Sempena ketibaan Hari Kebangsaan Malaysia ke-56 pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia 16 September ini, RMK dengan ini mengajak semua rakyat Malaysia supaya kembali menghayati dan memahami sejarah perlembagaan dan pembentukan negara kita yang tercinta ini. Tindakan sesetengah pihak yang bertindak umpama golongan buta sejarah eloklah diperingatkan semula apa yang membuatkan negara ini kekal aman dan bertuah selama 56 tahun.
Ayuh, semaikan semangat cinta negara!
Perlembagaan Malaysia juga dikenali sebagai Perlembagaan
Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang
bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Perlembagaan Malaysia telah digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya
Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan
berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Konsep ketinggian Perlembagaan adalah seperti berikut:-
•Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi;
•Menjadi punca kepada semua undang-undang;
•Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh
mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan;
•Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan
Perlembagaan;
•Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang
yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan; dan
•Walaupun Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara, tetapi
Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan.
Perlembagaan dibentuk dengan tujuan berikut iaitu:-
• Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil;
• Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah;
• Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat;
• Alat untuk menyelesaikan masalah;
• Menjamin riwayat negara bangsa; dan
• Menjamin keamanan dan kestabilan negara.
Perlembagaan Malaysia mengandungi 131 Perkara yang menyentuh
pelbagai aspek pemerintahan. Perlembagaan juga mengandungi 16 Bahagian. Bahagian-bahagian
tersebut ialah:-
Bahagian I : Negeri-Negeri, Agama Dan Undang-Undang Bagi
Persekutuan
Malaysia adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga
belas negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama
persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.
Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang
yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.
Bahagian II : Kebebasan Asasi
Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita
miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan
menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak;
kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk
berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta.
Bahagian III : Kewarganegaraan
Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara;
dilahirkan di sini; berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau
mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia; tinggal secara sah di
dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan. Bahagian III juga menyatakan
bagaimana seseorang
boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.
Bahagian IV : Persekutuan
Bahagian ini memberi panduan kepada sistem kerajaan di
Malaysia. Ketua utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih
oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh
kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang
tidak mempunyai Raja. Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan Pejabat Perdana
Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang
di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan
Dewan Negara.
Bahagian V : Negeri-Negeri
Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan
perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri
mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang
Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan masing-masing.
Bahagian VI :
Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri
Bahagian ini menyatakan
pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara
yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara
yang membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga
perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.
Bahagian VII : Peruntukan Kewangan
Bahagian ini menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh
mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.
Bahagian VIII : Pilihan Raya
Bahagian ini menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara
untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan
kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai
Suruhanjaya Pilihanraya. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong.
Bahagian IX : Badan Kehakiman
Bahagian ini mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan
menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh
mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian IX juga menyatakan bagaimana
hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.
Bahagian X : Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam
Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia,
termasuklah pasukan polis, angkatan tentera dan perkhidmatan pelajaran. Ia juga
merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian
serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan
pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh
“Suruhanjaya–suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara
umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bahagian X juga mewujudkan Pejabat
Peguam Negara.
Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif,
Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan
Kuasa Darurat.
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang
boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas
sebab-sebab keselamatan awam.
Bahagian XII : Am Dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan
Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan
peribumi Sabah dan Sarawak dan memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh
dilakukan ke atas Perlembagaan.
Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah Dan
Sarawak.
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya
perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak.
Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan
Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang
digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal
undang-undang baru untuk menggantikan mereka.
Bahagian XIV: Kecualian Bagi Kedaulatan, dsb., & Raja-Raja
Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja
dipelihara dalam Bahagian XIV.
Bahagian XV: Prosiding Terhadap Yang di-Pertuan Agong Dan
Raja-Raja.
Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang
di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ”.