EPISOD perebutan kerusi Menteri Besar (MB) Selangor sampai
kemuncaknya apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan
memecat penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada
parti tersebut.
Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebaliknya sudah
dijangka sejak awal lagi apabila isu ini tercetus. Ia memandangkan ramai
pihak amat memahami seni politik dalam PKR apabila sesuatu tindakan itu
melibatkan impian pemimpin kanan mereka, khususnya Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Walaupun mendapat sokongan padu daripada Pas yang tetap mahu Abdul
Khalid kekal, namun PKR mengambil langkah songsang tersebut dengan
pelbagai hujah memualkan.
Dakwaan ke atas Abdul Khalid yang bertujuan bagi 'menghalalkan'
pemecatan beliau, bukan sahaja boleh dipertikaikan malah boleh dianggap
sekadar alasan sahaja.
Sebagai contoh, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengatakan, mereka turut
mengambil kira keingkaran Abdul Khalid terhadap keputusan Majlis
Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan proses perbincangan mengenai
projek Langat 2, kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN Selangor. Abdul Khalid juga didakwa ingkar
kerana meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti mengarahkan
beliau mengkaji semula projek tersebut.
Persoalannya, kalaulah semua tindakan Abdul Khalid itu dilihat tidak
betul dan tidak wajar kenapakah kepimpinan Pas di semua peringkat
tertingginya termasuk Majlis Syura Ulama menentang sekeras-kerasnya
penyingkiran beliau?
Kenapakah PKR tidak berunding terlebih dahulu dengan Pas bagi
membentangkan hujah-hujah tersebut terutamanya sebelum memulakan
`Langkah Kajang' yang difahamkan Pas langsung tidak tahu menahu.
Pas hanya diseret untuk terlibat sama dalam kemelut perebutan kerusi
MB apabila PKR memerlukan sokongan bagi membolehkan perancangan politik
yang disusun oleh Anwar terutamanya bagi melantik isterinya, Datin Seri
Dr. Wan Azizah Wan Ismail menduduki jawatan itu tercapai.
Oleh itu, PKR tidak perlulah memberikan alasan yang dianggap sengaja
direka bagi memenuhi nafsu politik pemimpin-pemimpinnya. Apatah lagi
dalam kes melibatkan Abdul Khalid, beliau langsung tidak diberi keadilan
yang selama ini kononnya menjadi pegangan parti tersebut.
Kalau benar mereka mahu memberi keadilan, mengapakah Abdul Khalid
tidak pernah dipanggil memberi penjelasan di hadapan ahli-ahli Majlis
Presiden Pakatan Rakyat kenapa beliau tidak mematuhi arahah yang
diberikan?
Satu lagi, kenapakah Abdul Khalid didesak meletakkan jawatan
serta-merta sedangkan beliau mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan
rayuan? Apakah ini bermakna kepimpinan PKR hanya bersandiwara dengan
memberikan tempoh itu?
Tetapi tiada apa yang harus dihairankan apabila PKR dikaitkan dengan
sandiwara kerana selama kewujudannya sudah banyak sandiwara
dipertontonkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu.
Namun begitu apa yang menjadi persoalannya besar sekarang, apakah
dengan menggantikan Abdul Khalid dengan Wan Azizah, ia boleh memberikan
jaminan rakyat Selangor tidak akan menyaksikan lagi perebutan kuasa
memerintah negeri itu yang dicetuskan oleh PKR.
Benarkah Wan Azizah mendapat sokongan majoriti pemimpin dan ahli PKR
bagi menduduki jawatan tersebut? Kalau betul kenapakah wujud desakan
supaya Azmin Ali turut disenaraikan sebagai calon MB Selangor?
Sepatutnya situasi itu adalah isyarat bahawa politik Selangor tetap
tidak akan aman selagi PKR terus diberi ihsan oleh Pas untuk menduduki
kerusi MB.
Oleh itu mahu tidak mahu, suka atau tidak, kalau benarlah PKR begitu
yakin bahawa penyingkiran Abdul Khalid adalah demi kesejahteraan rakyat
Selangor, maka mereka juga perlu bersikap terbuka menyerahkan kembali
mandat kepada rakyat membuat keputusan dengan meletakkan Wan Azizah
sebagai 'panglima perang' bagi menggantikan Abdul Khalid.
Biarlah rakyat Selangor menentukan adakah benar mereka mahu Wan
Azizah menjadi MB mereka dan terus bersedia menyokong pakatan
pembangkang. Pada masa ini, apa yang dilakukan oleh kepimpinan PKR
adalah tidak adil apabila mereka memaksa rakyat mengikut setiap rentak
dan perancangan politik parti itu biarpun ia cukup memalukan.
Tindakan secara sengaja bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan sudah membuktikan bagaimana rakyat
Selangor dipaksa untuk melayani nafsu politik pemimpin-pemimpin PKR.
Oleh itu sudah sampai masanya, politik songsang ini diletakkan
noktahnya. Ia hanya boleh dilakukan jika Abdul Khalid memberikan
pandangan kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi membolehkan
sebuah pilihan raya negeri diadakan.
Sememangnya kita tidak menafikan pilihan raya kecil itu akan memakan
belanja mencecah RM50 juta dan satu pembaziran kepada wang rakyat tetapi
itu sahaja caranya bagi menghentikan kegilaan pemimpin-pemimpin PKR
berpolitik.
Hanya rakyat Selangor berhak menentukan nasib negeri mereka dan
bukannya orang lain apatah lagi seorang MB yang bukan anak jati negeri
itu. Mereka tidak harus selama-lamanya dipaksa menyaksikan satu demi
satu sandiwara politik yang direka oleh pemimpin-pemimpin PKR.
Apabila pilihan raya diadakan, kita menerima apa sahaja keputusan
yang dibuat oleh rakyat tetapi buat masa ini, adalah tidak wajar jika
penyingkiran Abdul Khalid diterima sebagai satu amalan demokrasi dan hak
mutlak sesebuah parti.
Ini kerana Abdul Khalid tidak melakukan apa-apa yang menyusahkan
rakyat atau menyebabkan Selangor muflis, sebaliknya tindakan yang beliau
lakukan sepanjang mentadbir negeri itu adalah demi masa depan rakyat.
Tetapi malangnya, bukan itu yang dimahukan oleh pemimpin-pemimpin
PKR. Yang mereka mahukan Abdul Khalid terus mengikut rentak mereka
berpolitik termasuklah dengan Kerajaan Pusat. Bayangkanlah kalau Abdul
Khalid yang tidak mempunyai apa-apa kaitan kekeluargaan dengan mana-mana
pemimpin-pemimpin utama PKR boleh dipaksa berbuat demikian sehingga
dipecat, bagaimana kalau pemimpin yang menjadi MB mempunyai hubungan
tersebut?
Seperkara lagi, kalau Abdul Khalid boleh dipaksa untuk tunduk dengan
perancangan politik PKR biarpun apa yang beliau laksanakan demi
kepentingan rakyat, bagaimana kalau pemimpin lain khususnya daripada Pas
menduduki jawatan itu, apakah jaminan bahawa tiada amalan politik
gertak menggertak dilakukan termasuklah ancaman mengadakan undi tidak
percaya di DUN?
Sebab itulah, dalam menyelesaikan konflik politik di Selangor yang
tercetus akibat kerakusan dan kegilaan pemimpin-pemimpin PKR meraih
kuasa, cara terbaik adalah kembali mandat kepada rakyat, jika benar
pakatan pembangkang memperjuangkan rakyat dan begitu mempertahankan
prinsip 'suara rakyat adalah suara keramat'.