30 Mei 2013
KLANG - Seramai 10 orang Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor hari ini akan mengangkat sumpah sebagai Exco negeri itu bagi penggal 2013-2018.
Exco Selangor kali ini menampilkan lima calon muka baru dan lima calon yang dikekalkan untuk penggal ini.
Pas membariskan dua Adun muka lama iaitu Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad, serta Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali manakala dua Adun muka baru Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Sabak, Sallehen Mukyi.
Manakala tiga Adun DAP terdiri dari Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim serta Adun Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman adalah Adun muka baru dan mengekalkan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Adun daripada PKR menampilkan seorang Adun muka baru Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi dan turut mengekalkan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail serta Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.
Istiadat angkat sumpah, semua 10 Exco yang dipekenan Sultan Selangor itu berlangsung tepat jam 9.30 pagi di Balairung Seri di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini.
Adun Pas, Iskandar mengetuai barisan Exco memulakan istiadat angkat sumpah dan menerima surat perlantikan daripada Sultan Selangor. - Sinar Harian