Wednesday 20 November 2013

Husam Musa: Pertandingan Naib & Timbalan Presiden PAS



Datuk Husam Musa memang seorang yang agak misterius. Para penyokongnya kata dia akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PAS kelak. Tapi menurut Datuk Husam sendiri melalui twitter beliau akan pertahankan jawatan Naib Presiden. Turunkan target ye?

Karier politik beliau memang masih bersisa banyak dan mampu pergi jauh lagi, tapi Husam dah tak sehangat dulu. Bak kata orang seni, sinarnya dah malap. Bukankah dahulu dia disebut-sebut nak jadi MB Kelantan? Walaupun dia masih lagi mewakili DUN Salor, namun hakikatnya Husam dah diketepikan oleh Kerajaan Kelantan atas isu-isu melibatkan istana, apatah lagi Nik Aziz pun dah tak mempertahankan beliau.

Gaya penghujahan Husam pun dah lain macam. Macam dia pulak yang pembangkang kat Kelantan tu. Agak ironik, dahulu Nik Aziz serah pada dia untuk bentang belanjawan negeri. Sekarang dia pulak yang hentam belanjawan negeri kaw-kaw. Marah masih berbisa agaknya?

Ada lima calon untuk tiga kerusi Naib Presiden PAS. Husam, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik. Tuan Ibrahim pun mengambil keputusan untuk tidak bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden. Datuk Abu Bakar Chik pula macam tiada peluang kemenangan. Mungkin kerana faktor usia atau faktor populariti dan mungkin juga faktor dia pernah menentang Nik Aziz dalam kerjasama dengan DAP. 

Datuk Abu Bakar Chik pada hematnya PAS akan semakin kehilangan undi dan sokongan Melayu Islam sekiranya kekal berkerjasama dan berkompromi dengan DAP sedangkan matlamat asal perjuangan PAS semakin lenyap. Ada kemungkinan nampaknya Datuk Abu Bakar Chik akan disingkirkan dan diketepikan oleh PAS sendiri.

Salahuddin Ayub pula sangat disenangi dan pendekatan berdiplomasi beliau amat diterima oleh kawan dan lawan. Dia juga menerima jumlah pencalonan paling tinggi dan dijangka melalui jalan mudah. Masalahnya, Salahuddin bukan lagi bergelar Yang Berhormat. Dia mengambil risiko tinggi melepaskan kerusi Parlimen di Kelantan dan bertanding di Johor, dimana beliau kalah. 

Mahfuz Omar pula bukanlah seorang ahli politik yang benar-benar menyerlah kepimpinannya, namun dia boleh disifatkan sebagai bernasib baik. Pujian Presiden PAS dalam ucapan dasarnya pada tahun 2011 terhadap Mahfuz ternyata amat membantu. Kejayaan Mahfuz sebagai pengarah pilihanraya di PRK Sungai Limau membuktikan dia boleh berjaya dan boleh membantu parti.

Nampaknya cabaran besar menanti Husam pada pertandingan kali ini. Walaupun penyokongnya mendakwa Husam berjaya menarik ribuan rakyat Kelantan di Putrajaya dan membantu kemenangan PAS di Kelantan pada PRU-13 yang lalu, namun hanya masa akan menentukan nasib kerjaya Husam selepas ini.

Pertandingan Naib Presiden PAS akan menyaksikan yang menang dan kalah mencatatkan tahap kemenangan dan kekalahan yang besar. Menarik untuk diikuti.

Kita tunggu dan lihat.

Tuesday 19 November 2013

TUNTUTAN GABUNGAN NGO LIBERAL COMANGO CABAR KEDUDUKAN ISLAM

Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini perlu berasa bimbang terhadap tuntutan Gabungan NGO- NGO Hak Asasi Manusia (Comango). Ini kerana tuntutan-tuntutan yang dibuat Comango bukan sahaja boleh menjatuhkan Islam (ada tuntutan yang dikatakan bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan) dan memecahbelahkan umatnya malah boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini. 

Antara tuntutan-tuntutan yg dibuat adalah seperti dibawah : (bleh klik utk besarkn)



kredit kpd www.arusbaru.my

Najib: Menghadapi Isu-Isu Utama Globalisasi



Menurut Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak, isu-isu utama yang akan dihadapi Malaysia kearah globalisasi ialah:

  1. Mengenalpasti kepentingan kesederhanaan dalam Islam,
  2. penglibatan golongan belia, dan
  3. menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi.
Isu-isu ini bukan sahaja bakal dihadapi oleh negara-negara berpenduduk majoriti Islam, namun turut memberi impak signifikan secara global. 

Penggunaan kekerasan dan kekejaman atas nama agama perlu ditentang dan dikutuk. Ini hanya akan memberi gambaran buruk serta mendatangkan impak kesan panjang yang negatif.

Selain itu penglibatan dan pemerkasaan golongan belia merupakan satu cabaran yang semakin meruncing terutama di negara-negara Islam dimana golongan belia merasakan mereka tiada tempat dalam menentukan halatuju negara. Ini akhirnya menyebabkan mereka melepaskan kesedihan dan kekecewaan mereka di Internet. Golongan bakal pemimpin negara ini perlu dipupuk dan diasuh dengan menjadikan agenda negara sebagai fokus utama.

Penglibatan dan penggalakkan wanita dalam sektor ekonomi berupaya merancakkan lagi sektor ekonomi dan menyumbang kepada pendapatan negara selain memupuk hak kesamarataan jantina.

Malaysia, menurut Najib, boleh menjadi negara Islam model dengan menampilkan keadaan moden, terbuka, demokratik dan berjaya .

RMK amat bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib ini. Semaju dan sehebat mana pun negara kita, Islam dan nilai-nilai keadilan perlu ditegakkan dan menjadi tonggak pembinaan dan pengukuhan negara.

Monday 18 November 2013

CCTV Bakal Dipasang Di Hotspot Sekitar Lembah Klang

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita penculikan kanak-kanak berusia 20 bulan bernama Freddie yang diculik di rumahnya di Bangsar. Ini secara tak langsung membuktikan bahawa Bangsar sememangnya salah satu kawasan panas atau hotspot di Lembah Klang yang menjadi tumpuan penjenayah. 

Nasib baik Freddie ditemui kembali dalam keadaan sihat di Taman Tasik Titiwangsa dan dikembalikan ke pangkuan keluarganya selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sehubung dengan ini Tan Sri Khalid Abu Bakar selaku Ketua Polis Negara mengumumkan pemasangan CCTV di hotspot-hotspot sekitar Lembah Klang dan tentunya meliputi Bangsar. Menurutnya juga kerajaan sudah pun menyediakan peruntukan untuk tujuan berkenaan di kawasan-kawasan tertentu.

RMK menyambut baik langkah pemasangan CCTV berkenaan. Langkah ini sedikit sebanyak dapat mencegah dan membantu pihak polis dan komuniti dalam memastikan persekitaran yang selamat dan aman. Walaubagaimanapun, CCTV hanya dapat membantu sehingga satu tahap sahaja. Orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak mengamalkan sikap individualistik semata-mata. Jangan hanya harapkan polis untuk memantau keadaan persekitaran serta mengenalpasti individu-individu tidak dikenali yang berkeliaran di kawasan kediaman. 

Ayuh, bersama kita ke arah komuniti perihatin dan masyarakat selamat!

Friday 15 November 2013

Banjir di Klang 15 Nov 2013: Syabas Agensi Kerajaan!








Pagi tadi berlaku kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah Klang seperti Padang Jawa, Bukit Naga, Kg Sri Gambut, Kg Batu 8 Bukit Kemuning, Taman Sri Muda, Taman Rashna dan Pelabuhan Klang. Tambah memburukkan keadaan, fenomena air pasang memburukkan lagi keadaan. Namun RMK bersyukur kejadian ini tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Pusat pemindahan dibuka di Dewan MBSA Padang Jawa menempatkan mangsa-mangsa yang terlibat.

Syabas agensi-agensi kerajaan terutamanya Jabatan Pengairan Saliran (JPS), Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan dan agensi-agensi lain yang bertindak pantas mengurangkan beban rakyat yang terlibat dengan kejadian banjir ini.

Tindakbalas pantas seperti inilah yang kita mahu!