DUA belas hari lagi, Malaysia akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku. Sambutan kali ini berlangsung dalam suasana umat Islam masih meraikan Hari Raya Aidilfitri, hari ke-24 dalam bulan Syawal. Adakah kemeriahan Aidilfitri akan menenggelamkan semangat mengingati sambutan kemerdekaan negara? Setiap kali menjelang kemerdekaan, kerajaan akan mengadakan program untuk menggalakkan rakyat mengibarkan bendera kita, Jalur Gemilang. Kenapa rakyat perlu diperingatkan tentang kibaran bendera setiap kali negara mahu menyambut Hari Kemerdekaan? Tentulah, kebanyakan orang sering lupa untuk mengibarkan bendera ini. Cuba lihat sekeliling. Lihat rumah anda sendiri, rumah jiran, bangunan pejabat, kediaman, bangunan perniagaan termasuk hotel, kenderaan sama ada lori, kereta, bas, teksi atau motosikal. Bolehkah anda melihat sehelai kain berjalur merah putih berkibar megah di bangunan atau kenderaan? Jika ada, bagus tetapi bagaimana kalau tidak ada? Suasana tentu berubah jika setiap bangunan kediaman, pejabat serta kenderaan awam dan persendirian mengibarkan bendera. Bayangkan jika 1.4 juta kakitangan awam memasang Jalur Gemilang. Khabarnya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman telah meminta penjawat awam memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sebagai lambang semangat cintakan negara.
Langkah itu menurut beliau sebagai penghargaan kepada kerajaan yang sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan insentif.
Kata Omar, "Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila hendak meriahkan sambutan hari kemerdekaan setahun sekali pasang bendera susah. Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara, takkan hendak beli bendera sebatang pun tak boleh,".
Benar kata Omar. Bukan senang untuk membeli sebatang bendera. Kalau boleh hendak percuma. Menjelang hari raya, orang ramai boleh berbelanja besar untuk menghias rumah dengan lampu hiasan berwarna warni atau pelita minyak tanah. Mereka mampu berbelanja untuk membeli kain berwarna warni bagi menggantikan langsir yang masih elok. Begitu juga dengan alas meja. Alangkah eloknya menjelang hari raya lalu, keghairahan membeli-belah itu memasukkan juga senarai membeli Jalur Gemilang. Bagaimanapun ada juga pemimpin yang mengambil kesempatan mengedarkan Jalur Gemilang semasa rumah terbuka Aidilfitri seperti ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob di kawasan Parlimennya, Bera.
Apalah ada pada Jalur Gemilang? Memang benar, ramai yang tidak tahu nilai secebis kain berjalur merah putih itu. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera, tetapi lambang kedaulatan dan identiti negara. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak, mengibarkan Jalur Gemilang dengan pengertian sepenuhnya menunjukkan semangat patriotik serta melambangkan kedaulatan dan jati diri negara. Janganlah kita mengibar bendera kebanggaan negara sejak 1950 itu sebagai ikut-ikutan. Kibarlah bendera dengan rasa megah bahawa bendera adalah identiti jati diri rakyat, lambang rakyat Malaysia yang bersyukur atas kejayaan negara.
Bendera amat bermakna kepada sesebuah negara. Cuba selak kembali, apakah reaksi kita apabila Jalur Gemilang dibakar oleh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati terhadap negara? Selak juga tindakan penunjuk perasaan di mana-mana sahaja di dunia yang akan memijak, mengoyak atau membakar bendera sebagai tanda protes. Kenapa mereka melepaskan geram kepada bendera? Jika bendera tidak ada nilainya, sudah tentu tindakan pijak dan bakar tidak memberi sebarang kesan.
Malang sekali, di negara kita, ada pihak yang cuba memperkecilkan Jalur Gemilang ini. Disebabkan politik kepartian, Jalur Gemilang diperlekehkan. Sejarah negara telah mencatatkan peristiwa memperkecilkan bendera ini. Selak teringat pada tahun 2011 bagaimana ketika itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mahu Jalur Gemilang ditukar kepada bendera baru jika mereka memerintah. Beliau memperkecilkan bendera Malaysia kononnya ia ditiru daripada bendera Amerika Syarikat dan terlalu melambangkan Barisan Nasional (BN). Dia dilaporkan enggan mengibarkan bendera kebangsaan itu sebaliknya mengedarkan bendera DAP di kawasannya.
Tahun lalu, timbul pula isu berkibarnya bendera yang dinamakan Sang Saka Malaya yang diadaptasi daripada bendera Indonesia dan Singapura. Bendera itu dikibar di beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor serta pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka. Bendera ini juga didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa. Begitulah nasib Jalur Gemilang, bendera kebanggaan kita. Sepatutnya parti-parti politik turut memainkan peranan untuk menggalakkan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik turut sama mengibarkan Jalur Gemilang. Semangat mengibarkan bendera menjelang pilihan raya umum (PRU) perlu dihidupkan dalam suasana menyambut kemerdekaan ini. Lihat sahaja semasa kempen PRU lalu, bermacam-macam saiz bendera parti politik dapat dilihat. Lebih hebat, ada bendera parti yang dijulang sehingga ke pucuk pokok, di lereng bukit dan pelbagai lagi yang menampakkan kesungguhan untuk menonjolkan simbol parti masing-masing.
Eloklah dalam suasana menyambut kemerdekaan ini, parti-parti politik turut mempunyai semangat yang sama iaitu di samping membekalkan bendera, kali ini Jalur Gemilang, pasanglah seberapa banyak yang mungkin dengan kreativiti masing-masing. Mungkin juga di bawah bendera Malaysia itu, tertera nama parti politik atau lambang parti bersaiz kecil sebagai tanda sumbangan mereka. Mungkin Pas yang benderanya boleh kelihatan di sana sini walaupun di luar musim PRU dapat mempelopori langkah ini. Siapa tahu, di setiap kenderaan berkibar Jalur Gemilang beserta lambang bulan yang secara tidak langsung akan mempromosi parti berkenaan. Bukan setakat bendera, pelekat kereta juga boleh dikeluarkan. Berbaki 12 hari lagi, pemasangan Jalur Gemilang diharap dapat disemarakkan lagi. Semoga rakyat Malaysia tidak segan atau malu mengibarkan Jalur Gemilang. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56. Semoga Malaysia, negara tanah tumpah darah kita ini terus bermaruah dan berdaulat.
[Sumber]