Apa cerita kes Azmin Ali sejak buat sidang akhbar 'luah perasaan' hentam Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah pada 10 Mei lalu ?
Bab sehari selepas itu Timbalan Presiden PKR buat U-Turn kata sokong Khalid sebagai Menteri Besar semua orang sudah tahu.
Di atas kertas nampak macam OK tetapi jangan sangka air yang tenang tidak ada buaya.
Buaya itu pula sudah mengelupur lain macam.
Kalau tak mau cakap selindung,lebih tepat ada pihak menilai episod terbaru Khalid dan Azmin kali ini macam orang yang tak dapat tanduk, telinga dipulas.
Al-kisahnya pertembungan mereka kali ini disebabkan Khalid dikatakan menolak desakan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya Azmin dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri Selangor.
Menurut sumber,ramai kalangan ahli MPP mahu Azmin dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri kerana bakti dan kedudukannya dalam parti.
Selain menjadi Timbalan Presiden PKR, Azmin adalah juga pengarah pilihan raya parti itu dan telah memimpin PKR Selangor sejak tiga tahun lalu.
Azmin juga mengekalkan kemenangan sebagai ahli parlimen Gombak dan Bukit Antarabangsa pada PRU 13 baru-baru ini.
Sebab lain kerana Azmin mengalah dalam isu jawatan Menteri Besar apabila setuju Khalid kekal bagi penggal kedua.
Khalid dikatakan mahu mengekalkan Exco PKR yang sedia ada kerana merasakan mereka berjaya menjalankan kerja dengan baik.
Kemelut itu juga dikatakan memaksa Khalid membatalkan pengumuman senarai exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung hari ini, Sabtu.
Khabarnya Khalid ingin mengekalkan barisan Exco PKR penggal lalu iaitu Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, Yaakub Sapari dan Rodziah Ismail.
Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan Khalid hanya akan membuat pengumuman minggu depan,namun tidak memberikan butiran lanjut.
Dalam pada itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang diketahui penyokong setia Azmin berkata, cadangan melantik Azmin sebagai Exco kanan kerajaan Selangor adalah bagi memastikan dasar pakatan rakyat yang lebih baik di negeri itu.
Apapun, Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan ahli parlimen Ampang itu mengakui, Khalid mempunyai kata pemutus sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan MPP tersebut.
Zuraida turut membayangkan semua Exco lama diganti atas alasan mahu memberi peluang kepada semua orang dan percaya muka baru – ideanya pun baru.
Nampaknya, perang Khalid dan Azmin akan berterusan.
Pasti bukan senang Khalid menolak cadangan itu kerana ramai pemimpin PKR berdiri di belakang Azmin.
Pilihan beliau kini adalah bergantung belas ihsan Wan Azizah untuk sekali lagi menyelamatkan kedudukannya selepas Presiden PKR itu awal-awal lagi menghantar nama Khalid kepada Istana untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Mahukah Wan Azizah sekali lagi menolong Khalid dan bagaimana pula peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu ini?
Kepada siapa Anwar mahu memihak?
Dalam pada itu, kontroversi berterusan dalam keluarga PKR ini semakin terang tanpa perlu disuluh bahawa kuasalah yang dituntut pemimpin parti berkenaan.
Kasihan kepada PAS yang dapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yakni lebih satu daripada PKR.
Parti itu bukan sahaja terlepas jawatan Menteri Besar tetapi melihat pada perebutan dan kemahuan PKR mengisi empat jawatan Exco dan DAP tetap mahu tiga bermakna tidak ada peluang PAS mendapat lebih jawatan berkenaan.
Maka jadilah PAS macam kisah Pak Kaduk - menang sorak kampung tergadai.
Manakala, episod ‘perang’ Khalid dan Azmin tidak mungkin berakhir di sini sahaja malah tidak hairan jika perang dingin hingga pilihan raya umum ke 14 nanti.
Ada sumber PKR berkata cuma kali ini Wan Azizah perlu waspada.
Sudah ada cakap-cakap yang berlegar jika kali ini beliau masih menyokong Khalid, bersedialah ‘dirempuh’ Azmin dalam pemilihan parti akan datang.
-Agendadaily
[Sumber]