Monday, 1 April 2013

Datuk Seri Muhamad Ridzwan serah diri di IPD Ampang



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman serah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini pagi ini untuk membantu siasatan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. 

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 kenalannya di balai polis itu pada jam 11.05 pagi tadi.Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu. 


Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

"Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram," katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri hari ini berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.

Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment