Thursday, 9 May 2013

MB Selangor: PAS Ugut Keluar PR Jika Wakilnya Tidak Dilantik #TolakPR



Siapa yang akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor sehingga kini terus menjadi tanda tanya lebih-lebih lagi selepas Pengerusi PR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Kenyataan bekas MB Selangor itu memberi satu makna jelas mengenai ketidaksepakatan yang sedang dihadapi PR tika ini dalam menentukan calon yang sesuai untuk jawatan MB selain mengesahkan berlakunya perebutan jawatan itu sesama rakan sepakatan.

Tika ini perebutan jawatan itu berkisar antara PKR sesama PKR melibatkan Khalid dan Azmin Ali, di masa yang sama PAS pula menuntut hak ke atas jawatan MB berasaskan kelebihan yang mereka miliki berbanding PKR.

Dari segi kedudukan, Khalid kelihatan mempunyai peluang untuk mengekalkan jawatan tersebut sekiranya mendapat sokongan Azmin, bagaimana pun realiti yang berlaku tidak semudah itu kerana Azmin juga agak kemaruk untuk merasai keempukan kerusi MB Selangor.

Dalam PRU-13 yang baru berlalu, PR berjaya meraih kemenangan di 44 kerusi DUN dari 56 yang dipertandingkan di mana 15 dimenangi oleh PAS, diikuti DAP 15 sementara PKR pula hanya berjaya mempertahankan 14 kerusi DUN. Manakala BN pula hanya menang di 12 kerusi DUN.

Dari konteks ini jelas sekali, jawatan MB lebih layak disandang oleh pemimpin PAS. Tambahan pula PAS mempunyai kelebihan tersendiri kerana semua 15 wakilnya adalah Melayu Islam berbanding PKR yang hanya 9 orang sahaja terdiri dari pemimpin Melayu Islam.

Pun begitu, DAP selaku regu utama PKR tentu sahaja tidak akan membiarkan jawatan MB jatuh ke tangan PAS kecualilah terdapat seorang calon dari PAS yang mudah dicucuk hidungnya sama seperti bekas MB Perak, Nizar Jalamaluddin barulah mereka akan menerimanya dan memberi sokongan padu. 

Berikutan polemik yang berlaku, sudah ada ura-ura di kalangan pemimpin PAS Selangor mengugut untuk menarik diri dari PR seandainya wakilnya tidak dilantik sebagai MB. Jika itu menjadi kenyataan, maka baik Khalid mahu pun Azmin Ali akan gigit jari sendiri.

Menyedari keributan yang berlaku mungkin memudaratkan PR maka Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali segera memberi jaminan PAS tidak akan menuntut jawatan tersebut dari PKR meskipun di masa yang sama gerakan sulit untuk memastikan jawatan MB dimiliki wakil PAS terus berjalan.

Apa yang pasti, keributan yang berlaku di Selangor sekarang ini tidak hanya akan menguji sejauh mana kesepakatan PR, ia juga akan menjadi tanda aras untuk PAS Selangor dalam menonjolkan kepentingan mereka dalam menentukan percaturan politik negeri terkaya di Malaysia ini.


No comments:

Post a Comment