Showing posts with label Dato' Dr Hasan Ali. Show all posts
Showing posts with label Dato' Dr Hasan Ali. Show all posts

Wednesday 13 February 2013

Keamanan di Malaysia sedang Diperjudikan Pihak Tak Bertangungjawab!: Dato' Dr. Hasan Ali


KENYATAAN PRESIDEN JALUR TIGA (JATI) DATO DR HASAN MOHAMED ALI MENGENAI PERISTIWA BIADAP KEPADA PEMBESAR NEGARA DI PULAU PINANG

Peristiwa Raja Permaisuri Agong ditunjuk isyarat lucah di Pulau Pinang dan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak di ejek juga di Pulau Pinang tidak boleh dibiar berlalu begitu sahaja.

Bagi saya ini menggambarkan sudah wujud simptom atau tanda-tanda bahawa Malaysia sedang berdepan dengan satu lagi gejala destruktif baru dalam rangka pembangunan nasional atau “nation building” kita.    

Gejala ini mungkin sudah diperam sekian lama hanya menunggu saat-saat yang paling sesuai untuk dizahirkan. Kunjungan Dato Seri Najib sempena sambutan Tahun Baru Cina yang sepatutnya menjadi hari muhibbah rasanya amat tidak bertepatan dengan resepsi yang beliau dan keluarga terima.

Saya tidak pernah mendengar atau terbaca dalam mana-mana negara tidak kira apa amalan pemerintahan samada komunis, sosialis, junta tentera apatah lagi demokratik seperti di Malaysia dalamana rakyat memilih menunjukkan sentimen politik dalam acara seperti di Pulau Pinang itu dengan mengenepikan langsung nilai-nilai adat budaya serta kesantunan masyarakat Timur. Kelihatan dalam kes yang berlaku di Pulau Mutiara tersebut mereka yang terlibat terang-terangan telah memilih satu perlakuan yang begitu hina, biadap, hilang kesopanan serta jauh  sekali daripada tatarukun akhlak yang dipusakai turun temurun oleh kita semua tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik. Saya yakin mereka yang terlibat itu pun sama seperti kita juga telah mengalami proses akulturasi dan sosialisasi yang sama.

Insiden ini berlaku di Pulau Pinang. Negeri di tadbir oleh DAP rakan sejawat PAS dan PKR. Saya tidak berhasrat untuk mengheret politik dalam isu ini. Saya lebih terpanggil untuk menilainya dari sudut sosio-budaya. Pertama, pada hemat saya apa yang telah berlaku tidak diserlah secara sepontan. Besar kemungkinan insiden tersebut adalah hasil daripada satu bentuk perancangan yang dizahirkan secara berorkestrasi. Kedua, bila disebut ada unsur orkestrasi sudah barang tentu pula ada arahan dan pengarahan. Perlu diketahui siapa peneraju dan bagaimana penerajuan itu dibuat? Ketiga, apakah insiden ini akan tinggal dan lenyap disitu sahaja atau ianya boleh di anggap sebagai persiapan rapi kepada satu "acara" yang lebih besar berkait dengan PRU13?

Keempat, tidakkah insiden jijik ini menggambarkan bahawa bagi setengah-setengah pihak, apa pun usaha yang diambil untuk membentuk negara bangsa bersendikan kerukunan dan ketatasusilaan seperti program PLKN tidak lebih daripada menyiram air di daun keladi? Kelima, kita difahamkan bahawa pencetusan 13 Mei 1969 mempunyai iras-iras persamaan dengan kedua-dua insiden di Pulau Pinang itu. Tidak hairanlah diakhir-akhir ini ada pihak-pihak yang berminat menonjolkan berbagai senario ngeri yang mungkin akan tercetus berikutan dengan ke arah mana keputusan PRU 13 akan memihak dan sebagainya.

Keenam, insiden itu berlaku di Pulau Pinang negeri yang ditadbir oleh DAP. Bagi saya seandainya jalur penaklukan DAP meluas ke negeri-negeri lain seperti yang mereka sasarkan, dikatakan bahawa angka keberangkalian yang agak besar menunjukkan bahawa insiden-insiden di Pulau Pinang itu dalam nisbah yang lebih besar mungkin menyeluruh boleh menjadi kenyataan. Bukan sahaja setakat menjadi kenyataan bahkan lebih berat daripada itu sesuatu yang sukar digambarkan kemungkinan akan terjadi.
Ketujuh, gambaran-gambaran yang terbentang dihadapan samada dalam bentuk “overt” atau “covert” dan disokong pula oleh dua insiden di Pulau Pinang itu menunjukkan bahawa keamanan dan kesejahteraan Malaysia sedang diperjudikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Akhirnya kelapan, insiden biadap dan kurang ajar kepada Raja Permaisuri Agong itu merupakan satu bentuk manifestasi untuk merendah dan menghina Institusi Raja dalam negara kita. Insiden yang seumpanya bukan lagi perkara baru. Sudah berlaku beberapa peristiwa yang kebetulannya datang daripada kelompok parti politik yang sama yang berterusan menzahirkan sikap tidak menghormati dan memandang rendah kepada Institusi tersebut. Ini menguatkan lagi teori bahawa sekiranya kelompok tersebut berjaya ke Putrajaya nescaya sistem Raja Berlembagaan negara kita akan terancam.  

Terserahlah kepada pihak berkuasa untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya. Saya yakin kepada kemampuan, keupayaan dan kebolehan mereka. Bagi saya pihak berkuasa tidak perlu menunggu deretan laporan polis dibuat. Setakat maklumat zahir yang ada barangkali sudah memadai untuk pihak berkuasa mengambil satu tindakan drastik dan decisive terhadap perkara ini.

Menyerahkan bulat-bulat kepada pihak berkuasa pun ada keterbatasannya yang tersendiri. Rakyat semua khasnya masyarakat IsLam/Melayulah yang lebih afdal menggunakan kuasa penentu mereka selain daripada berusaha dan bertawakkal untuk melihat agama dan bangsa tidak diinjak-injak oleh mereka yang dilihat sudah hilang kewarasan dan pertimbangan.

Moga Allah SWT sepanjang masa melindungi kita semua.


YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
12 Februari 2013


[Sumber]

RMK: Semoga Allah SWT tunjukkan yang hak dan sembunyikan yang batil.

Monday 19 November 2012

APABILA DATO' HASAN ALI BERSUARA... BACA DULU!!




ULASAN YB DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI MENGENAI DOA SELEPAS SOLAT HAJAT MUKTAMAR PAS DI STADIUM SULTAN MOHAMAD KE IV 

Saya terkejut bila melihat dan mendengar sendiri doa yang dibacakan melalui kaca tv malam semalam. Ada lima perkara yang menyebabkan saya tersentak. 

Pertama, inti apa yang dipohon melalui doa tersebut, kedua, bahasa yang digunakan, ketiga, nada suara yang dilafazkan, keempat, or
ang yang terlibat membaca doa itu sendiri dan kelima, ribuan makmum yang mengaminkan doa tersebut. 

1. Mengenai apa yang dipohon. Setakat yang saya faham mengenai doa, apa yang dipohon melalui doa hendaklah sesuatu yang baik untuk diri, anggota keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan umat keseluruhannya. Islam melarang umatnya memohon sesuatu keburukan dan kecelakaan bagi seseorang atau sesuatu golongan.
Doa ulama PAS itu sama sekali tidak mencerminkan perkara ini. 

2. Bahasa yang digunakan. Dalam doa bahasa yang digunakan hendaklah bahasa yang baik-baik. Ini disebabkan yang berdoa memohon kepada Allah SWT sebagai kuasa yang menjadikan semua makhluk termasuk manusia. Sebagai hamba Allah yang begitu kerdil, bahasa yang diucapkan tatakala menghadap Allah seharusnya menggunakan bahasa yang penuh dengan kesopanan, ketertiban dan kehambaan diri. Perkara ini juga tidak tergambar dalam doa yang dibacakan sebaliknya mengulang-ngulang beberapa kali perkataan-perkataan “hukumlah UMNO”, “KO BN”, “BN KO” dan seterusnya. 

3. Nada suara yang dilafazkan. Nada suara terutama bila melafazkan kehancuran dan kemusnahan UMNO/BN dibuat dengan nada yang paling tinggi memenuhi ruang angkasa stadium. Perkara ini jelas bertentangan dengan adab berdoa dalamana mereka yang berdoa hendaklah memilih kata-kata yang sopan, halus dan nada suara yang penuh syahdu. 

4. Orang yang terlibat membaca doa itu sendiri. Setakat yang saya kenali, orang yang membaca doa adalah seorang ulama yang mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas mendidik dan mertarbiah masyarakat Islam sejak puluhan tahun yang lalu. Tidakkah adab berdoa yang pernah diajarkannya kepada jemaah masjid, surau dan madrasah di seluruh negara buat sekalian lamanya dilupakan begitu sahaja. 

5. Ribuan makmum yang mengaminkan doa tersebut. Doa yang dibaca diaminkan oleh ribuan pimpinan PAS yang sebahagian besarnya dari aliran agama. Tidakkah terdetik di hati mereka dikala mengaminkan doa tersebut bahawa adab sopan doa yang dibacakan bertentangan dengan tatasusila berdoa yang diturunkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. 

Saya sangat khuatir kalau ahli-ahli PAS yang jumlahnya mencecah 1 juta orang yang sebahagiannya ada yang begitu taksub kepada pemimpin akan menerima pakai percontohan berdoa itu dan terus mengamalkannya di tempat masing-masing. 

Tidakkah tindakan orang yang berdoa itu akan memungkinkan timbulnya jurang dan perpecahan yang lebih dahsyat diantara sesama muslim khususnya di kalangan ahli dan penyokong PAS dan UMNO. 
Bagaimana pula kalau ulama-ulama UMNO mendoakan supaya sesuatu yang buruk berlaku kepada PAS? Apakah yang akan berlaku kepada masyarakat Melayu-Islam di negara ini akibat daripada kebodohan kita itu? 

Kita boleh membuat jangkaan bahawa sesuatu yang jauh lebih buruk akan berlaku di kalangan anggota dan penyokong dua parti terbesar yang mewakili Melayu/Islam seandainya kebodohan ini terus dilindung dan dipertahankan. 

Pimpinan PAS lebih mengetahui bahawa dalam PRU-12 pada tahun 2008, kemenangan PAS didokong bukan sahaja oleh ahli dan penyokong PAS tetapi pada ketika itu atas sebab-sebab tertentu, ahli dan penyokong UMNO pun ada yang mengundi PAS. Sokongan penyokong UMNO itu menyebabkan PAS menang dengan agak bergaya. Apakah ulama yang berdoa dan makmum yang mengaminkan doa tersebut tidak memerlukan lagi sokongan kumpulan ini untuk membolehkan mereka ke Putrajaya? 

Seperti yang dipaparkan dalam media matlamat ke Putrajaya begitu ghairah diperbahaskan dalam Muktamar kali ini. Tidakkah doa yang dibaca itu akan menutup ruang sokongan pengundi dari kalangan mana pun termasuk ahli dan penyokong UMNO? 

Saya tidak dapat membayangkan betapa sempitnya pemikiran mereka yang terlibat hingga sanggup melafazkan doa memohon dihancur musnahkan parti yang seagama dan sebangsa dengan mereka. 

Akhirnya saya bimbang piawaian akhlak yang ditunjukkan oleh mereka yang bergelar ulama yang mewarisi para Nabi dicontohi oleh generasi muda Muslim dan generasi pengganti Muslim yang akan datang. 

Atas kealpaan dan hilang kecermatan mereka yang terlibat akan mengakibatkan kesan buruk berganda di kalangan Umat Islam di negara ini. 

Saya doakan Allah terus memelihara kita dengan kasih sayang dan keredhaanNya. Moga pembaca doa dan makmum yang mengaminkannya ditunjukkan jalan yang benar dan sentiasa berada dalam pengampunan Allah SWT.

Pejabat Operasi Jati.
153B, 2nd Floor, Jalan Aminuddin Baki,
Taman Tun Dr Ismail,
18 Oktober 2012

Video doa solat hajat PAS pada 16 November 2012:



*RMK: Ada benarnya respon Dato' Hasan Ali ni. Tak tau apa nak jadi dah dunia sekarang. Banyak yang tak betul berlaku. Semoga Allah selamatkan kita semua.