Thursday 30 May 2013

ADUN PKR MERAJUK TAK JADI EXCO, MUNGKIN UMUM KELUAR PARTI!!?



Sekumpulan ahli akar umbi PKR dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan malam semalam berhimpun di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Segambut bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka bahawa Dr Xavier Jeyakumar telah digugurkan daripada senarai barisan exco kerajaan negeri Selangor.

Difahamkan mereka kemudiannya mengadakan mesyuarat tertutup dengan Anwar bagi memujuknya supaya melanjutkan jawatan exco ADUN Seri Andalas itu untuk sepenggal lagi.

“Namun, usaha mereka tidak berhasil kerana PKR telah menamakan barisan exco baru di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim,” kata sumber yang rapat dengan ketua pembangkang itu.

Sumber itu juga mengesahkan mesyuarat malam semalam agak panas dengan Anwar yang akhirnya hilang kesabarannya mengarahkan seorang daripada penyokong parti itu meninggalkan mesyuarat.

Katanya, enam orang yang diketuai oleh ahli majlis Selayang George Gunaraj dan pengerusi bersama Suaram K Arumugam hadir pada mesyuarat dengan Anwar itu.

Adalah dipercayai pada mesyuarat itu, Anwar mendakwa pihak istana yang mahu Xavier digugurkan dan cadangan itu bukannya datang dari parti.

Xavier dilantik sebagai exco selepas memenangi kerusi Seri Andalas pada 2008.

Walaupun berjaya mengekalkan kerusinya pada pilihan raya umum 5 Mei lalu dengan majoriti besar dengan mengalahkan calon MIC T Mohan, beliau juga digugurkan.

Difahamkan PKR meletakkan wakil wanita bagi memenuhi semua tiga jawatan exco yang diperuntukkan kepada parti itu.

Mereka adalah Rodziah Ismail-Batu Tiga, Elizaberth Wong-Bukit Lanjan dan Dr Daroyah Alwi.

Rodziah dan Elizabeth masing-masing adalah exco pada penggal yang lalu.

Selain Xavier, seorang lagi exco PKR yang digugurkan adalah ADUN Kota Anggerik Dr Yaakob Sapari.


No comments:

Post a Comment