Thursday, 14 March 2013

HARUS BACA! ANCAMAN TERHADAP NEGARA: SIAPA PENGGANAS SEBENAR??






PENCEROBOH, Dalang, Pengkhianat dan macam-macam istilah kini bermain sama ada di bibir mahupun menerusi media semenjak pendatang tanpa izin berasal dari Filipina yang  bersenjata api menceroboh kedaulatan Negara di Lahad Datu, Sabah sejak pertengahan Februari lalu.

Kita marah dengan PATI yang menggelar diri mereka sebagai Tentera Diraja Sultan Sulu menceroboh, mengganas dan membunuh pasukan keselamatan Negara yang mengambil pendekatan berunding bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama bangsa dan agama. Namun pilihan mereka adalah kekerasan disebabkan habuan wang ringgit dan janji yang ditabur oleh pemimpin mereka dengan kerjasama dari ahli politik pembangkang negara ini yang rakus untuk berkuasa walau darah pasukan keselamatan kita dihalalkan hanya untuk matlamat menuju ke Putrajaya.

Ia bukanlah suatu yang memeranjatkan jika dakwaan dari perisikan Filipina termasuklah laporan media dari luar negara mengaitkan penglibatan parti politik pembangkang dengan pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu. Cuba kita perhalusi tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS sebelum ini.



Pakatan Rakyat secara lantang mendesak kerajaan supaya mengiktiraf komunis yang membunuh anggota keselamatan kita serta orang kampung yang tidak bersalah sebagai pejuang, malahan mencadangkan supaya ketua Pengganas Komunis, Chin Peng dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia dan diberikan gelaran TUN.

Siapa yang mencadangkannya? Tidak lain tidak bukan salah seorang pemimpin tertinggi PAS. Sebuah parti yang kononnya melaungkan memperjuangkan agama Islam tetapi dalam masa yang sama memperjuangkan ideologi komunis yang menolak ketuhanan apatah lagi agama Islam.

Ketika ini kerajaan tidak berganjak dengan menolak secara tegas cadangan Pakatan Rakyat.
TETAPI sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan Pusat yang akan diterajui oleh DAP yang mengamalkan sikap rasis yang ekstrim, mungkinkah mereka akan mengiktiraf  pengganas Komunis sebagai PEJUANG?

Jika ini berlaku, mungkinkah anggota-anggota bersenjata Parti Komunis Malaya yang terdapat di selatan Thailand akan dibenarkan menetap di negara ini dan diberikan taraf kewarganegaraan secara automatik oleh Pakatan Rakyat?

Tidaklah perbuatan ini juga boleh dianggap sebagai pencerobohan kedaulatan? Bezanya dengan penceroboh di Lahad Datu ialah anggota komunis PKM yang turut membawa kaum kerabat mereka tidak perlu melakukan pertumpahan darah, sebaliknya pencerobohan mereka dilakukan secara terhormat dengan dibentang karpet merah sebagai pahlawan yang menjadi idaman oleh pemimpim kanan DAP selama ini.

Jika pengganas komunis diberikan penghormatan tertinggi negara, apa pula panggilan terhadap anggota keselamatan negara yang berjuang menghapuskan keganasan komunis sebelum ini? Mungkinkah anggota keselamatan kita akan dipanggil gelaran PENGGANAS? Melihat senario yang berlaku sekarang ia tidak mustahil kerana bukan sahaja orang bukan Melayu memanggil anggota keselamatan kita dengan gelaran ‘ANJING' tetapi orang Melayu dari pengikut parti yang kononnya memperjuangkan Islam turut memanggil gelaran yang sama. Parti yang satu lagi tak payah nak kata, memang bermain di bibir mereka.



Jika janji Pakatan Rakyat sebelum ini hanya sebagai retorik tetapi pengiktiraf komunis sebagai pejuang bukan ilusi begitu juga dengan janji mereka untuk membenarkan kepada sesiapa sahaja warganegara lain yang ingin menjadi warganegara Malaysia tidak perlu melucutkan kewarganegaraan asal mereka. Sebaliknya mereka diberikan kebenaran mempunyai dua kewarganegaraan.

Buktinya seperti video kenyataan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat ketika mengadakan demonstrasi di Putrajaya pada 12 Disember 2012.


Ketika itu mereka mendakwa 300,000 masyarakat India di negara ini tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia. Daripada jumlah tersebut kes yang benar-benar tulen tidak sampai 40 orang iaitu warganegara Malaysia kaum India. Semuanya dah selesai. Yang 299,960 orang lagi siapa pula? Bukankah mereka adalah warganegara India yang berada di negara ini yang tidak pernah diberikan taraf penduduk tetap di negara ini.

Tetapi kenyataan dari pemimpin parti pembangkang seperti di bawah ini menyatakan tak perlu isi borang permohonan kewarganegara sebaliknya terus beri borang buat Mykad. Bukankah ia telah mengesahkan seseorang itu sebagai warganegara Malaysia yang turut boleh mengundi?

                                            
Memahami kedua-dua senario yang diperjuangkan oleh pembangkang (sebenarnya ada lagi, cukup dua ni dulu), tidakkah terlintas di fikiran kita bahawa kedaulatan negara ini sedang menerima ancaman dari dalam negara oleh segelintir spesis yang rakus untuk berkuasa sehingga sanggup mengadaikan kedaulatan dan maruah apatah lagi kesucian agama Islam?

Sebagai renungan, apa bezanya pencerobohan bersenjata di Lahad Datu berbanding dengan gerakan terancang oleh pemimpin parti pembangkang terhadap pemberian kewarganegaraan kepada pengganas komunis dan warganegara asing tanpa perlu melucutkan kewarganegaraan asal mereka?

Maka, tidak hairanlah dakwaaan perisikan asing serta laporan media asing  termasuk dari barat bahawa terdapat dalang di Malaysia yang menjadi budak suruhan kuasa luar untuk menghuru-harakan negara ini, yang akhirnya memberi peluang kepada kuasa besar berkenaan bertapak di negara ini seperti mana yang dilakukan ke atas negara di timur tengah.

Persoalan yang perlu pembaca jawab:
  • Adakah kesucian Agama Islam di negara ini akan terjamin?
  • Di mana kedudukan orang Melayu?
  • Perlukah institusi raja dikekalkan?
  • Apakah masa depan anak cucu kita akan lebih baik dari apa yang kita nikmati sekarang?

Renungkan dengan iman bukan dengan nafsu.

Wednesday, 13 March 2013

AL FATIHAH! Hari Ini Genap 3 Tahun Kejadian Tian Chua Langgar Askar Hingga Mati





AL FATIHAH!

Marilah kita semua sebagai rakyat beragama Islam menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Mohd Salleh Hamdan, yang terkorban akibat dilanggar oleh Naib Presiden PKR Tian Chua pada 13 Mac 2010 di KM49 Jalan Johor Bahru - Mersing.

Sumber: Laporan Berita Harian.


Lahad Datu: Dua Lagi Wira Negara Syahid, Tian Chua Masih Enggan Mohon Maaf


 Prebet Ahmad Hurairah Ismail


AL FATIHAH! 

Dua lagi wira negara gugur dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan Malaysia tercinta di Sabah. Dua wira tersebut ialah Prebet Ahmad Hurairah, 24 dan Ahmad Farhan Roslan, 21 masing-masing ketika menjalankan tugas.

Jenazah kedua-dua wira dijangka dikebumikan hari ini.



Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dengan biadap dan kurang ajar masih lagi enggan memohon maaf atas kenyataan beliau yang menuduh insiden pencerobohan Sabah dan pengorbanan polis & tentera Malaysia sebagai hanya "sandiwara" semata-mata.

Sebagaimana semua pemimpin pakatan penipu, Tian Chua hanya mendakwa dia disalah erti dan mengalihkan kesalahan kepada editor Keadilan Daily. Secara tak langsung ini hanya membuktikan kebodohan dan kedangkalan pemimpin pakatan pembangkang yang terus-menerus menonjolkan kebodohan masing-masing dan cuba membodohkan rakyat.




Rakyat tidak sesekali akan lupa kejadian Tian Chua melanggar seorang askar, Mohd Salleh Hamdan (22 tahun) sehingga mati di KM49 Jalan Johor Bahru-Mersing pada 13 Mac 2010. 


 


Inilah watak sebenar Tian Chua... bukan sahaja tidak menghormati Perajurit Negara yang terkorban, tidak peka kepada tangisan balu-balu dan anak-anak Perajurit Negara dan tidak peka kepada rakyat Malaysia, malah bersikap biadap dengan menyifatkannya sebagai sandiwara!

Ayuh, tolak pemimpin biadap ini!

Tolak Pakatan Rakyat!


VIDEO: Kerajaan Selangor Tanpa Hala Tuju Dalam Krisis Air



Kerajaan Selangor memang NoDirection bila tiba bab Krisis Air. Tiada hala tuju, tiada penyelesaian. Bila ditanya, sudah pasti akan salahkan Syabas. Bila dah kelu, nak alihkan perhatian. Sudahlah! Rakyat sudah muak dengan Money-festo Bukan Janji Pakatan Rakyat!

Bersedialah Pakatan Penipu, rakyat Selangor bakal bangkit pada PRU-13!

Tuesday, 12 March 2013

Update #LahadDatu: Seorang lagi anggota keselamatan terbunuh


LAHAD DATU: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin hari ini mengesahkan seorang anggota keselamatan terkorban manakala tiga pengganas mati dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di sini, kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi. 

-Berita Harian

RMK: Ya Allah, kuatkanlah semangat pahlawan-pahlawan yang masih berjuang demi keselamatan dan kedaulatan negara di Sabah, dan peliharalah mereka dari sebarang ancaman serta kecelakaan dari pihak musuh. Ameen. Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Insiden #LahadDatu: Gambar Azimat dan Tangkal Pengganas Sulu!

Ini yang mereka katakan Jihad apabila mensyirikkan Allah dengan mempercayai tangkal dan azimat kebal? Penceroboh Militan Harus dihapuskan


UPDATE LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PRDM) mengeluarkan gambar yang menunjukkan kumpulan pengganas militan menggunakan tangkal dan azimat yang kononnya mampu memberi kekebalan dan kemenangan kepada si pemakai. Namun kebanyakan mereka mati terkena peluru pasukan keselamatan Malaysia.



Sultan Palsu AKA Bomoh Pengganas Sulu

Sumber : MyMassa


RMK: Allah SWT berfirman, ertinya, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (QS. An-Nisa: 48)

Insiden #LahadDatu: Pendedahan Kekejaman Pengganas Sulu. #PrayForSabah


Asal perkataan ‘Sulu’ dikatakan berkaitan dengan ilmu kesufian Islam iaitu ‘suluk’ (beribadah secara terasing atau bersendirian) yang mana seharusnya menggambarkan ketinggian agama dalam diri bangsa Sulu.  Ada juga yang berkata bahawa ‘Sulu’ berasal dari perkataan ‘jolo’ iaitu jolokan yang diberikan oleh pedagang Cina kepada mereka yang bermaksud ‘orang baik’. 

Justeru, adalah sesuatu yang pelik sekali apabila Bangsa Sulu yang dikaitkan dengan Islam dan kebaikan ini melancarkan perang demi menuntut wilayah di sebuah negara Islam, Malaysia, untuk dimasukkan ke wilayah negara kafir, Filipina.  Malah, kepimpinan Sulu juga menempelak kerajaan Filipina kerana tidak menyebelahi mereka untuk dalam isu tuntutan wilayah tersebut walaupun mereka adalah rakyat Filipina.  

Lebih pelik lagi apabila tindakan tentera-tentera Sulu tersebut langsung tidak mencerminkan keIslaman, walaupun menyedari hakikat bahawa mereka sedang menentang saudara seagama.  Malah, tindakan mereka lebih menyerupai kekejaman pihak komunis atau penjajah Jepun di mana pihak polis Malaysia telah dipenggal kepala, manakala seorang Ketua Unit Cawangan Khas, telah dirodok perutnya.  Kelihatannya tentera-tentera Sulu ini benar-benar nekad menggadaikan segala-galanya kerana pada hakikatnya, mereka berada di pihak yang tidak mungkin menang.  

Kekejaman yang ditunjukkan pihak Sulu mengundang lebih banyak persoalan mengenai apa atau siapa sebenarnya di belakang tuntutan mereka.  Mungkinkah Sultan Sulu begitu cetek pemikirannya sehingga sanggup menggadaikan nyawa tentera dan rakyatnya demi sesuatu yang hampir mustahil?  Atau apakah beliau telah dijanjikan bantuan oleh pihak lain?  Ini tidak mustahil jika dilihat dari pemilikan senjata yang lengkap dan canggih oleh pihak mereka.

Bangsa Sulu wajar memikirkan apalah gunanya menggadai nyawa, keamanan dan keselesaan hidup demi mendapatkan sebuah wilayah?  Untuk apakah perjuangan ini jika bukan sekadar  untuk memenuhi nafsu pemimpin mereka, selain memenuhi hasrat musuh-musuh Islam untuk melihat Umat Islam bersengketa sesama sendiri sehingga bermandi darah.    

Pencerobohan Sulu ini sebenarnya merupakan pelan susulan pihak-pihak tertentu setelah pertelegahan antara PAS dan UMNO yang berterusan sekian lama masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku pertumpahan darah seperti yang diharapkan mereka.  Begitu juga dengan percubaan mencetuskan ketegangan kaum yang dipelopori DAP melalui isu Kalimah Allah, dan juga percubaan meniru pertumpahan darah di Dataran Tahrir melalui siri-siri demonstrasi juga telah gagal sama sekali.  

Jelas bahawa pihak Sulu tidak sedar bahawa mereka telah menjadi alat pihak asing dengan cara meletakkan nyawa mereka sendiri sebagai umpan.  Dalam keadaan tidak sedar itulah mereka yang selama ini dikenali sebagai bangsa yang ‘aman’ tiba-tiba menjadi bagai dirasuk syaitan.  Kekejaman yang ditunjukkan amatlah dikesalkan memandangkan kerajaan Malaysia sentiasa berlembut dengan mereka sehinggakan setelah mereka melakukan pencerobohan juga, kerajaan masih menggunakan pendekatan diplomasi dan bukannya keganasan.  

Di kala umat Islam semakin hancur dek keganasan dan kerakusan musuh dan juga para pemimpin Islam sendiri, bangsa Sulu tidak seharusnya mengikut rentak yang sama.   Kehancuran yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran bukannya ikutan.  

Langkah kerajaan Malaysia membuktikan kematangan dan kprihatinan pemimpinnya manakala langkah Sultan Sulu membuktikan sebaliknya tentang kepimpinannya selain menyerlahkan sikap tidak rasional, hatta kejam, bangsanya. 

Adalah tidak bijak bagi puak Sulu untuk mengambil kesempatan ke atas kematangan dan keprihatinan Malaysia kerana pastinya sebuah kerajaan yang matang dan prihatin juga, tidak akan membiarkan sahaja tentera dan rakyat negara ini menjadi mangsa kekejaman puak Sulu.  

Apa yang pasti, puak Sulu telah berjaya memenuhi hasrat musuh-musuh Islam untuk melihat umat Islam berbunuhan sesama sendiri.



RMK: Insiden pencerobohan pengganas Sulu ini tidak berlaku dengan tiba-tiba. Pasti ada dalang yang memulakan semua ni. Sudah ada banyak bukti yang menunjukkan siapa yang dimaksudkan.

Anwar Ibrahim dan Nur Misuari

Insiden #LahadDatu: Orang Nombor 2 Pengganas Sulu Mati Terbunuh



Komander Musa merupakan orang nombor dua pasukan pengganas selepas Agimuddin Kiram

Lahad Datu - Satu daripada 18 mayat penceroboh militan yang dihantar ke Hospital Lahad Datu malam tadi, dipercayai ketua kumpulan itu berpangkat jeneral yang dikenali sebagai Komander Musa.

“Satu mayat itu macam rupa Komander Musa,” kata Ketua Forensik Operasi Daulat ASP Hussien Omar Khan.

Beliau berkata mayat yang dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu di Felda Sahabat, kira-kira 130km dari sini, telah reput dan proses bedah siasat akan dibuat pakar patologi dari Hospital Pulau Pinang.

Musa, yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu dikatakan melarikan diri dari Kampung Tanduo dan memasuki Kampung Tanjung Batu sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut menyaksikan 31 pengganas Sulu maut.

Ketua Polis Daerah Supt Shamsudin Mat berkata, sembahyang jenazah akan diadakan untuk pengganas yang terbunuh pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

“Kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab kepada saudara sesama Islam, biarpun mereka adalah musuh kita. Kita juga mendoakan roh mereka dicucuri rahmat,” katanya, tanpa menyatakan lokasi pengganas itu akan dikebumi. 

-Bernama

Update #LahadDatu: Ops Daulat Penggeledahan Peringkat Akhir



Kelihatan dalam gambar di atas anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) keluar dari kawasan kampung selepas mengadakan pemeriksaan bagi mengesan saki-baki pengganas, semalam.

Tiga puluh tiga individu termasuk empat wanita yang dipercayai tali barut kumpulan pengganas yang membunuh enam anggota polis ketika insiden di Kampung Simunul dan Sri Jaya 2 Mac lalu ditahan pasukan keselamatan Op Daulat dalam satu serbuan di sini, semalam.

Operasi membabitkan 100 anggota pasukan keselamatan itu bermula kira-kira jam 6.30 pagi hingga 9 pagi di satu kawasan setinggan Kampung Pinggir Bakau yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Ketua Polis Daerah Semporna Deputi Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, semua tahanan itu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan pengganas Sulu yang menceroboh daerah ini ketika kejadian berbalas tembakan sebelum ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan mereka adalah penyokong dan memberi perlindungan kepada pengganas Sulu yang menceroboh daerah ini.

“Seramai 44 individu diperiksa ketika serbuan, tetapi 11 daripadanya dibebaskan manakala 33 lagi ditahan dan akan disiasat lebih lanjut sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu kerja-kerja penggeledahan dan pembersihan di Kampung Tanduo, dekat sini, oleh pasukan keselamatan berada di peringkat terakhir.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, penduduk kampung terbabit yang kini mendiami pusat pemindahan sementara akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat.

"Sebaik selesai dan diyakini selamat kita akan membenarkan penduduk pulang ke kediaman mereka.

"Kawasan operasi ini kini lebih tertumpu di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Bilis yang kini dikepung pasukan keselamatan," katanya pada sidang media bersama Panglima Divisyen Pertama Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Moktar di Felda Residence Sahabat, di sini, hari ini.


Pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu sehingga mengorbankan lapan pegawai dan anggota polis menyebabkan 2,900 penduduk dari beberapa kampung terpaksa mendiami di pusat pemindahan sementara.

Selain itu, katanya, seorang lagi pengganas ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan yang turut mencederakan dua anggota polis gerakan am (PGA) dalam kejadian antara jam 8 malam hingga 4 pagi semalam.

Hamza berkata, sejumlah 54 pengganas ditembak mati, termasuk tujuh di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna manakala baki di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanduo.

"Pasukan keselamatan juga sudah mengeluarkan 22 mayat dari lokasi kejadian ke Hospital Lahad Datu," katanya.

Semoga keadaan di Lahad Datu akan terus pulih , terima kasih para wira negara yang saban waktu berjuang untuk kami warga Malaysia.

Sumber: Metro

Monday, 11 March 2013

ISI KANDUNGAN MAPPA XIII 11 MAC 2013

Post image for ISI KANDUNGAN MAPPA XIII 11 MAC 2013
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan ‘berita baik’ sembilan perkara yang dinantikan oleh 1.4 juta kakitangan awam.

Kesemua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST) – yang menggantikan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan tahun lalu.

ISI KANDUNGAN MAPPA XIII

1. Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM dan PDRM dari Gred 27 kepada Gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari Gred 48 kepada 52;

2. 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian;

3. Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini;

4. Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak;

5. Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi;

6. Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Januari 2013;

7. Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum;

8. Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performane”;

9. Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.




RMK: Semoga bermanfaat untuk semua.

MAPPA 2013: Berita Baik Buat ATM dan PDRM



PANGKAT DALAM ATM, PDRM DISETARA - NAJIB

Putrajaya, 11 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan berkuatkuasa 1 Jan 2013, kerajaan bersetuju pangkat-pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.

Beliau berkata ia mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.

"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang dulu dalam kelompok gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29 Perkhidmatan Awam Am," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di sini.

Sementara itu, bagi jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan 44.

Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52.

"Sesungguhnya kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan," katanya. - BERNAMA