Tuesday 21 January 2014

Sengketa Khalid-Azmin Makin Parah: Penjawat Awam Pula Dipersalahkan!


SHAH ALAM, 20 Januari 2014 - Pengurus besar dan setiausaha kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dikatakan ditukar secara serta merta berkuatkuasa hari ini, berhubung isu pengguguran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali daripada senarai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, kata satu sumber.
Sumber berkenaan berkata, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memindahkan Othman Omar dan Norita Mohd Sidek ke Pejabat Kerajaan Selangor (SUK), sedangkan Othman masih lagi mempunyai kontrak sehingga 31 Januari ini.
"Surat itu ditandatangani setiausaha kerajaan negeri... beliau (Abdul Khalid) kini cuba mengalihkan kesalahan (menggugurkan Azmin) kepada penjawat awam," kata sumber itu lagi.
Selepas Azmin, Othman dan Norita kini jelas sumber berkenaan turut dilarang daripada menghadiri mensyuarat ahli lembaga pengarah PKNS.
"Abdul Khalid menjadikan mereka sebagai mangsa kesalahannya," jelas sumber itu lagi.
Sumber lain turut mengesahkan perkara itu dengan berkata kedua-dua mereka telah dimaklumkan berkenaan pemindahan itu jam 11 pagi tadi.
"Ya... betul. Mereka telah terima surat jam 11 pagi, dan sekarang menteri besar sedang bermesyuarat berhubung perkara itu," kata sumber berkenaan.
Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Abdul Khalid mengesahkan perkara itu.
"Antara pekara-perkara yang perlu disiasat secara terperinci ialah bagaimana surat pemecatan ahli lembaga pengarah dikeluarkan oleh pengurus besar tanpa pengetahuan menteri besar selaku pengerusi PKNS.
"Keputusan ini telah saya maklumkan kepada kedua-dua pegawai terlibat dan meminta mereka memberi kerjasama penuh kepada siasatan. Saya juga telah memberitahu keputusan ini kepada ahli lembaga pengarah PKNS dalam mesyuarat sebentar tadi.
"Sementara itu, kedudukan ahli lembaga pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS pada 8 Januari lepas untuk mengelak sebarang komplikasi perundangan," katanya dalam satu kenyataan.
Isu pengguguran Azmin sebelum ini menerima kritikan keras pimpinan pembangkang dari PKR selepas Abdul Khalid dikatakan mengambil keputusan dengan mengenepikan kepimpinan tertinggi parti.
Abdul Khalid bagaimanapun selepas mesyuarat Exco minggu lalu menegaskan tindakan menggugurkan Azmin daripada ahli lembaga pengarah PKNS dilakukan oleh Othman, dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) hanya bersetuju dengan perkara itu.
"Keputusan bukan dibuat Exco. Keputusan tidak sambung Azmin dibuat oleh GM (pengurus besar) PKNS. Ia bukan keputusan parti. Exco tak buat keputusan itu.
"Dalam minit mesyuarat Cxco tiada siapa yang disingkir. Surat sudah diberi kepada Azmin dan beliau terima. Exco terima keputusan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco berkenaan.
Kenyataan itu bagaimanapun disanggah Norita, sebaliknya berkata, kuasa lantikan ahli perbadanan itu terletak pada Exco.
Dalam satu kenyataan, Norita menegaskan bahawa PKNS telah memaklumkan kepada Azmin mengenai penamatan jawatannya melalui sepucuk surat bertarikh 8 Januari.
"Tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 13 November, 2013 dan disahkan pada 4 Disember, 2013.
"PKNS juga ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik ahli perbadanan adalah di tangan Exco dan bukan di tangan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS," katanya.
Abdul Khalid bagaimanapun sebelum ini turut menafikan pengguguran Azmin berpunca ekoran daripada pemilihan parti PKR yang akan berlangsung tahun ini.
Kedua-dua pemimpin PKR itu juga sebelum ini sedia maklum tidak sebulu dalam banyak perkara, antaranya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu mengkritik Abdul Khalid secara terbuka berkenaan kenaikan gaji ahli Exco kerajaan Selangor yang disifatkannya sebagai terlalu tinggi.

RMK: Krisis Khalid-Azmin nampaknya bertambah parah. Permainan "politik korporat" Khalid terhadap Azmin kini menular kepada penjawat awam pula. Menjelang pemilihan parti PKR Mac ini, nampaknya Khalid dan Azmin makin agresif sesama sendiri. Memang dalam parti, Azmin ialah Naib Presiden PKR, tetapi Khalid ialah Menteri Besar Selangor sekaligus orang paling berkuasa di negeri terkaya Malaysia ini. Apakah serangan demi serangan oleh Khalid ini membayangkan dia cuba merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan PKR Mac ini? Kita tunggu dan lihat!

No comments:

Post a Comment