Wednesday, 22 May 2013

VIDEO: Pengakuan Seorang Kencur Konon Dia Boleh Mengundi Dua Kali...



Isu seorang pengundi kononnya boleh mengundi dua kali di jelaskan oleh timbalan pengerusi SPR.



Monday, 20 May 2013

Perang Khalid - Azmin Belum Selesai!



Apa cerita kes Azmin Ali sejak buat sidang akhbar 'luah perasaan' hentam Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah pada 10 Mei lalu ?


Bab sehari selepas itu Timbalan Presiden PKR buat U-Turn kata sokong Khalid sebagai Menteri Besar semua orang sudah tahu.

Di atas kertas nampak macam OK tetapi jangan sangka air yang tenang tidak ada buaya.

Buaya itu pula sudah mengelupur lain macam.

Kalau tak mau cakap selindung,lebih tepat ada pihak menilai episod terbaru Khalid dan Azmin kali ini macam orang yang tak dapat tanduk, telinga dipulas.

Al-kisahnya pertembungan mereka kali ini disebabkan Khalid dikatakan menolak desakan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya Azmin dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri Selangor.

Menurut sumber,ramai kalangan ahli MPP mahu Azmin dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri kerana bakti dan kedudukannya dalam parti.

Selain menjadi Timbalan Presiden PKR, Azmin adalah juga pengarah pilihan raya parti itu dan telah memimpin PKR Selangor sejak tiga tahun lalu.

Azmin juga mengekalkan kemenangan sebagai ahli parlimen Gombak dan Bukit Antarabangsa pada PRU 13 baru-baru ini.

Sebab lain kerana Azmin mengalah dalam isu jawatan Menteri Besar apabila setuju Khalid kekal bagi penggal kedua.
Khalid dikatakan mahu mengekalkan Exco PKR yang sedia ada kerana merasakan mereka berjaya menjalankan kerja dengan baik.

Kemelut itu juga dikatakan memaksa Khalid membatalkan pengumuman senarai exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung hari ini, Sabtu.

Khabarnya Khalid ingin mengekalkan barisan Exco PKR penggal lalu iaitu Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, Yaakub Sapari dan Rodziah Ismail.

Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan Khalid hanya akan membuat pengumuman minggu depan,namun tidak memberikan butiran lanjut.

Dalam pada itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang diketahui penyokong setia Azmin berkata, cadangan melantik Azmin sebagai Exco kanan kerajaan Selangor adalah bagi memastikan dasar pakatan rakyat yang lebih baik di negeri itu.

Apapun, Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan ahli parlimen Ampang itu mengakui, Khalid mempunyai kata pemutus sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan MPP tersebut.

Zuraida turut membayangkan semua Exco lama diganti atas alasan mahu memberi peluang kepada semua orang dan percaya muka baru – ideanya pun baru.

Nampaknya, perang Khalid dan Azmin akan berterusan.

Pasti bukan senang Khalid menolak cadangan itu kerana ramai pemimpin PKR berdiri di belakang Azmin.

Pilihan beliau kini adalah bergantung belas ihsan Wan Azizah untuk sekali lagi menyelamatkan kedudukannya selepas Presiden PKR itu awal-awal lagi menghantar nama Khalid kepada Istana untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Mahukah Wan Azizah sekali lagi menolong Khalid dan bagaimana pula peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu ini?

Kepada siapa Anwar mahu memihak?

Dalam pada itu, kontroversi berterusan dalam keluarga PKR ini semakin terang tanpa perlu disuluh bahawa kuasalah yang dituntut pemimpin parti berkenaan.

Kasihan kepada PAS yang dapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yakni lebih satu daripada PKR.

Parti itu bukan sahaja terlepas jawatan Menteri Besar tetapi melihat pada perebutan dan kemahuan PKR mengisi empat jawatan Exco dan DAP tetap mahu tiga bermakna tidak ada peluang PAS mendapat lebih jawatan berkenaan.

Maka jadilah PAS macam kisah Pak Kaduk  - menang sorak kampung tergadai.

Manakala, episod ‘perang’ Khalid dan Azmin tidak mungkin berakhir di sini sahaja malah tidak hairan jika perang dingin hingga pilihan raya umum ke 14 nanti.

Ada sumber PKR berkata cuma kali ini Wan Azizah perlu waspada.

Sudah ada cakap-cakap yang berlegar jika kali ini beliau masih menyokong Khalid, bersedialah ‘dirempuh’ Azmin dalam pemilihan parti akan datang.

-Agendadaily


Thursday, 16 May 2013

Muhyiddin Ketuai Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Kabinet Baru



Muhyiddin mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Abdul Halim pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara.- FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai istiadat angkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi di Istana Negara, pagi Khamis.

Istiadat angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Upacara penuh istiadat itu disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir menyaksikan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula pukul 10.10 pagi sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda berdua.

Selepas Muhyiddin, enam menteri kanan iaitu Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta simpan rahsia masing-masing, diketuai Mohamed Nazri.

Selepas itu, acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang.

Ini dimulakan dengan Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan II).

Mereka disusuli kumpulan kedua iaitu Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), empat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu Belaun, dan Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Idris Jusoh menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Abdul Halim.- FotoBERNAMA

Ini diikuti kumpulan Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Richard Riot Jaem (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Barisan terakhir ialah Datuk Paul Low Seng Kwan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).


Khairy Jamaluddin menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Abdul Halim. - FotoBERNAMA

Seramai 24 timbalan menteri turut mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini.Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, dif-dif kehormat dan para jemputan yang kebanyakannya anggota keluarga barisan kabinet.

Najib telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Jumaat, 6 Mei.

Semasa mengumumkan anggota jemaah menteri yang baharu pada Rabu, Najib berkata ia terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda yang diyakini mampu meneruskan agenda transformasi nasional.

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Selepas upacara itu, Tuanku Abdul Halim berkenan bersama-sama Najib serta barisan menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri untuk sesi bergambar.

[Sumber]

Kritik Wan Azizah: Azmin Terus Kunci Mulut



Setelah mengeluarkan kenyataan kontroversi mengkritik kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali kini memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang komen balas.

Mengelak untuk mengulas sebarang soalan berhubung kontroversi berkenaan, Ahli Parlimen Gombak itu dilihat seolah-olah mahu isu tersebut tidak lagi diperbesarkan.

"Cukuplah...cukup tiga hari isu ini dimainkan," katanya ringkas ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di sini.

Sementara itu Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui juga seolah-olah mahu mengelak daripada memberi komen berhubung wujudnya gesaan agar Mohamed Azmin dikenakan tindakan disiplin kerana mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail secara terbuka.

"Kita belum terima aduan rasmi...belum lagi," katanya ringkas.

Anwar diminta mengulas mengenai desakan terbaru daripada Ketua AMK Balik Pulau, Mohd Faizal Ab Rahman yang mahu Jawatankuasa Disiplin parti mengambil tindakan tegas terhadap Mohamed Azmin.

Menurut Mohd Faizal, beliau menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong bertarikh 11 Mei lalu bagi memohon tindakan disiplin ke atas Mohamed Azmin kerana menuduh Wan Azizah mengamalkan dasar nepotisme.

Minggu lalu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa mempertikaikan tindakan Wan Azizah yang didakwanya langsung tidak mendapatkan pandangan pemimpin PKR negeri sebelum menyerahkan surat mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar kepada Istana Selangor.

-AntaraPos

Tuesday, 14 May 2013

PAS tiada pendirian bantah keputusan #PRU13



Ketidaktentuan pendirian PAS berhubung perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terserlah apabila Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang sekadar menyerahkan kepada ahli parti membuat pertimbangan sendiri.

Hadi membuat kenyataan itu semalam, beberapa hari selepas Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib secara terbuka menyatakan pendiriannya tidak menyokong gerakan itu, sebelum nada sebaliknya disuarakan dua pemimpin PAS, iaitu Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.

Ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, di sini semalam, Hadi berkata, PAS menyerahkan kepada pimpinan parti peringkat negeri untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertai perhimpunan dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang itu.

“Itu kita serahkan kepada negeri untuk menentukan,” katanya ringkas dan senada dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasruddin Hassan yang menegaskan sayap parti itu tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahlinya supaya turut bersama Anwar dalam perhimpunan berkenaan.

“Kita serahkan kepada pimpinan negeri untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertai perhimpunan itu atau tidak. Kita juga tidak mengeluarkan arahan kepada ahli parti dan Pemuda PAS berhubung perkara itu,” kata Nasruddin.

Perhimpunan itu digerakkan Anwar tiga hari selepas pakatan pembangkang pimpinannya tewas PRU-13 kepada Barisan Nasional (BN) yang memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. DAP secara terbuka menyokong perhimpunan itu, namun PAS langsung tidak menetapkan pendiriannya.

Selepas Harun meminta semua pihak menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, selain turut memuji pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Salahuddin dan Hanipa pula berpendapat, PAS tiada masalah menyokong sebarang perhimpunan bagi menyatakan sikap dan pendirian rakyat terhadap kegagalan pengurusan pilihan raya 5 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Hadi ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa kegagalan pakatan pembangkang mempertahankan Kedah disebabkan kelemahan PAS, berkata parti itu akan membuat analisis terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.