Showing posts with label hak asasi manusia. Show all posts
Showing posts with label hak asasi manusia. Show all posts

Wednesday, 4 December 2013

Hak Asasi Alat Penjajahan Baru


Perbezaan erti kebebasan dari sudut Islam, Barat cetus ketegangan

Apakah yang dimaksudkan dengan hak asasi manusia? Saya tidak akan menakrifkannya tetapi merujuk kepada Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 10 Disember 1948, The Cairo Declaration on Human Rights in Islam (Deklarasi Kaherah) yang dikeluarkan oleh negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kaherah pada 5 Ogos 1990 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (Deklarasi ASEAN). 


Saya juga akan melihat peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak asasi manusia dan membincangkan peranan serta kesan peruntukan itu kepada undang-undang negara dan kedudukan hak asasi manusia khususnya di Malaysia. 

Perlembagaan Persekutuan melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas belenggu penjajahan selama lebih empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang membawa kebanjiran pendatang bersama bahasa, budaya dan agama mereka yang hampir tenggelamkan penduduk asal di bumi sendiri”


UDHR berbangkit daripada pengalaman Perang Dunia Kedua. Ia disifatkan sebagai pernyataan pertama hak asasi manusia secara global. UDHR diterima oleh UNGA pada 10 Disember 1948 dengan 48 negara menyokong termasuk Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turki. Bagaimanapun, lapan negara yang terdiri daripada blok Soviet dan Arab Saudi menentang. Yaman tidak hadir untuk mengundi. Pakistan tidak bersetuju dengan pendirian Arab Saudi dan mengkritik pendirian itu.

OIC sokong Deklarasi Kaherah

Pada 1982, wakil Iran di PBB, Said Rajaie-Khorassani, mengatakan bahawa UDHR adalah satu kefahaman sekular tradisi Judeo-Kristian yang tidak boleh dilaksanakan oleh orang Islam tanpa melanggar undang-undang Islam. Pada 30 Jun 2000, negara Islam yang menjadi ahli OIC bersetuju menyokong Deklarasi Kaherah. 

Deklarasi itu memberi gambaran menyeluruh perspektif Islam mengenai hak asasi manusia dan mengesahkan syariah sebagai sumbernya yang tunggal. Ia mengisytiharkan tujuannya sebagai garis panduan umum bagi negara anggota OIC dalam bidang hak asasi manusia. Deklarasi Kaherah biasanya dilihat sebagai reaksi negara Islam kepada UDHR. 
Deklarasi Kaherah melihat persoalan hak asasi manusia dari sudut hubungan manusia dengan Allah SWT, manakala UDHR mengambil pendekatan keduniaan dan sekular. Mengikut Islam, kedaulatan adalah milik Allah SWT. Sebaliknya, mengikut fahaman demokrasi sekular moden Barat, rakyat dianggap sebagai pemerintah agung.

Hak asasi universal

Mengikut Islam, hak asasi adalah kurniaan Allah SWT dan ia suci, tidak boleh dipertikaikan, universal dan kekal. Sebaliknya, Barat menganggap bahawa mereka memperoleh hak mereka daripada pemerintah mereka selepas perjuangan yang panjang.

Kebanyakan peruntukan UDHR terdapat dalam Deklarasi Kaherah, Deklarasi ASEAN dan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, jika ada peruntukan mengenai perkara yang sama pun, peruntukannya bukanlah semestinya betul-betul sama. Ada pula perkara yang ada dalam satu atau beberapa dokumen itu, tetapi tidak ada dalam yang lainnya dan sebaliknya. 

Sebagai contoh, UDHR mempunyai peruntukan mengenai hak mendapat keselamatan sosial dan waktu rehat dan masa lapang termasuk cuti bergaji. Deklarasi Kaherah dan Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut hak itu secara spesifik. Tetapi di Malaysia, ia diperuntukkan dalam undang-undang seperti skim pencen, KWSP, SOCSO dan lain-lain. Dari segi cuti, tidak ada negara dalam dunia ini yang mempunyai lebih banyak cuti awam daripada Malaysia, termasuklah pada hari perayaan setiap agama yang ada di Malaysia. 

Negara Barat yang mempelopori UDHR terbabit dalam penjajahan secara berleluasa pada beberapa abad kebelakangan ini. Malah, hingga ke hari ini pun ia masih berlaku, walaupun dalam bentuk dan atas alasan yang berlainan termasuk yang sengaja diada-adakan.

Deklarasi ASEAN mengesahkan semua hak sivil dan politik yang disebut dalam UDHR (Perkara 10). Ada pula perkara lebih jauh daripada UDHR seperti memperuntukkan hak mendapat air minuman yang selamat dan bersih (Perkara 28). Ini mungkin berbangkit daripada wujudnya negara ASEAN yang berkongsi sungai seperti Sungai Mekong dan Singapura, bergantung kepada Malaysia untuk mendapat air minuman. 

Jelas, UDHR melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan Barat, selepas Perang Dunia Kedua dan ketika kuasa Barat menjadi penjajah di seluruh dunia. Penyertaan negara Asia dan Afrika terbatas kerana kebanyakannya sama ada masih dijajah dan tidak berpeluang mengambil bahagian atau terlalu lemah memberi apa-apa impak.

Deklarasi Kaherah pula melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan negara Islam yang kebanyakannya baru terlepas daripada belenggu penjajahan, sedang mencari identiti sendiri dan cuba berdiri di atas kaki sendiri, manakala Deklarasi ASEAN melihat hak asasi manusia mengikut kesesuaian di negara rantau ini.

Perlembagaan Persekutuan pula melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan selama lebih empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang membawa kebanjiran pendatang bersama-sama bahasa, budaya dan agama mereka yang hampir menenggelamkan penduduk asal di bumi sendiri yang terpaksa pula berkongsi kuasa dengan pendatang itu selepas merdeka.

Pelihara kedudukan Islam

Sebab itu, Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan untuk menyelamatkan keadaan seperti Perkara 153, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian syariah dalam undang-undang keluarga bagi orang Islam.

Di samping itu, hampir semua hak asasi utama yang disebut dalam UDHR ada dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun dengan pengecualian dan pengubahsuaian yang perlu. Ini tidak dapat dielakkan. Perlembagaan Persekutuan mestilah sesuai dengan keadaan, keperluan dan aspirasi Malaysia. Hal yang sama ada dalam perlembagaan negara lain.

Walaupun UDHR tidak mempunyai kuasa undang-undang di sesebuah negara, ia diterima pakai dan mempengaruhi kebanyakan perlembagaan negara, termasuk Malaysia. Ia juga menjadi asas kepada undang-undang negara, undang-undang antarabangsa, konvensyen dan triti. Deklarasi itu juga diterima pakai bagi mentakrifkan hak kebebasan dan hak asasi manusia dalam Piagam PBB yang mengikat negara yang menjadi anggota PBB. 

Apakah peranan Perlembagaan Persekutuan dalam soal hak asasi manusia? Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Malaysia. Mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah tidak sah dan batal. Peruntukan UDHR yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak menjadi sebahagian daripada undang-undang domestik. 

Kita sanjung hak asasi manusia tetapi di dunia ini, tidak ada kebebasan mutlak dan tidak ada hak tanpa tanggungjawab. Hak dan tanggungjawab manusia hendaklah mengikut garis panduan ditetapkan Allah SWT dan keperluan masyarakat dan negara. 

Penulis ialah bekas Ketua Hakim Negara


Tuesday, 19 November 2013

TUNTUTAN GABUNGAN NGO LIBERAL COMANGO CABAR KEDUDUKAN ISLAM

Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini perlu berasa bimbang terhadap tuntutan Gabungan NGO- NGO Hak Asasi Manusia (Comango). Ini kerana tuntutan-tuntutan yang dibuat Comango bukan sahaja boleh menjatuhkan Islam (ada tuntutan yang dikatakan bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan) dan memecahbelahkan umatnya malah boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini. 

Antara tuntutan-tuntutan yg dibuat adalah seperti dibawah : (bleh klik utk besarkn)



kredit kpd www.arusbaru.my