Thursday 22 August 2013

Fakta Perlembagaan Malaysia & Hari Malaysia Siri 2

Spt yg dibgtau dlm siri sblm ni, sempena bulan kemerdekaan ni RMK nk mengajak semua rakyat Malaysia supaya kembali menghayati dan memahami sejarah perlembagaan dan pembentukan negara kita yang tercinta ini. Dlm siri 2 ni plak RMK nk cite psl sistem Raja Berperlembagaan plak.




Raja Berperlembagaan bermaksud sistem beraja mengikut perlembagaan. Sbg sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dilantik daripada Raja-raja Melayu  di sembilan buah negeri mewakili negeri tersebut dalam Majlis Raja-raja.

YDPA bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri (Kabinet), manakala raja sesebuah negeri bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). Dalam perkataan lain, YDPA ialah Ketua Negara, manakala Perdana Menteri (PM) ialah Ketua Kerajaan. Di peringkat  negeri pula raja ialah Ketua Negeri, manakala Menteri Besar atau Ketua Menteri ialah ketua kerajaan. Kedaulatan dan kuasa raja berkekalan dan terjamin sebagamana mengikut perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda YDPA adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.




Kuasa Yang di-Pertuan Agong

YDPA mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Fungsi sebagai Ketua Negara dapat dilihat dalam tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.
  • Melantik seorang Perdana Menteri (PM)
  • Menangguhkan pembubaran parlimen
  • Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.
Eksekutif

Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada YDPA. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan YDPA, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, PM.

Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), YDPA boleh bertindak mengikut budi bicara dalam 3 fungsi Perlembagaan:

  1. Melantik seorang Perdana Menteri.
  2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.
  3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.
    • Fungsi-fungsi lain yang dinyatakan dalam Perlembagaan (Perkara 40 (2)).
Perundangan

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi YDPA dan 2 majlis, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. YDPA sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:
  • Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa.
  • Memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
  • Memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen.
  • Memperkenankan Rang Undang-Undang.
YDPA juga mempunyai kuasa melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya  serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.

Kehakiman

YDPA mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman.

Antara tanggungjawab YDPA adalah:

Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agong, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja.

YDPA mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan YDPA sebagai Ketua Agama Islam negeri berkenaan.

Baginda juga adalh Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri Berkenaan. Di Sabah dan Sarawak, kuasa pelantikan diturunkan kepada Yang di-Pertua Negeri.

Selain tiga fungsi ini, YDPA mempunyai fungsi seperti berikut:
  1. Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata.
  2. Mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
  3. Menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
  4. Sumber penghormatan dan kebesaran.
  5. Fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing.
  6. Menghadiri pelbagai majlis dan acara.
Kuasa Raja Negeri:

  • melantik seorang Menteri Besar
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • membuat permintaan bagi mesyuarat Majlis Raja-Raja berkaitan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja dan perbuatan, amalan atau upacara agama atau adat istiadat,
  • sebarang fungsi sebagai ketua agama atau berhubung dengan adat Melayu,
  • melantik waris atau waris-waris, isteri, pemangku raja atau jemaah pemangku raja,
  • melantik orang-orang pemegang pangkat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan berkenaan dengannya,
  • Mengawal selia balai-balai di raja dan istana-istana (Perkara 2, Jadual Kelapan).
"Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan atas perkenan Sultan...Dalam situasi di mana orang berkenaan (MB) tidak mahu berundur tetapi kalah, Sultan mempunyai kuasa untuk memecat..."
- Prof Dr.Shad Saleem Faruqi, Bernama, 5 Februari 2009


MAJLIS RAJA-RAJA:

  • berfungsi untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;
  • mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;
  • memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
  • melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;
  • memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42 (Perkara 38) (2).



Anggota Majlis Raja-Raja mempunyai budi bicara berikut:

  • memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya, atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong;
  • memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan;
  • memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;
  • mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh; (e) pelantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau
  • memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42 (Perkara 38 (6)).
 

Majlis ini bersidang sebanyak tiga atau empat kali setahun, selama tiga hari. 

Raja-raja dan Yang di -Pertua Negeri diiringi oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. 

Persidangan dipengerusikan oleh raja yang terkanan dan setiausahanya ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.


No comments:

Post a Comment