman Selayang Baru terus beroperasi di tapak sama dengan syarat pengurusan pusat latihan tersebut memperbaiki kemudahan serta operasi mereka.

"Kalau GiatMara perbaiki operasinya dan menggunakan tanah tersebut dengan baik, mereka boleh teruskan. Kalau tidak boleh, mereka boleh beralih ke tempat lain supaya kerajaan negeri dapat memperbaikinya semula.

"Pada masa sama, ada syarikat lain yang mahu menjadikan pusat latihan itu (tapak GiatMara Taman Selayang Baru) mampu menyediakan kemahiran yang lebih tinggi kepada anak-anak muda dengan kemahiran lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus Pusat GiatMara di Taman Selayang Baru untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran.
Kerajaan negeri turut memberikan amaran akan mengambil tindakan terhadap pengurusan pusat latihan terbabit tanpa sebarang notis atau ganti rugi di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Tambah Abdul Khalid, syarikat swasta terbabit inginkan lokasi tersebut untuk dijadikan pusat latihan memperbaiki peralatan berkaitan industri penerbangan.

Mengulas lanjut mengenai arahan berkenaan, beliau memberitahu, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya mewujudkan pasukan petugas khas bagi memantau serta membuat laporan mengenai tanah-tanah milik kerajaan negeri.
Beliau menambah, dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, kerajaan negeri perlu menyediakan maklumat akaun yang disatukan mengenai bentuk penerimaan dan bayaran daripada harta-harta yang dimiliki mengikut sistem perakaunan negara.

"Kita lihat GiatMara ini dibina di atas tanah lapang milik kerajaan negeri. Mulanya dibina sebagai dewan orang ramai dan akhirnya dijadikan bengkel pusat latihan.

"Sebab itu pentadbir tanah (Pengawai Daerah Gombak) diminta untuk melihat bangunan (GiatMara) tersebut. Jika didapati tidak selaras dengan kehendak kerajaan negeri, kita minta pihak pengurusan pusat itu mengosongkan tapak berkenaan tetapi notis kita beri dalam tempoh satu tahun (untuk mengosongkan tapak).

"Kalau dia (pengurusan GiatMara Taman Selayang Baru) tidak mahu terus berada di tapak tersebut, mereka boleh mengosongkannya tapi kalau nak duduk di situ, kerajaan negeri akan ambil alih dan perbaiki," ujarnya.


Laporan Asal: Utusan Malaysia 


Thursday 16 January 2014

Semua GiatMara di Selangor ditutup?




TANJUNG MALIM 15 Jan. - Semua pusat latihan GiatMara di Selangor dipercayai akan mengalami nasib yang sama seperti GiatMara Selayang Baru dan GiatMara Sabak Bernam yang diarah tutup oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada akhir tahun ini.

Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri terbabit untuk menutup semua pusat latihan di bawah kelolaan Mara itu menjelang akhir tahun ini.

"Kami dapat tahu bukan hanya pusat latihan GiatMara seperti dilaporkan media akan ditutup, bakal ada tempat lain dan berkemungkinan di seluruh negeri Selangor.

"Kami kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor. Mereka tidak sewajarnya menganggu GiatMara memandangkan pusat latihan itu merupakan platform terbaik untuk membantu pelajar miskin," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Kepemimpinan Siswa Institusi Pendidikan Mara (IPMa) kali ke-2 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Kanan Pendidikan Tinggi Mara, Datuk Abdul Rahim Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-tech Mara, Profesor Dr. Azali Mohamed.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Negeri Selangor didakwa bertindak mengarahkan pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi satu surat yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak kepada Pengurus pusat latihan di bawah Mara itu yang bertarikh 2 Disember tahun lalu.

Dalam surat tersebut, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan tersebut untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Nazir yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai melampau dan tidak berperikemanusiaan.

"Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia membabitkan pendidikan dan tindakan kerajaan negeri adalah melampau. Sebelum ini Mara mungkin boleh bertolak-ansur dalam isu-isu yang sensitif, tetapi jika membabitkan pelajar Mara, saya tidak rasa kami perlu bertolak ansur," jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, selain pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru, Selangor yang diarahkan tutup, dua lagi pusat latihan GiatMara yang turut menerima notis sama.

Katanya, salah satu pusat latihan itu adalah di Sabak Bernam dan sebuah lagi pusat latihan GiatMara akan didedahkan kemudian.

Sehubungan itu, kata beliau, pentadbiran GiatMara akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan langkah yang harus diambil bagi mempertahankan pusat-pusat latihan berkenaan di Selangor.

Laporan Asal: Utusan Malaysia