Showing posts with label Biskop. Show all posts
Showing posts with label Biskop. Show all posts

Tuesday, 16 July 2013

Kesabaran Orang Islam Kian Pudar - Bhg. 1


Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino


Dari Utusan Malaysia;


ISU agama merupakan antara perkara sensitif yang tidak sepatutnya dipermainkan mana-mana pihak sama ada individu berlainan agama mahupun penganut yang buta ilmu.
Namun, hinaan demi hinaan terhadap agama Islam semakin kerap dan banyak berlaku sama ada dalam kalangan rakyat biasa, pemimpin komuniti atau politik dan terkini oleh orang luar.
Kenyataan celupar Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini menyebabkan isu yang hampir reda itu kembali panas.
Ditambah pula sepasang kekasih berbangsa Cina menghina bulan Ramadan menyebabkan semakin ramai yang mempersoalkan apa yang akan dilakukan pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Walaupun bilangan orang bukan Melayu yang berterusan menghina Islam kecil sahaja, tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga, janganlah berterusan amaran demi amaran tanpa hukuman untuk mengingatkan orang biasa, pemimpin mahupun orang luar kedudukan Islam di negara ini.
Penghinaan beberapa individu ini boleh menyebabkan perbalahan besar antara kaum, masyarakat Islam juga dikhuatiri melihat kerajaan terlalu lemah dalam mempertahankan agama mereka sementara orang luar akan berterusan mempermainkan kedudukan Islam di negara ini.
Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Biro Sosiobudaya dan Warisan, Dunia Melayu Dunia Islam, Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar membantah keras campur tangan orang luar dalam hal-hal berkaitan agama Islam, khususnya oleh seorang wakil diplomatik.
“Marino itu duta, patut utamakan hubungan diplomatik, bukannya jaga kepentingan agama dia sahaja. Perlu hormati keadaan di sini, Islam agama rasmi dan telah ditetapkan kalimah Allah tidak dibenarkan untuk orang Kristian.
“Saya setuju dengan beberapa cadangan dikemukakan pihak-pihak yang turut membantah sebelum ini, perlu bertindak tegas sama ada batalkan statusnya ataupun hantar balik sahaja," tegasnya.
Tambah Abdul Latiff, jika dibiarkan perbuatan ‘kurang ajar’ sedemikian, orang lain akan melihatnya sebagai lesen besar untuk bermaharajalela menghina Islam tanpa pedulikan ia sensitif dan menyakiti umat Islam di seluruh negara.
Beliau berharap KDN akan betul-betul bertegas kali ini dan jangan terus bermain amaran dengan pihak-pihak yang mempermainkan kesucian Islam sama ada rakyat biasa, pemimpin komuniti atau politik mahupun warga asing.
“Perkara ini boleh menjejaskan pandangan orang di dalam dan luar negara terhadap usaha mempertahankan Islam iaitu agama Persekutuan yang perlu dilindungi kerajaan.
“Walaupun pelbagai peringkat telah tetapkan kalimah Allah eksklusif, tetapi masih ada mempermain isu ini tanpa mempedulikan bahaya apabila rasa tidak puas hati membuak dalam kalangan umat Islam," katanya.
Menurut Abdul Latiff, negara lain seperti China dan Singapura tidak pernah berkompromi dengan isu sensitif seperti mempermainkan agama tetapi di Malaysia sudah ada yang berani hina Islam, apatah lagi orang itu bukan Islam yang bangkit dengan angkuh dan berani.
Beliau sedih melihatkan terlalu ramai yang mempersenda agama Islam tanpa provokasi kebelakangan ini dan dikhuatiri boleh membawa kepada pergaduhan antara kaum dan agama.
“Ini bukan soal hak asasi, liberalisme dan kebebasan bersuara mereka untuk menghina Islam. Jangan ganggu dan permainkan agama kami kerana ia juga satu kesalahan dari segi undang-undang.
“Penguatkuasaan perlu kuat, jangan biarkan orang lain dengan mudah permainkan agama kita. Kes rogol atlet baru-baru ini dalam satu minggu sudah ditangkap, tetapi bila kes perkecilkan Islam lambat pula didakwa," ujarnya.
Abdul Latiff turut mengingatkan pihak berkuasa khususnya KDN agar bertindak tanpa mengira kedudukan pihak yang menghina Islam itu atau hukuman berbeza-beza memandangkan undang-undang sudah ada untuk menyekatnya.
Tegasnya lagi, penguatkuasaan terhadap pihak yang menghina Islam setakat ini sangat lemah walaupun heboh didebatkan tetapi tindakannya lambat, kerap kali berterusan ‘dalam siasatan’ dan akhirnya tiada yang dibawa ke muka pengadilan.
“Jika terus dibiarkan, makin lama semakin teruk mereka akan hina Islam. Jika rasa undang-undang yang ada lemah, gubal akta baharu tetapi pastikan siapa pun yang tidak patuh dan mempermainkan agama diambil tindakan segera.
“Ini sangat sensitif, jika terus-menerus senyap sahaja, lama kelamaan dikhuatiri kesabaran orang Melayu dan Islam akan meletup seperti gunung berapi," katanya.
Petikan dari Artikel Asal


RMK: Sampai bila rakyat beragama Islam harus bersabar dengan kenyataan dan perbuatan biadap sesetengah individu yang beranggapan agama suci ini suatu jenaka dan boleh dijadikan lawak? Demi menjaga keharmonian dan hubungan antara agama, umat Islam sudah terlalu lama bertoleransi terhadap puak-puak pelampau ini. Awas, jangan sampai cacing naik ke mata!