DALAM satu-satu pilihan raya, adalah adat satu-satu parti komponen berjuang dan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kerusi bagi parti masing-masing.
Sama ada suka atau tidak, kita kena menerima hakikat yang ‘darjat’ dan maruah sesebuah parti itu tak banyak sikit terletak pada jumlah kerusi yang dimenanginya dalam satu-satu pilihanraya.
Dalam Barisan Nasional (BN) sendiri, perkara yang sama berlaku.
UMNO nak lebih, MCA nak lebih, MIC nak lebih walaupun kerusi yang dipertandingkan itu BELUM TENTU menjanjikan kemenangan.
Jadi bila perkara yang sama berlaku dalam Pakatan Rakyat, kita semua boleh faham dan menerima rasional terjadinya perkara sebegitu.
Namun berbeza dengan Pakatan Rakyat, BN berjaya menyelesaikan isu tersebut dengan cukup teratur, licin dan tidak menjatuhkan maruah mana-mana pihak.
Akhirnya setelah dicampur, ditolak, didarab dan dibahagi….keutamaan diberikan pada calon yang boleh menang (winnable candidate).
Walaupun ada pihak yang ‘makan hati’, semua itu dianggap lumrah dalam perjuangan dan akhirnya semua parti komponen dalam BN menerimanya dengan hati yang terbuka.
Malangnya, konsep yang sama bukan saja gagal dihayati malah turut gagal dipraktikkan dalam Pakatan Rakyat.
Di sebalik konsep ‘kesatuan dan satu hati’ yang kononnya terjalin erat di antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat seperti yang mereka sering gembar-gemburkan itu, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Sebagai contoh, tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak ‘lambat’ mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk membincangkan isu pembahagian kerusi ini namun apa terjadi, Pakatan Rakyat gagal memanfaatkan perkara itu.
Malah sehingga Parlimen dah nak bubar pun, mereka masih ‘berperang’ tentang perkara pembahagian kerusi ini.
Berikut adalah contoh apa yang berlaku.
(Pahang tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Bentong jika DAP enggan bertolak-ansur untuk menyerahkan dua kerusi DUN sebagai pertukaran, kata Pengerusinya, Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Keputusan itu kata Anthony Loke (Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP), telah mendapat persetujuan dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tanya YB (Anthony Loke), comel tak dia datang ke Bentong rumah saya, dia cakap awak tolong keluar, dan saya hendak rumah awak? Jadi patut tak dia buat macam itu?,” katanya
“Saya tidak mahu cakap banyak, nanti saya keluarkan perkataan tidak elok. PKR akan terus pertahankan kerusi Bentong”.
“Dari segi kita (PKR Pahang), kita pertahankan keputusan kita, kalau dia hendak kerusi Parlimen Bentong itu, jadi maknanya kita akan ambil dua kerusi DUN (Ketari dan Tanah Rata) itulah,” katanya.) -
TERBARU adalah pergeseran antara Pas dan PKR dalam merebut kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa, Labuan, Temerloh dan Kangar.
Bayangkan, PKR mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan iaitu kerusi yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum 2008.
Pertukaran kerusi antara sekutu pakatan pembangkang itu terpaksa dibuat berikutan timbulnya bantahan di kalangan penyokong PKR apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, gantian ketiga-tiga kerusi berkenaan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.
“Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sudah hubungi Datuk Seri (Abdul) Hadi dan saya sendiri berbincang dengan Datuk Mustafa bagi menyuarakan bantahan ahli PKR apabila PAS umum bertanding di Temerloh dan Kangar.
“Bagaimanapun kami ambil keputusan untuk akur dan terima baik perkembangan itu. Jadi PKR akan bertanding di Bera sebagai gantian kerusi Temerloh.
“PKR juga akan bertanding di Labuan dan Setiawangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.
PAS sebelum ini mengumumkan Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi bertanding di Parlimen Temerloh selain turut akan meletakkan calon bertanding di Kangar.
Kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi PKR pada pilihan raya umum yang lalu.
Begitu juga pergeseran PKR dan DAP dalam isu merebut kerusi Gelang Patah.
Datuk Chua Jui Meng dilaporkan telah ‘menghilangkan’ diri sejak Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan hasratnya pada 18 Mac lalu untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.
Chua sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi Gelang Patah.
Hasratnya itu dikritik Dr Boo Cheng Hou sehinggakan Pengerusi DAP Johor itu menuduh Chua membawa masuk eleman MCA ke dalam Pakatan Rakyat.
Selepas ‘kehilangan’ Chua, kedudukannya sebagai Pengerusi MPN Johor diambil alih sementara oleh timbalannya, Dr Ahmad Faidhi.
Kesimpulannya di sini, PRU-13 sama ada disedari atau tidak benar-benar telah memalukan Pakatan Rakyat dalam erti kata yang sebenarnya.
Baru peringkat pembubaran Parlimen, dah terjadi huru-hara di kalangan mereka…tak tahulah apa lagi yang akan berlaku andaikata kita ‘membenarkan’ mereka memerintah negara Malaysia yang tercinta ini.
Anda ada kuasa, undi anda akan menentukan segalanya…lihatlah dengan mata hati, tanya diri sendiri. – Mynewshub.my