Friday, 28 June 2013

Penduduk Puchong Derita Dinafikan Bekalan Air Percuma. Kerajaan Negeri Diam Saja??

Ikuti berita yang disiarkan Utusan Malaysia ini:


Akibat bil tertunggak, penghuni Pangsapuri Kekwa, Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor terpaksa menanggung sengsara apabila bekalan air mereka dipotong pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sejak Sabtu lalu. - UTUSAN/Safiiyana Salim

SEPANG 26 Jun - Dalam keadaan negara dilanda krisis jerebu, para penghuni Pangsapuri Kekwa di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini terpaksa menanggung penderitaan berganda selepas terputus bekalan air sejak Sabtu lalu. 
Penduduk mendakwa masalah itu disebabkan pemotongan bekalan air ekoran bil tertunggak sebanyak RM49,000 oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas). Ekoran masalah itu, penghuni terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi semata-mata mahu mendapatkan bekalan air dari kawasan berhampiran termasuk masjid, stesen minyak dan tasik.
Mereka turut mendakwa, pihak pengurusan bangunan iaitu LT Sdn. Bhd. seolah-olah bersikap lepas tangan dalam hal berkenaan.
Seorang penduduk, Faizah Mohd. Yusuf, 34, berkata, dia amat berharap proses penukaran meter pukal ke meter individu dapat dilaksanakan segera.Menurutnya, ini bagi mengelakkan penghuni terus menanggung derita sekali gus memberi keadilan kepada penghuni yang melunaskan pembayaran bil air. 
"Selepas bekalan air dipotong kami terpaksa bergantung melalui air tangki, namun tidak bertahan lama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kediaman di sini hari ini. 
Perasaan sama turut dikongsi, Sujiyanti Narun, 38, yang berharap agar penyelesaian dapat dilakukan pihak berwajib.
Dia berkata, tindakan pemotongan itu sebagai tidak adil kepada dirinya dan penghuni lain yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membayar bil."Saya mengasuh tiga orang kanak-kanak. Susah bagi kami kerana tiada bekalan air ketika ini.
"Kami amat berharap pihak pengurusan, Syabas dan penduduk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini," tegasnya. 
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kekwa, Saiful Bahrin Badarudin berkata, setakat ini pihak pengurusan bangunan cuma dapat membayar kira-kira RM10,000 kepada Syabas untuk proses penyambungan semula bekalan air."Proses penyambungan semula bekalan air perlu dijelaskan sepenuhnya, namun pihak Syabas telah memberikan pengurangan kepada pendahuluan sebanyak RM20,000. Setakat ini kita mempunyai sebanyak RM11,000 dan memerlukan RM9,000 lagi," ujarnya. 
Beliau menambah, jasa baik pihak Syabas juga amat diharapkan agar proses penukaran meter pukal ke meter individu yang dipohon penghuni pangsapuri berkenaan segera diluluskan.
Ini katanya, bagi menggelakkan kejadian bekalan air dipotong berulang sehingga penghuni terpaksa menanggung derita.


RMK: Kenapa kerajaan negeri tak turun tengok keadaan mereka ni? Mana MP Puchong Gobind Singh Deo? Bantulah mereka dapatkan bekalan air percuma yang dibangga-banggakan tu. Inilah masa untuk bantu rakyat. Jangan sibuk berpolitik saja.

1 comment:

  1. Ni le nma dia demokrasi bro, yg mbangkang pn sama2 tkena tempias, xtau apa lg kisah akn dtg..ada lg 4tahun yg masih jauh.

    ReplyDelete