Friday, 23 August 2013

Surau jadi tokong: JAHIL ATAU SENGAJA?



Oleh Mohd. Ridhuan Tee Abdullah

APA sudah jadi dengan Malaysia sejak akhir-akhir ini? Penghinaan ke atas Islam semakin menjadi-jadi. Surau menjadi tokong. Pihak pengurusan sebuah resort di Kota Tinggi mendakwa ia dibenarkan dan bukan satu kesalahan, sebagai menunjukkan Islam adalah agama sejagat dan bertoleransi. Siapa yang ajar mereka?

Ya, saya tidak nafikan Islam itu adalah sejagat, tetapi kesejagatannya tidak bermakna kita boleh berkongsi Tuhan atau rumah ibadat, seperti agama lain. Jangan kerana terlalu ghairah dengan gagasan 1Malaysia, sehingga semuanya boleh dikongsi. Dalam Islam, perkara berkaitan dengan akidah dan tauhid, tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam.

Alasan pengurusan resort tersebut amat tidak logik. Walaupun ia dibina menggunakan wang sendiri. Itu bukan bermakna, sesiapa sahaja boleh mempergunakan surau tersebut? Apatah lagi sudah terpampang tulisan bahasa Arab berbunyi ‘Nur Muhammad’ di atas surau tersebut.

Saya tidak mempertikaikan jika ia berlaku di negara bukan Islam. Tetapi di Malaysia sebagai negara Islam, sudah tentu saya tidak dapat menerimanya.

Saya pernah bersolat di surau Lapangan Terbang Changi Singapura. Di sana tidak ada surau, tetapi ada meditation room atau multi-faith prayer room untuk semua agama. Di situlah saya bersolat, kerana ia adalah bilik kosong dan lapang, guna sama bagi penganut yang ingin menunaikan tanggungjawab kepada Tuhan masing-masing.

Ditakdirkan jika ada patung di bilik tersebut, saya tetap akan bersolat, kerana saya berada di negara bukan Islam. Saya perlu menunaikan tanggungjawab kepada Allah Yang Maha Esa, meskipun ada patung-patung bertaburan sana sini. Apa pun saya tidak bersetuju dengan idea menempatkan semua rumah ibadat di satu kawasan atas alasan 1Malaysia, seperti yang sedia wujud di Seremban, di situ terdapat masjid, kuil dan tokong.

Insiden ini mengingatkan saya kepada peristiwa yang dialami oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Dalam lawatan kerjanya, termasuk mengunjungi gereja. Tiba-tiba masuk waktu solat. Paderi gereja tersebut menawarkan Umar untuk bersolat di ruang gereja. Tetapi Umar menolak penuh hikmah. Ditakuti ada orang berpersepsi bahawa Umar mahu menukar gereja menjadi masjid. Maka Umar menolak pelawaan paderi tersebut. Begitulah berhikmahnya agama Islam meraikan orang (agama) lain. Perlukah kita berhikmah dalam isu ini?

Konsep dan prinsip tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah dalam Islam amat jelas. Begitu juga konsep keesaan Tuhan seperti yang dinukilkan dalam Surah Ahad. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Allah adalah satu-satunya. Syahadah kita adalah Tiada Tuhan selain Allah, bukannya tiada Tuhan melain Tuhan.

Di sinilah kegagalan dan kekeliruan (kesengajaan) bukan Islam memahami Islam. Mereka menganggap kita menyembah Tuhan yang sama. Allah @ Tuhan bukan terjemahan yang tepat bagi Allah. Tetapi dalam bahasa Melayu, Tuhan orang Islam merujuk kepada Allah. Sedangkan Allah itu adalah Allah. Tidak ada terjemahan tepat untuk menyamakan Allah dengan Tuhan.

Orang bukan Islam tidak ada masalah untuk menggunakan nama menggunakan Tuhan. Terkadang kita dengar juga mereka menyebut ‘Tuhan Allah’. Timbul kekeliruan, mana satu Tuhan, mana satu Allah.

Justeru, saya menyeru umat Islam, gunakan nama Allah tanpa diterjemahkan kepada makna Tuhan. Begitu juga isu perebutan nama kalimah Allah, kita perlu muktamadkan dengan tidak membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah yang mulia ini kerana makna dan konteksnya berbeza. Begitu juga soal pemahaman kita dengan mereka.

Majlis Perundingan Malaysia bagi agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism (MCCBCHST) tidak setuju dengan tindakan kerajaan Kedah mengharamkan penggunaan kalimah kalangan bukan Islam. Katanya, ia bertentangan dengan Perlembagaan dan kes tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah. Kerajaan Kedah dituduh tidak hormati undang-undang.

NGO jahil ini masih tidak faham bahawa perkara berkaitan agama adalah di bawah tanggungjawab dan hak negeri masing-masing di bawah raja-raja Melayu. Bacalah sejarah kenapa ada nama negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu? Kuasa di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu lebih kuat mengikat berbanding yang bersekutu dan negeri-negeri Selat, terutama kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.

Untuk makluman, bukan sahaja soal kalimah Allah, malah kalimah-kalimah suci lain, termasuk perkataan ‘surau’ pun mereka tidak boleh guna. Bacalah undang-undang setiap negeri. Misalnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004, fatwa di bawah subseksyen 48(3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, Mufti Negeri Pulau Pinang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kalimah-kalimah yang tidak boleh digunakan adalah Firman, Allah, Ulama, Hadis, Ibadah, Kaabah, Qadhi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Solat, Wali, Fatwa, Imam, Nabi, Sheikh, Khutbah, Tabligh, Akhirat, Azan, Al-Quran, As Sunnah, Auliya’, Karamah, Syahadah, Masjid, Baitullah, Surau, Musolla, Zakat Fitrah, Hajjab, Taqwa, Soleh.

Terang lagi bersuluh, perkataan ‘surau’ turut terpelihara. Bagaimana mungkin mereka boleh menggunakan surau sebagai tokong atas dasar guna sama. Nampak pelik, tetapi inilah uniknya Malaysia.

Peliknya, dengan isu-isu yang berlegar kebelakangan ini, apakah selama ini mereka tidak tahu bahawa perkara sebegini adalah sensitif? Saya fikir, mereka sengaja melakukannya. Bila jadi isu dan kontroversi, kemudian minta maaf, tutup fail. Maklum sahajalah BN dan UMNO dalam keadaan tersepit. Dengan sebab itu mereka begitu berani.

Terbaharu, NGO hak asasi dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa pihak berkuasa agama Johor bersikap “seperti 'Taliban' kerana merancang untuk merobohkan satu surau kontroversi itu. NGO itu juga mempertikaikan tempoh tahanan reman selama empat hari ke atas pemilik resort itu.

Ternyata NGO ini amat kurang ajar kerana mencampuri urusan agama Islam di bawah kuasa raja-raja Melayu. Isu ini bukan isu Taliban atau tidak, tetapi mempertahankan kesucian agama.

Dalam isu ini, kenapa surau yang menjadi sasaran? Tidakkah sudah begitu banyak rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara berkali-kali ganda berbanding surau dan masjid? Lagipun, tanpa bangunan pun mereka boleh menunaikan tanggungjawabnya. Patung-patung mereka boleh diletak di mana-mana kawasan lapang yang difikirkan sesuai.

Apa pun, saya kurang bersetuju dengan tindakan merobohkan surau tersebut. Jika kiblat tidak betul, betulkan sahaja arahnya. Pastikan selepas ini hanya akan digunakan oleh orang Islam sahaja. Jika dirobohkan, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk solat berjemaah bila mengunjungi resort tersebut. Siapa yang rugi. Sama seperti rumah kita sendiri. Tidak semestinya rumah dibina mengadap kiblat. Yang penting bila solat mengadap kiblat, tanpa merobohkan rumah.


PENULIS ialah penganalisis sosio politik.



No comments:

Post a Comment