Para pengundi di Parlimen Ampang sudah memberikan isyarat jelas kepada Zuraida Kamarudin bahawa dia tidak lagi diterima untuk mempertahankan kerusi kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.
Buktinya, majlis pertemuan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi PKR di Ampang Hilir malam tadi bukan saja gagal mendapat sambutan malahan lebih menyedihkan hanya enam orang sahaja yang menghadirinya, termasuk petugas jentera parti.
Zuraida juga jelas tidak mempunyai pengikut setia di kawasan tersebut walaupun sudah menjadi Ahli Parlimen Ampang selama lima tahun sejak memenanginya pada pilihan raya umum 2008.
Beliau yang akan ditentang oleh calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang, Dr. Rozaidah Talib. Rozaidah memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2004 tetapi tidak dicalonkan semula pada 2008.
Walaupun menyedari ucapannya tidak mahu didengari para pengundi Ampang, Zuraida tetap menabur pelbagai janji kosong jika pakatan pembangkang memenangi PRU-13, termasuk pelbagai insentif dalam bentuk kewangan kepada rakyat.
Antaranya, pemberian saham kepada setiap rakyat di Selangor melalui penstrukturan semula syarikat bekalan air di negeri itu serta menyediakan caruman wanita Malaysia seperti mana manifesto pakatan pembangkang.
Namun, seperti diakui sendiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa manifesto bukan sebuah janji, maka segala tawaran yang ditaburkan Zuraida tidak lebih sebagai gula-gula untuk memancing undi. - UTUSAN ONLINE