Sunday 24 November 2013

"BERKECAMUK" DI ENAM NEGERI - SIRI 1




CANTAS mencantas untuk terus mendominasi parti dan keretakan dalaman, antara punca kebanyakan pemimpin tertinggi DAP negeri tampil membuat kenyataan terbuka 'menghentam'. Ini dipercayai ada hubung-kait dengan pemilihan negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. Pemimpin kanan DAP seperti Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng dikatakan akan memastikan 'orang'nya dipilih pada pemilihan parti kali ini. Seterusnya, didakwa akan membantu mereka menguasai dan 'mencantas' ahli-ahli yang tidak menyokong mereka.

(Dalam siri 1 ini kite akan tengok kat negeri johor dulu..)

JOHOR 
PENGERUSI DAP negeri ini, Dr. Boo Cheng Hau tidak begitu digemari oleh dinasti Lim dan puak-puak mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini khususnya apabila beliau dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan Lim. Perkara ini sudah berlaku sebelum pilihan raya umum ke-13 lagi. Oleh demikian, terdapat dakwaan daripada ahli DAP bahawa dinasti Lim sengaja membuat keputusan untuk bertanding di beberapa kawasan yang rata-rata mempunyai undi Cina dengan membelakangkan Cheng Hau bersama pengikut- pengikut lain yang selama ini telah bertungkus-lumus membangunkan DAP Johor.


Cheng Hau merupakan tunjang utama yang berpengaruh dalam membawa sokongan masyarakat Cina secara khusus dan lain-lain bangsa kepada DAP. Cheng Hau juga mempunyai barisan kepimpinan tertinggi negeri yang setia kepada beliau kerana yakin dengan beliau sehinggalah muncul Lim Kit Siang di Gelang Patah. Tidak cukup dengan itu, Kit Siang turut membawa masuk Liew Chin Tong dari Pulau Pinang (Bukit Bendera) dan Teo Nie Ching (Serdang) untuk mengukuhkan kedudukannya. Kedua-dua pemimpin ini pula merupakan orang kuat dinasti Lim. Malah, dikatakan sudah ada dakwaan terdapat 'tangan ghaib' dari DAP pusat yang bertindak menukar calon-calon mengikut 'selera' dan kepentingan mereka demi memastikan kuasa dan pengaruh Cheng Hau berkurangan.

Perkara ini berterusan walaupun selepas PRU lepas. Kali ini lebih terbuka dengan terdapat usaha untuk 'mencantas' Cheng Hau selamanya. Perkara ini dijangka akan berlaku pada Konvensyen DAP negeri 2013 Disember ini.

Antara dijangkakan, Cheng Hau mungkin 'ditendang' keluar dan digantikan dengan Chin Tong yang juga pengikut setia Kit Siang yang akan mengikut semua kehendak mereka.


to be continued...

Thursday 21 November 2013

Mat Sabu Harapan Politik Pas???

ANTARA populariti dan memastikan ulama berada di kedudukan utama, itulah persoalan yang bermain dalam fikiran ramai ahli Pas apabila mereka membicarakan soal siapakah yang paling layak untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden Pas dalam muktamar parti itu pada 22 November ini.

Dalam tangan 1,300 perwakilan, mereka memiliki undi sama ada untuk mengekalkan Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden selepas beliau berjaya mengetepikan cabaran dua ulama dalam pemilihan lalu atau memberi peluang kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Sememangnya dari segi rekod perjuangan dalam Pas, Mat Sabu dilihat jauh meninggalkan Mohd.Amar yang dianggap hanya dikenali seorang pemimpin di peringkat negeri sahaja.

Mat Sabu pernah menjadi Ketua Pemuda Pas dan Naib Presiden Pas sebelum ini manakala Mohd. Amar pula tewas dua kali dalam percubaan untuk menjadi Naib Presiden.

Berbanding Mohd. Amar, dalam soal bertanding dalam pilihan raya Mat Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri (1990- 1995), Kubang Kerian (1995-1999) dan Kuala Kedah (1999-2004).

''Keberadaan beliau bersama Pas sehingga ke hari ini adalah didahului dengan suatu perjalanan panjang dan sukar dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran yang telah ditentukan Allah kepadanya. Iltizamnya dengan jamaah Islam Pas terus teruji, namun beliau mampu bersabar dengan seluruh ujian itu dan tetap istiqamah dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas serta seluruh kepimpinan dan ahlinya."

Itulah yang dicoretkan oleh seorang pemimpin Pas dalam emel kepada penulis ketika ditanya pandangan beliau berhubung perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu kali ini.

Menurut pemimpin tersebut, penglibatan Mat Sabu di lapangan amal Islami bermula seawal 1975 bersama ABIM kemudiannya bersama Pas sejak 1981.

''Selain diamanahkan bertanding di tiga kawasan Parlimen yang pernah dimenanginya, beliau juga pernah kalah semasa bertanding di parlimen Permatang Pauh (1986) dan Kuala Terengganu (2008).

''Namun, menang atau kalah bukan tujuan utama beliau menyertai pilihan raya itu. Penglibatan beliau dalam pilihan raya semata-mata menunaikan tanggungjawab sebagai anggota Pas yang wajib memberi taat dan wala' kepada jamaah dan demi menunaikan tugasan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang munkar yang telah diwajibkan oleh Allah SWT," kata pemimpin itu lagi.

Selain itu pemimpin tersebut juga menyifatkan, Mat Sabu adalah seorang pemimpin yang tahan diuji apabila pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984 dan 1987.

''Namun demikian, hal ini tidak sedikit pun mengugat keyakinan beliau untuk terus berjuang bersama Pas. Mat Sabu diuji lagi dengan tuduhan bahawa beliau adalah penganut fahaman Syiah sehingga tersebar cerita dan berita bahawa beliau bersolat mengikut cara Syiah dan mengamalkan ritual-ritual Syiah serta sering melakukan taqiyyah.

''Tetapi Allah memeliharanya daripada semua tuduhan itu dengan ucapan dua tok guru iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menafikan Mat Sabu adalah Syiah tetapi pengkagum revolusi Iran yang dipelopori oleh para ulama.

''Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula sering memuji keberanian dan kepetahan Mat Sabu di Parlimen memperjuangkan isu rakyat dan negara, isu-isu Islam serta isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Sekali lagi Mat Sabu tidak berkecil hati dengan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan Syiah melainkan menguatkan lagi dirinya untuk terus komited dengan Pas," kata pemimpin Pas itu lagi.

Malah pemimpin Pas itu juga memuji kehebatan Mat Sabu dalam menghadiri perhimpunan seperti Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat serta terlibat dalam memperjuangkan pelbagai isu rakyat.

''Tetapi malangnya, menjelang muktamar Pas, figura yang telah berjuang dengan ikhlas, berhadapan dengan pelbagai ancaman yang belum tentu mampu dihadapi oleh orang lain namun tetap istiqamah dan terus komited memberi sumbangan kepada Pas dengan sumbangan yang cemerlang ini mahu dicantas oleh individu dan kumpulan tertentu di dalam Pas khususnya golongan ustaz dan ulama melalui liqa'-liqa' fikri yang dianjurkan oleh mereka.

''Mat Sabu kembali dijaja sebagai Syiah dan anti-ulamak. Para aktivis Pas dan penyokong Pas di luar parti pasti merasa sangat kecewa dengan perkembangan ini dan sangat kesal dengan tindakan puak-puak ini.

''Bagi kami, Mat Sabu adalah tokoh paling layak dan kompeten untuk mengisi dan berperanan di kerusi Timbalan Presiden Pas, bukannya tokoh-tokoh lain. Insya-Allah, jika Mat Sabu kekal di jawatannya yang disandang sekarang pasti akan menguntungkan Pas pada masa akan datang," katanya.

Sememangnya jika apa yang dipaparkan mengenai rentetan perjalanan politik Mat Sabu, tidak ada salah untuk beliau terus kekal sebagai Timbalan Presiden.

Apatah lagi menurut satu sumber, Mat Sabu dikatakan mendapat pencalonan melebihi Mohd. Amar bagi jawatan Timbalan Presiden. Pencalonan itu juga menyaksikan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan mendapat pencalonan tertinggi, tetapi beliau membuat keputusan untuk bertanding Naib Presiden sahaja.

Keputusan Tuan Ibrahim itu membuka laluan kepada pertembungan satu lawan satu antara Mat Sabu dan Mohd.Amar.

''Dari segi populariti, Mohd.Amar tidaklah sehebat Mat Sabu, ia memandangkan politik Mohd.Amar berlegar di sekitar Kelantan sahaja.

''Tetapi sokongan daripada kumpulan proulama mungkin akan memberi kelebihan kepada beliau. Cuma apa yang perlu difahami daripada 1,300 perwakilan, tidak semua mereka 'terikat' dengan sentimen proulama itu. Mereka mungkin akan membuat keputusan berdasarkan kepada populariti,'' kata sumber tersebut.

Jika itu menjadi perkiraan sudah pastilah Mat Sabu berpeluang cerah mengekalkan jawatannya, apatah lagi masih ada keraguan dalam kalangan ahli-ahli Pas mengenai kemampuan Mohd.Amar untuk menjadi orang nombor dua parti itu.

''Keadaan ini berbeza dengan Mat Sabu yang dianggap oleh penyokong-penyokongnya mempunyai kemampuan, kewibawaan dan populariti jauh lebih hebat daripada sesetengah ulama dalam Pas termasuk Mohd.Amar sendiri,'' kata sumber itu.

Namun begitu biar pun dikatakan popular di Kelantan sahaja tetapi sumbangan dan perjuangan Mohd. Amar dalam Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Apatah lagi Mohd.Amar biar pun tidak mengakui mewakili golongan ulama namun beliau dilihat ulama pelapis di dalam Pas.

Bagaimanapun berdasarkan sokongan yang diberikan kepada Mat Sabu adalah jelas, Pas kini sudah bersedia untuk menerima sesiapa sahaja berada dalam barisan tertinggi parti itu.

Tidak kiralah sama ada ulama atau tidak, apa yang penting pemimpin tersebut bersedia berkorban apa sahaja demi perjuangan Pas dan paling utama menjaga kepentingan politik Pas termasuklah dalam hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apa pun, segala-galanya terletak di tangan 1,300 perwakilan Pas untuk membuat keputusan siapa yang mereka mahu menjadi Timbalan Presiden parti itu.

Siapa yang mereka pilih menduduki jawatan itu, maka itulah gambaran perjuangan Pas di masa depan.

Oleh Zulkiflee Bakar

RMK : ......



Wednesday 20 November 2013

Husam Musa: Pertandingan Naib & Timbalan Presiden PAS



Datuk Husam Musa memang seorang yang agak misterius. Para penyokongnya kata dia akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PAS kelak. Tapi menurut Datuk Husam sendiri melalui twitter beliau akan pertahankan jawatan Naib Presiden. Turunkan target ye?

Karier politik beliau memang masih bersisa banyak dan mampu pergi jauh lagi, tapi Husam dah tak sehangat dulu. Bak kata orang seni, sinarnya dah malap. Bukankah dahulu dia disebut-sebut nak jadi MB Kelantan? Walaupun dia masih lagi mewakili DUN Salor, namun hakikatnya Husam dah diketepikan oleh Kerajaan Kelantan atas isu-isu melibatkan istana, apatah lagi Nik Aziz pun dah tak mempertahankan beliau.

Gaya penghujahan Husam pun dah lain macam. Macam dia pulak yang pembangkang kat Kelantan tu. Agak ironik, dahulu Nik Aziz serah pada dia untuk bentang belanjawan negeri. Sekarang dia pulak yang hentam belanjawan negeri kaw-kaw. Marah masih berbisa agaknya?

Ada lima calon untuk tiga kerusi Naib Presiden PAS. Husam, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik. Tuan Ibrahim pun mengambil keputusan untuk tidak bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden. Datuk Abu Bakar Chik pula macam tiada peluang kemenangan. Mungkin kerana faktor usia atau faktor populariti dan mungkin juga faktor dia pernah menentang Nik Aziz dalam kerjasama dengan DAP. 

Datuk Abu Bakar Chik pada hematnya PAS akan semakin kehilangan undi dan sokongan Melayu Islam sekiranya kekal berkerjasama dan berkompromi dengan DAP sedangkan matlamat asal perjuangan PAS semakin lenyap. Ada kemungkinan nampaknya Datuk Abu Bakar Chik akan disingkirkan dan diketepikan oleh PAS sendiri.

Salahuddin Ayub pula sangat disenangi dan pendekatan berdiplomasi beliau amat diterima oleh kawan dan lawan. Dia juga menerima jumlah pencalonan paling tinggi dan dijangka melalui jalan mudah. Masalahnya, Salahuddin bukan lagi bergelar Yang Berhormat. Dia mengambil risiko tinggi melepaskan kerusi Parlimen di Kelantan dan bertanding di Johor, dimana beliau kalah. 

Mahfuz Omar pula bukanlah seorang ahli politik yang benar-benar menyerlah kepimpinannya, namun dia boleh disifatkan sebagai bernasib baik. Pujian Presiden PAS dalam ucapan dasarnya pada tahun 2011 terhadap Mahfuz ternyata amat membantu. Kejayaan Mahfuz sebagai pengarah pilihanraya di PRK Sungai Limau membuktikan dia boleh berjaya dan boleh membantu parti.

Nampaknya cabaran besar menanti Husam pada pertandingan kali ini. Walaupun penyokongnya mendakwa Husam berjaya menarik ribuan rakyat Kelantan di Putrajaya dan membantu kemenangan PAS di Kelantan pada PRU-13 yang lalu, namun hanya masa akan menentukan nasib kerjaya Husam selepas ini.

Pertandingan Naib Presiden PAS akan menyaksikan yang menang dan kalah mencatatkan tahap kemenangan dan kekalahan yang besar. Menarik untuk diikuti.

Kita tunggu dan lihat.

Tuesday 19 November 2013

TUNTUTAN GABUNGAN NGO LIBERAL COMANGO CABAR KEDUDUKAN ISLAM

Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini perlu berasa bimbang terhadap tuntutan Gabungan NGO- NGO Hak Asasi Manusia (Comango). Ini kerana tuntutan-tuntutan yang dibuat Comango bukan sahaja boleh menjatuhkan Islam (ada tuntutan yang dikatakan bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan) dan memecahbelahkan umatnya malah boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini. 

Antara tuntutan-tuntutan yg dibuat adalah seperti dibawah : (bleh klik utk besarkn)



kredit kpd www.arusbaru.my

Najib: Menghadapi Isu-Isu Utama Globalisasi



Menurut Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak, isu-isu utama yang akan dihadapi Malaysia kearah globalisasi ialah:

  1. Mengenalpasti kepentingan kesederhanaan dalam Islam,
  2. penglibatan golongan belia, dan
  3. menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi.
Isu-isu ini bukan sahaja bakal dihadapi oleh negara-negara berpenduduk majoriti Islam, namun turut memberi impak signifikan secara global. 

Penggunaan kekerasan dan kekejaman atas nama agama perlu ditentang dan dikutuk. Ini hanya akan memberi gambaran buruk serta mendatangkan impak kesan panjang yang negatif.

Selain itu penglibatan dan pemerkasaan golongan belia merupakan satu cabaran yang semakin meruncing terutama di negara-negara Islam dimana golongan belia merasakan mereka tiada tempat dalam menentukan halatuju negara. Ini akhirnya menyebabkan mereka melepaskan kesedihan dan kekecewaan mereka di Internet. Golongan bakal pemimpin negara ini perlu dipupuk dan diasuh dengan menjadikan agenda negara sebagai fokus utama.

Penglibatan dan penggalakkan wanita dalam sektor ekonomi berupaya merancakkan lagi sektor ekonomi dan menyumbang kepada pendapatan negara selain memupuk hak kesamarataan jantina.

Malaysia, menurut Najib, boleh menjadi negara Islam model dengan menampilkan keadaan moden, terbuka, demokratik dan berjaya .

RMK amat bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib ini. Semaju dan sehebat mana pun negara kita, Islam dan nilai-nilai keadilan perlu ditegakkan dan menjadi tonggak pembinaan dan pengukuhan negara.