Thursday 14 November 2013

HANTU PASIR TUMPAS!

Berikut merupakan laporan Utusan Malaysia pada 12 November 2013:

Pegawai SPRM dan Imigresen meninjau kawasan yang dipercayai berlakunya aktiviti sedut pasir secara haram di Kampung Sungai Machang, Sungai Lalang, Semenyih - Utusan

Beberapa pegawai Imigresen dan SPRM berjaya menahan warga asing dalam satu serbuan Operasi Pasir Haram di Kampung Sungai Machang, Sungai Lalang, Semenyih - Utusan

SPRM tumpas sindiket curi pasir


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket mencuri 4,000 tan pasir dengan tertangkapnya empat pekerja warga Indonesia di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Perindustrian Sri Haneco, Semenyih dekat sini hari ini.

Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd. Yussof Zakaria berkata, suspek berusia antara 22 hingga 35 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang ketika menjalankan aktiviti mengorek pasir di kawasan seluas 1.2 hektar itu.

"Hasil maklumat orang ramai, SPRM menjalankan risikan di kawasan ini sejak enam bulan lalu dan hari ini kami berjaya menangkap empat pekerja Indonesia dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kegiatan ini," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu.

Beliau berkata, individu yang mendalangi sindiket tersebut mengaut keuntungan secara haram memandangkan mengikut harga pasaran semasa, satu tan pasir halus bernilai RM38 manakala pasir kasar bernilai RM30.

"SPRM percaya individu yang bertanggungjawab mencuri pasir berkenaan mengaut keuntungan besar. Pasir yang dicuri kemudian dijual kepada pemaju yang menjalankan projek perumahan di sekitar kawasan berdekatan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 426(1)(a) Akta Kanun Tanah Negara kerana mengeluarkan bahan batuan tanpa permit, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya sambil menambah pihaknya turut menyita dua buah mesin iaitu sebuah 'excavator' dan sebuah 'jenset'.

Mohd. Yussof menambah, operasi itu turut disertai bahagian penguat kuasa dari Jabatan Imigresen, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Urus Air Malaysia (LUAS) dan Pejabat Tanah dan Galian.



[Sumber]



RMK: Tahniah kepada agensi-agensi yang terlibat menjalankan penguatkuasaan dalam isu curi pasir ini. Anda masih mampu memberikan komitmen terbaik walaupun sering mendapat kritikan dan tohmahan pihak pembangkang yang hanya tahu bercakap mengikut sedap mulut mereka sahaja. Teruskan usaha anda! Tin kosong memang berbunyi kuat apabila diketuk berbanding tin berisi.

No comments:

Post a Comment