Showing posts with label ulama. Show all posts
Showing posts with label ulama. Show all posts

Thursday 21 November 2013

Mat Sabu Harapan Politik Pas???

ANTARA populariti dan memastikan ulama berada di kedudukan utama, itulah persoalan yang bermain dalam fikiran ramai ahli Pas apabila mereka membicarakan soal siapakah yang paling layak untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden Pas dalam muktamar parti itu pada 22 November ini.

Dalam tangan 1,300 perwakilan, mereka memiliki undi sama ada untuk mengekalkan Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden selepas beliau berjaya mengetepikan cabaran dua ulama dalam pemilihan lalu atau memberi peluang kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Sememangnya dari segi rekod perjuangan dalam Pas, Mat Sabu dilihat jauh meninggalkan Mohd.Amar yang dianggap hanya dikenali seorang pemimpin di peringkat negeri sahaja.

Mat Sabu pernah menjadi Ketua Pemuda Pas dan Naib Presiden Pas sebelum ini manakala Mohd. Amar pula tewas dua kali dalam percubaan untuk menjadi Naib Presiden.

Berbanding Mohd. Amar, dalam soal bertanding dalam pilihan raya Mat Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri (1990- 1995), Kubang Kerian (1995-1999) dan Kuala Kedah (1999-2004).

''Keberadaan beliau bersama Pas sehingga ke hari ini adalah didahului dengan suatu perjalanan panjang dan sukar dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran yang telah ditentukan Allah kepadanya. Iltizamnya dengan jamaah Islam Pas terus teruji, namun beliau mampu bersabar dengan seluruh ujian itu dan tetap istiqamah dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas serta seluruh kepimpinan dan ahlinya."

Itulah yang dicoretkan oleh seorang pemimpin Pas dalam emel kepada penulis ketika ditanya pandangan beliau berhubung perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu kali ini.

Menurut pemimpin tersebut, penglibatan Mat Sabu di lapangan amal Islami bermula seawal 1975 bersama ABIM kemudiannya bersama Pas sejak 1981.

''Selain diamanahkan bertanding di tiga kawasan Parlimen yang pernah dimenanginya, beliau juga pernah kalah semasa bertanding di parlimen Permatang Pauh (1986) dan Kuala Terengganu (2008).

''Namun, menang atau kalah bukan tujuan utama beliau menyertai pilihan raya itu. Penglibatan beliau dalam pilihan raya semata-mata menunaikan tanggungjawab sebagai anggota Pas yang wajib memberi taat dan wala' kepada jamaah dan demi menunaikan tugasan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang munkar yang telah diwajibkan oleh Allah SWT," kata pemimpin itu lagi.

Selain itu pemimpin tersebut juga menyifatkan, Mat Sabu adalah seorang pemimpin yang tahan diuji apabila pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984 dan 1987.

''Namun demikian, hal ini tidak sedikit pun mengugat keyakinan beliau untuk terus berjuang bersama Pas. Mat Sabu diuji lagi dengan tuduhan bahawa beliau adalah penganut fahaman Syiah sehingga tersebar cerita dan berita bahawa beliau bersolat mengikut cara Syiah dan mengamalkan ritual-ritual Syiah serta sering melakukan taqiyyah.

''Tetapi Allah memeliharanya daripada semua tuduhan itu dengan ucapan dua tok guru iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menafikan Mat Sabu adalah Syiah tetapi pengkagum revolusi Iran yang dipelopori oleh para ulama.

''Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula sering memuji keberanian dan kepetahan Mat Sabu di Parlimen memperjuangkan isu rakyat dan negara, isu-isu Islam serta isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Sekali lagi Mat Sabu tidak berkecil hati dengan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan Syiah melainkan menguatkan lagi dirinya untuk terus komited dengan Pas," kata pemimpin Pas itu lagi.

Malah pemimpin Pas itu juga memuji kehebatan Mat Sabu dalam menghadiri perhimpunan seperti Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat serta terlibat dalam memperjuangkan pelbagai isu rakyat.

''Tetapi malangnya, menjelang muktamar Pas, figura yang telah berjuang dengan ikhlas, berhadapan dengan pelbagai ancaman yang belum tentu mampu dihadapi oleh orang lain namun tetap istiqamah dan terus komited memberi sumbangan kepada Pas dengan sumbangan yang cemerlang ini mahu dicantas oleh individu dan kumpulan tertentu di dalam Pas khususnya golongan ustaz dan ulama melalui liqa'-liqa' fikri yang dianjurkan oleh mereka.

''Mat Sabu kembali dijaja sebagai Syiah dan anti-ulamak. Para aktivis Pas dan penyokong Pas di luar parti pasti merasa sangat kecewa dengan perkembangan ini dan sangat kesal dengan tindakan puak-puak ini.

''Bagi kami, Mat Sabu adalah tokoh paling layak dan kompeten untuk mengisi dan berperanan di kerusi Timbalan Presiden Pas, bukannya tokoh-tokoh lain. Insya-Allah, jika Mat Sabu kekal di jawatannya yang disandang sekarang pasti akan menguntungkan Pas pada masa akan datang," katanya.

Sememangnya jika apa yang dipaparkan mengenai rentetan perjalanan politik Mat Sabu, tidak ada salah untuk beliau terus kekal sebagai Timbalan Presiden.

Apatah lagi menurut satu sumber, Mat Sabu dikatakan mendapat pencalonan melebihi Mohd. Amar bagi jawatan Timbalan Presiden. Pencalonan itu juga menyaksikan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan mendapat pencalonan tertinggi, tetapi beliau membuat keputusan untuk bertanding Naib Presiden sahaja.

Keputusan Tuan Ibrahim itu membuka laluan kepada pertembungan satu lawan satu antara Mat Sabu dan Mohd.Amar.

''Dari segi populariti, Mohd.Amar tidaklah sehebat Mat Sabu, ia memandangkan politik Mohd.Amar berlegar di sekitar Kelantan sahaja.

''Tetapi sokongan daripada kumpulan proulama mungkin akan memberi kelebihan kepada beliau. Cuma apa yang perlu difahami daripada 1,300 perwakilan, tidak semua mereka 'terikat' dengan sentimen proulama itu. Mereka mungkin akan membuat keputusan berdasarkan kepada populariti,'' kata sumber tersebut.

Jika itu menjadi perkiraan sudah pastilah Mat Sabu berpeluang cerah mengekalkan jawatannya, apatah lagi masih ada keraguan dalam kalangan ahli-ahli Pas mengenai kemampuan Mohd.Amar untuk menjadi orang nombor dua parti itu.

''Keadaan ini berbeza dengan Mat Sabu yang dianggap oleh penyokong-penyokongnya mempunyai kemampuan, kewibawaan dan populariti jauh lebih hebat daripada sesetengah ulama dalam Pas termasuk Mohd.Amar sendiri,'' kata sumber itu.

Namun begitu biar pun dikatakan popular di Kelantan sahaja tetapi sumbangan dan perjuangan Mohd. Amar dalam Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Apatah lagi Mohd.Amar biar pun tidak mengakui mewakili golongan ulama namun beliau dilihat ulama pelapis di dalam Pas.

Bagaimanapun berdasarkan sokongan yang diberikan kepada Mat Sabu adalah jelas, Pas kini sudah bersedia untuk menerima sesiapa sahaja berada dalam barisan tertinggi parti itu.

Tidak kiralah sama ada ulama atau tidak, apa yang penting pemimpin tersebut bersedia berkorban apa sahaja demi perjuangan Pas dan paling utama menjaga kepentingan politik Pas termasuklah dalam hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apa pun, segala-galanya terletak di tangan 1,300 perwakilan Pas untuk membuat keputusan siapa yang mereka mahu menjadi Timbalan Presiden parti itu.

Siapa yang mereka pilih menduduki jawatan itu, maka itulah gambaran perjuangan Pas di masa depan.

Oleh Zulkiflee Bakar

RMK : ......